Saturday, November 14, 2009

Umi Husna, Bonda Asma'

Semalam genap 45 hari usia Wan Sufi Nasirullah. Sudah tentu Umi Husna ialah insan yang paling gembira kerana akhirnya tamat juga tempoh berpantang selama 44 hari. Tahniahlah buat Umi Husna, kerana berjaya menamatkan pantang dengan sempurna, walaupun sesekali bagai kedengaran juga suara rungutan tentang isu makanan tak berkhasiat! Hmmm.. Apa pun, petua orang lama dalam berpantang ini tidak boleh dibuang terus walaupun kita yang 'moden' ini terasa tiada alasan atau bukti saintifik yang menyokong amalan mereka.

Sebagai permulaan sebuah "kehidupan baru", kami berlima - saya, suami, emak, Husna dan Sufi - bersedia untuk menziarah Bonda Asma' di Meranti. Ini kali pertama Sufi dibawa keluar berjalan-jalan, tetapi dia asyik tidur saja. Mungkin gerakan kereta kami umpama ayunan buaian buatnya!

Dengar cerita, Bonda Asma' agak keletihan sehari dua ini. Kami juga rindu benar padanya. Jam 10.00 pagi kami bertolak ke rumahnya, dan tiba sekitar jam 10.30 pagi. Sesampai di rumahnya, kami di sambut oleh bibik dan anak-anak Bonda Asma'. rupanya Bonda Asma' dan Ayah Su tiada di rumah kerana berkunjung ke asrama Maahad Muhammadi lilbanat, melawat anaknya yang belajar di sana. Agak terkilan, tetapi mujurlah mereka semua sudah dalam perjalanan pulang. Jadi kami sabar menunggu sambil berbual-bual dengan bibik Santi yang peramah.

Jam 11.20 mereka tiba di rumah, dan sempatlah kami berbual dan bertanya khabar sambil minum teh dan makan kuih muih yang sedap-sedap belaka. Bonda Asma' memang kelihatan agak lemah, tetapi kami rasa kagum sungguh dengan semangat kentalnya. Walaupun kesakitan dia tetap melayan kami dengan sebaik-baik layanan
.

Jam 12.00 kami meminta diri untuk pulang.

Sepanjang perjalanan pulang, saya berdoa agar Bonda Asma' diberi kekuatan untuk meniti takdir Allah ini. Semoga Allah mengampuninya dan kita semua.





No comments:

Post a Comment