Adikku bukan sahaja berubah sikap menutup radio setiap kali lagu itu berkumandang malah lebih jauh lagi telah mencadangkan kepada mama agar meroboh saja bangku bambu itu. Aku tidak akan membenarkannya dan aku tahu mama juga tidak mengizinkannya. Semua orang tahu di bangku bambu itu tempat kududuk menunggu Adi setiap hari. Ia bukan sahaja menjadi tempatku mengubat rindu, malah satu-satunya temanku pada malam begini.
Kuingin kaujadi wanita mulia
yang tahu harga budi dan hati
seorang lelaki bernama suami
Nyanyianku terhenti tiba-tiba. Mungkinkah lagu itu membawa pesanan Adi untukku? Mungkinkah sebagai isteri, aku telah gagal memenuhi impian seorang suami? Ah, kalaulah Adi berterus-terang, aku berjanji membaiki segala kelemahan. Sara berjanji menjadi isteri sebagaimana Adi inginkan. Sara tidak akan meminta lebih daripada yang diberi. Sara akan menjadi isteri yang membanggakan Adi. Lembut dan patuh. Katakanlah apa saja, segala-galanya akan Sara terima.
Tidakkah Adi ingin kembali? Berpadankah hukuman yang Adi berikan dengan kesalahan kecil yang tidak Sara sedari? Adi sendiri memanjakan Sara sehinggakan Sara terbiasa begitu. Sehingga Sara terlupa untuk memberi kerana terlalu banyak menerima.
"Mama, hari ini Sara tolong mama masak!" Sergahku pada mama yang sedang sibuk di dapur. Terpelanting senduk di tangannya. Aku ketawa melihat mama yang sinar matanya seperti orang ketakutan.
"Mama ajar Sara buat sambal sotong ya?" Mama angguk.
"Nanti Adi balik, Sara masakkan untuk dia. Adi suka sangat sambal sotong mama." Kali ini mama mengangkat muka, memandangku dengan sinar matanya yang dalam. Dia seperti menunggu-nunggu untuk mendengar ceritaku, tidak ubah seperti anak kecil yang sukar mengerti tetapi cuba memahami.
"Dia dah tak guna nombor tu mama..." Aku tunduk menahan sebak. sebenarnya sejak 24 September aku menelefon Adi setiap hari. Betapa rindu untuk mendengar suara lembutnya. Hingga semalam hanya pesanan ini yang kuterima, 'Harap maaf, nombor yang anda dail tidak aktif atau berada di luar kawasan. Sila cuba sebentar lagi.'
Aku mencuba sebentar lagi seperti yang disaran, bukan sekali dua tetapi tidak terhitung oleh jari kalau pun dicampur jari kaki. Kalau dulu hanya setelah dua atau tiga kali deringan, Adi akan menyambutnya dan menyapaku dengan riang, dengan penuh kasih sayang. Kini panggilanku bukan sahaja tidak dijawab malah aku mula menerima pesanan yang berbeza, 'Harap maaf, nombor yang anda dail telah ditamatkan perkhidmatannya.'
Ditamatkan perkhidmatan? Baru semalam aku berjanji untuk menjadi isteri yang lembut dan patuh, Adi bukan sekadar mematikan telefon genggamnya malah memutus terus talian. Ah, matikanlah apa saja, kau tidak mampu mematikan cintaku padamu.
Kutekupkan kedua-dua belah tangan pada mukaku. Aku ingin menjadi kuat dan tabah selalu tetapi dugaan ini terlalu berat. Mama selalu berkata, Tuhan tidak akan menduga hamba-Nya lebih daripada yang mampu diterima. Tetapi dugaan ini sudah tidak mampu Sara terima, mengapa Tuhan terus menduga? Mengapa mama?
Dulu mama pernah berkata, setiap kesakitan yang Tuhan beri disertai dengan penawarnya. Ketika itu aku masih kecil meraung melihat Ucu, adik mama yang selalu menjagaku tiba-tiba jatuh tidak bergerak lagi. Kata mama, Ucu diserang sakit kepala dan apabila dia tidak mampu lagi menanggungnya, Ucu pitam. Itu penawar daripada Tuhan, supaya Ucu tidak lagi merasa kesakitan. Hampir seminggu Ucu tidak sedar, mama kata Ucu sedang koma. Kata mama, itu juga penawar daripada Tuhan. Dan sehari selepas itu aku diberitahu Ucu meninggal dunia kerana penyakit barah otak.
Mama menangis tetapi tetap memberitahuku yang itu penawar daripada Tuhan. Kata mama, dengan kematian itu, berakhirlah penderitaan Ucu. Tuhan memberi Ucu penawar terakhir supaya barah yang menyerang Ucu tidak lagi menyakiti Ucu. Selepas itu aku tidak menangis lagi mengingat Ucu kerana aku tahu Ucu tidak sakit lagi. Tetapi di mana penawar untukku?
"Mana penawar untuk Sara, mama?" Tanyaku dalam sedu sedan yang tidak terkawal. Mama memelukku.
"Mengucap Sara, mengucap. Ingatkan Tuhan.."
"Tuhan yang tak ingatkan Sara, mama. Tuhan lupa memberi Sara penawar. Hanya kesakitan saja. Sara sakit mama. Sara sakit." Aku menangis dalam pelukan mama.
Tanggal 8 Januari 2000. Takbir raya pun bergema. Hari ini genap tiga bulan lima belas hari aku tidak melihat Adi. Semalam, seawal pagi aku menunggunya di atas bangku bambu itu. Harapanku masih menggunung tinggi, tidak inginkah Adi kembali? Seharian aku berdiri di tingkap kamarku, mengintai dari balik langsir setiap kereta yang melintasi perkarangan tetapi Satria GTi tidak juga muncul. Dia tidak juga muncul.
Hari raya kedua. Kutentang rancangan mama dan Ina untuk menziarahi pusara kerana takut Adi pulang ketika ketiadaan kami. Aku tidak mahu dia menyangka kepulangannya tidak aku harapkan, dan dia akan pergi lagi. Kalau itu terjadi, pasti sia-sia doaku semalaman kepada Tuhan supaya mengembalikan Adi kepadaku hari ini. Namun melihat mata Ina yang mula berkaca dan berbekal janji mama untuk ke pusara hanya sekejap, aku turuti juga dengan langkah terpaksa.
Di pusara datuk, mama menangis, begitu juga di pusara nenek. Kemudian kami menjengah pusara Ucu. Di situ akulah yang menangis. Mengingati kembali masa kecil bersama Ucu yang manis. Ketika itu Ina belum lahir dan Ucu membawa aku, anak tunggal mama, ke mana saja.
Tangan Ina memegang lenganku tiba-tiba. Dia memelukku ketika membawaku meninggalkan pusara Ucu menuju ke arah pohon kemboja yang sedang lebat berbunga. Aku menoleh ke arah mama, dia sedang bersalaman dengan seorang perempuan gemuk yang aku tidak tahu muncul dari mana. Pastinya dia kenalan mama. Dia melemparkan senyuman yang aneh kepadaku dan entah mengapa kau terasa enggan membalasnya.
(Bersambung)