Gambar ini diambil oleh ayah pada tahun 1978, sewaktu saya baru berusia enam tahun dan adik saya Noor Aziah berusia empat tahun. Baju yang saya pakai itu berwarna oren, manakala baju Aziah pula putih. Emak beli baju-baju ini daripada seorang wanita Kemboja yang datang menjual pakaian dari rumah ke rumah. Wanita Kemboja ini fasih berbahasa melayu loghat Kelantan walaupun nadanya sedikit berlainan.
Saya suka baju ini kerana pada pandangan saya baju ini sangat cantik. Ia dibuat daripada kain plain georgette dan dialas dengan kain jersey. Saya hanya sempat memakai baju ini selama setahun sahaja, kerana apabila saya naik darjah satu, baju ini diberi kepada Aziah pula. Bukan sebab saya tak muat baju ini, tetapi Aziah yang tak muat bajunya! Nampak tak bajunya agak kecil dan singkat? Jadi saya yang baik hati ini dengan penuh rela memberi secara percuma sahaja baju saya ini kepada Aziah... hehehe!!
Jadi, saya sudah tiada baju lagi, terpaksalah pakai baju sekolah sahaja sebagaimana yang terakam dalam gambar di bawah.
Hehehe... jangan percaya, saya acah saja!! Sebenarnya gambar ini dirakam sewaktu saya baru balik dari sekolah. Jadi belum sempat tukar baju, stokin pun belum buka terus bergambar! Tengoklah, Aziah dengan bangganya memakai baju oren saya itu.... huhuhuhu!!!
No comments:
Post a Comment