Friday, November 20, 2009

Tentang Ulama 1

Dipetik dari ibnusair.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullah...

Segala pujian itu selayaknya untuk Pencipta yang Maha Esa, menciptakan manusia bermula dari satu (Adam) kemudian dikembang biakkan dengan diciptanya Hawa daripada Adam, sehinggalah umat hari ini.

Selawat dan salam sejahtera ke atas junjungan, utusan terakhir, kekasih Allah Taala, Muhammad SAW, Ya Allah, sejahterakanlah Muhammad SAW beserta keluarganya, sepertimana Kau sejahterakan Ibrahim dan keluarga Ibrahim.

Baru-baru ini, di facebook, laman Amin, ada tertulis satu pautan yang merujuk kepada Mohd Rifqi Mydin, lalu Amin menambah di situ:

'Jika dalam kalian ingin mengetahui siapa yang mengajarkan aku AlQuran dan isinya, sehingga yang baik dalam diriku menjadi seperti ini, maka lihatlah dia (Mohd Rifqi Mydin)'

Beliaulah Ustaz Rifqi yang bagi sesiapa pernah mendengar ceritanya, maka beliau adalah guru Amin. Secara berterus terang, Amin tidak pernah tahu tentang hari lahirnya, namun yang hanya kenal ialah pada sifat fizikal dan peribadinya.

Suaranya garau, namun amat memikat dan menawan, di tambah dengan aksesori loghat Kelantan, memang ternyata gelaran Ustaz itu sesuai tersandang di bahunya. JIka beliau bukan Ustaz sekalipun, maka manusia sekelilingnya akan tetap memandangnya seperti Ustaz. Pernah satu ketika dahulu, Ustaz Rifqi beritahu Amin:

'Amin, nanti kalau dah besar jangan jadi Ustaz (cikgu) di sekolah, jadilah jurutera ke, doktor ke, tapi dalam menjadi jurutera dengan doktor itu, kamu merupakan Ustaz a.k.a ProTaz.'

Namun apakan daya, nasihatnya amat senang didengar, tapi Kehendak Allah Taala membatasi, belajar kini untuk sekadar mengekalkan senyuman pada ibu dan ayah.

Ustaz Rifqi berbadan tegap, dadanya bidang, tidak beberapa berisi perutnya, tingginya melebihi Amin, dalam lebih kurang lima sentimeter. Wajahnya putih bersih, terpancar cahaya AlQuran yang bersinar terang, lantaran dia merupakan manusia yang mengamalkan AlQuran dan Hadis Nabi Muhammad SAW secara bersungguh-sungguh dalam kehidupan sehariannya. Jalannya segak, dan apabila bertemu dengan sesiapa jua pun, maka dia akan mengahadapkan seluruh tubuhnya ke arah manusia yang dia jumpa itu. Apabila dia bertemu dengan manusia yang lebih tua, maka dia akan membongkokkan badan hanya sedikit bersalaman dengan manusia tersebut, lantaran menghormati mereka. Wajahnya tiada misai, hanya diserikan dengan janggut yang berhelai-helai, dahinya lebar, dan ternampak kesan sujud pada dua bahagian di dahinya. Itulah tanda-tanda manusia yang beriman.

'Muhammad itu Rasulullah, dan manusia yang berada di sampinngnya (Muhammad) sangat keras dalam menghadapi orang-orang kafir yang hendak menghancurkan Islam, dan sangat berkasih sayang antara satu sama lain, sentiasa kelihatan mereka melakukan rukuk dan bersujud, lantaran mencari fadhilat dan keredhaan Allah Taala, jelas kelihatan di wajah mereka kesan-kesan sujud...' (AlFath, ayat terakhir)

Apabila dia membaca AlQuran, suaranya kadang-kadang dilembutkan, kadang-kadang dikeraskan, lantaran dia memahami selok belok bahasa Arab dengan baik. Bacaan AlQurannya cukup merdu didengar, tidak menjela-jela, tidak juga bersyahdu-syahdu. Ustaz telah menghafaz banyak ayat dalam AlQuran, malah dia jarang melupakannya, terutama juzuk 21 dan juzuk 20.

Ustaz merupakan antara manusia paling sibuk di Skudai dan Johor Bahru, hampir setiap malam, Ustaz akan keluar ke mana-mana tempat untuk memberikan kuliah. Kuliah yang selalu disampaikan bertajuk ringkas sahaja, tetapi Ustaz mampu mengolahnya, disertakan dengan hujah AlQuran dan Hadis yang cukup menyentuh hati. Pernah satu ketika, malam Ramadhan, Ustaz menjemput Amin, menemaninya ke Masjid Pulai Indah yang baru sahaja didirikan, dan Ustaz diminta menyampaikan sedikit tazkirah selepas Solat Witir.

Amin bertanya pada Ustaz, "Ustaz, dah sediakan teks tazkirah malam ini?" Ustaz hanya tersenyum, lalu menggeleng sambil berkata," Saya pergi ceramah mana pernah buat teks, kadang-kadang itu idea dapat mencurah-curah waktu nak berikan tazkirah. Alhamdulillah, waktu kita nak bercakap itu, Allah Taala, bukakan pintu rahmat dan ilmu."

Malam itu, Ustaz memang tiada persediaan apa-apa untuk memberikan ceramah, tetapi tazkirahnya hanya diambil daripada doa solat witir yang dibaca oleh bilal baru sahaja selepas solat. Maka Ustaz mengulas secara detail, apakah yang dimaksudkan dengan setiap baris doa yang bilal bacakan tadi. Cukup terkesan di hati makmum, walaupun tiada persediaan.

Ustaz mengajarkan Amin AlQuran selama dua tahun, maka dialah manusia yang mendengar Amin membaca AlQuran lalu jika salah, maka dia menegur dengan lembut, sehingga Amin mendapat apa yang baik untuk dibacakan. Ustaz mengajar Amin menyebut huruf zho mengikut lahjah Arab yang tepat. Sehingga kemuncak dua tahun, Ustaz berkata pada Amin:

"Habis sudah segala ilmu yang Ustaz tahu pasal tajwid ini, Ustaz ajarkan pada Amin."

Rasa seronok sangat waktu mendengar kalimah itu. Ustaz jugalah yang mendorong Amin, malah menjadi pendorong kuat dalam menghafaz AlQuran sepenuhnya. Ustaz telah mempunyai maahad tahfiz tersendiri di Repek yang Ustaz usahakan dengan sahabat-sahabatnya. Hendak menceritakan dorongan yang kuat itu, sehinggakan Ustaz sanggup sediakan satu tempat khas untuk Amin belajar di maahad disertakan dengan yuran pengajian pecuma setiap bulan. Malah Ustaz memberikan pilihan kepada Amin untuk belajar daripada mana-mana guru tahfiz yang Amin minat dan suka. Kalau Amin mahu bersendirian di maahad sehinggakan guru itu hanya untuk Amin pun, Ustaz telah sediakan. Namun, Ustaz tahu ibu tidak membenarkan Amin melalui jalan tersebut. Wallahu alam, atas sebab apa sekalipun, Amin tiada tahu.

Ustaz pernah berkata kepada Amin: 'Betapa ruginya masyarakat kerana sanggup memberikan satu juta kepada perkara yang lagha, sedangkan satu juta tersebut mampu menghasilkan 100 pengahafaz AlQuran yang baik dan berakhlak.'

Allahu akbar! Kata-kata itu sangat terkesan dan sehingga hari ini, masih lagi terngiang-ngiang dalam ingatan, bagaimana Ustaz menyampaikan kata-kata itu...

Ustaz merupakan orang yang banyak bersabar dalam ceramahnya. Walaupun Ustaz sibuk, dia tak pernah menghampakan permintaan manusia yang berharap akan penyampaiannya. Di bibirnya, sentiasa berzikir, dalam keretanya, tiadalah yang lain didengar, melainkan AlQuran. Namun dalam pada itu juga, masih ada manusia yang bersalah anggapan tentang Ustaz. Masih ada lagi pihak tertentu yang mengecam Ustaz sedangkan apa yang disampaikan hanyalah Fadhilat membaca YaSin...

Sedih Ustaz ketika itu. Ustaz sangat sedih dengan perkara yang terjadi ketika itu. Janganlah kita sesekali menolak Ulama, kerana mereka jualah pewaris nabi Muhammad SAW...

bersambung, Wallahu alam.

No comments:

Post a Comment