Tuesday, May 29, 2018

Berbuka

Semalam suami saya berbuka di luar bersama-sama rakan-rakan guru sekolahnya. Mereka menempah hidangan berbuka di sebuah restoran berhampiran untuk sebelas orang dengan harga RM198.00. Menu yang dipilih ialah masakan Thai iaitu tom yam, siakap, daging merah, telur bungkus dan seumpamanya.

Mungkin dia terfikir yang saya akan teringin juga untuk menikmati hidangan berbuka sebegitu lalu memberi janji untuk membawa saya ke sana hujung minggu nanti.

Jujurnya, saya sedikit tidak selesa untuk berbuka puasa di luar. Pada saya waktu maghrib yang sempit itu menyukarkan saya menumpukan perhatian kepada hidangan dan menyiapkan diri untuk bersolat. Sebagai perempuan, persediaan untuk bersolat sedikit rumit berbanding lelaki. Saya memerlulan tandas yang selesa untuk menyucikan diri sebelum berwuduk dan bersolat. Jika tandas itu tidak bersih dan sempit, susah untuk saya menjaga pakaian saya daripada terkena najis. Jika tidak ke tandas, rasa tidak aman pula kerana sebagai perempuan saya selalu dalam keadaan tidak bersih. Jika mahu pulang bersolat di rumah tentunya tidak sempat.

Pun untuk berkata tidak mahu kepada ajakan suami tersayang, sungguhlah sukar. 

Sebentar tadi dia mengulang tanya, bila kita akan keluar berbuka di restoran itu? Diam saya rupanya mudah ditafsir. Terus dia berkata, ke tak nak?

Bagai diumpan, saya mengiakan dan memberi alasan yang hidangan Thai itu sudah biasa saya makan. Saya turut menyertakan alasan kesukaran bersolat seperti huraian di atas.

Dia ok. Alhamdulillah. Masih mahu juga membelanja isterinya ini, dia mencadangkan kami bercuti ke luar Kelantan beberapa  hari sebulan dua lagi untuk berehat dan makan-makan. Wah! Yang ini boleh dipertimbangkan. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, May 28, 2018

Dugaankah?

Saya sedang menanda kertas di bilik peperiksaan ketika rakan guru itu datang. Dia mahu mencari kertas soalan tahun lepas, melihat saya sendirian di situ dia pun menegur saya.

"Ti, akak ada berkenan satu beg ni kat online. Semalam ada offer. Diorang kata kalau nak beli bagi tau aje kat Ti, nanti Ti tolong bayar dengan online banking."

Baru pagi tadi saya mengadu kepada suami saya yang saya ini sudah umpama 'banker' di sekolah saya. Setiap hari, malah semasa cuti pun mereka tega menulis mesej meminta saya selesaikan urusan pembelian online mereka. Saya cuba untuk ikhlas tetapi jika sehingga mengambil kesempatan dan mereka tidak pernah mahu melakukan sendiri dengan alasan tidak pandai, apa perasaan saya agaknya? Masih bolehkah ikhlas itu saya kekalkan?

Dan dengan selamba tanpa meminta izin saya, mereka mempromosi pula 'khidmat' saya ini kepada guru-guru lain sehingga berderu-deru yang mahu membeli itu ini setiap hari mencari saya.

Aduh! Dugaan apakah ini? Saya rasa bosan pula!

"Akak, saya ni dah macam banker kat sekolah ini ya.."

Seberani itu saya menutur kata-kata. Senyum masih terukir tetapi hati sudah kering.

Saya meneruskan cerita saya tentang bagaimana mereka sentiasa mencari saya walaupun pada hari cuti. Dan saya katakan saya hairan mengapa mereka semua tidak mahu mendaftar perbankan atas talian dan melakukan sendiri segala urusan. Ya, saya benar-benar mengatakannya.

Rakan guru itu duduk di hadapan saya dan berkata, "Betul tu, akak pun mahu juga mempunyai online banking sendiri tetapi akak tak pandai. Takut pun ya."

Sudah saya agak skema jawapan begitulah yang akan keluar daripada setiap bibir mereka. Tidak pandai dan takut. 

Malas saya mahu memanjangkan lagi coretan tentang perkara ini kerana sudah banyak kali saya meluahkannya di sini. Begitu bodohkah mereka sehingga tidak pandai menggunakan kemudahan yang dicipta untuk kita? Nama pun kemudahan, tentulah ia mudah!

Kalau sekali dua orang meminta tolong, saya masih boleh memahami mungkin mereka terdesak dan kesuntukan masa. Tetapi yang berlaku bukan begitu. Mereka sengaja mahu menggunakan saya tanpa rasa bersalah langsung. Setiap hari!

Siapa tidak bengang?


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, May 27, 2018

Lelaki

Kerana saya seorang perempuan yang berjiwa feminis, tentunya pandangan saya kepada lelaki agak skeptikal. Itu tidak boleh dielak, tetapi masih saya berada pada landasan yang sesuai.

Saya sudah terlalu lama bergelumang dengan lelaki-lelaki yang punya pelbagai wajah. Suami saya juga semestinya lelaki, tetapi saya tetap tidak berganjak daripada persepsi saya terhadap lelaki-lelaki masa kini walaupun suami saya seperti termasuk di dalamnya.

Bukan begitu. Saya mensyukuri kehadiran seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab di sisi saya, yang tidak pernah mengabaikan saya dalam apa segi pun, yang memahami dan sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Saya nampak semua ciri itu dalam diri suami saya maka tidaklah dia perlu saya leteri atau bimbangi. Persepsi saya di sini adalah kepada sebahagian besar kaum lelaki yang bodoh di luar sana.

Lelaki yang bodoh ini sungguh sangat ramai. Malangnya kebodohan itu bukanlah suatu dosa seperti dosa perempuan mendedahkan aurat. Asal aurat terdedah sahaja tentu perempuan itu berdosa dan masuk neraka. Tetapi lelaki yang bodoh ini masih boleh masuk syurga.

Kebodohan lelaki ini sangat ketara dan nampak jelas apabila mereka berbicara atau berbincang tentang apa hal sekali pun. Fikiran mereka hanya tertumpu kepada satu fokus yang sama - seks. Tiada topik lain yang lebih penting daripada itu.

Apa sahaja yang kita bualkan, ke situlah arah tuju mereka. Nampak tak kebodohan itu? Perempuan pada pandangan mereka ialah makhluk Tuhan kelas kedua yang dicipta semata-mata sebagai objek yang boleh disenda gurau dalam semua keadaan. Mereka hebat apabila berbicara tentang poligami tetapi bukanlah kerana mahu memartabatkan perempuan atau membela nasib kaum hawa sebaliknya untuk berbangga dengan kejantanan mereka seolah-olah kejantanan itulah yang akan ditanya Tuhan di padang mahsyar nanti.

Bodoh, bukan?

Saya bukan memukul rata kerana saya masih amat menghormati lelaki-lelaki yang tahu adab, bijak berbicara, matang memberi pendapat dan tidak menghina perempuan sesuka hati di depan mata kita, tetapi seramai manalah yang begitu. Tinggal sekerat dua sahaja dan susahnya mahu bertemu. Di gedung ilmu seperti sekolah menengah ini pun ramai benar yang bodoh.

Lebih menyakitkan hati apabila bicara-bicara bodoh begitu dilayan pula oleh perempuan-perempuan yang tidak sedar mereka sedang diaibkan. Lalu berdekah-dekah ketawa memecah suasana dan membakar hati saya.
Sampai bila begini? Lelaki-lelaki ini perlu benar dihantar ke kelas moral dan etika kerana kelas agama yang mereka hadir asyik berbicara tentang dosa aurat perempuan sahaja. 

Maafkanlah saya. Lelaki sekarang memualkan saya dan bicara ini untuk mereka. Jika anda lelaki yang tidak sedemikian, usah terasa.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, May 26, 2018

Proud to be Malaysian


It has been almost three weeks since Pakatan Harapan take over this country but the excitement inside me is still there. Sometimes it felt like a dream comes true to see a brand new Malaysia and to see Barisan Nasional been defeated.

I am very happy and proud, and hoping for a better future. No more racism, no more threat. All I want to see is the unity of our people regardless of the ideology and color, the freedom of speech, and the smart leaders.

May Allah bless.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, May 23, 2018

Mengaji

Sempena Ramadan Kareem ini, tentunya azam di hati mahu melebihkan amal ibadah. Setahun cuma diberi sebulan, kadang 30 kadang 29 hari yang segala ganjaran digandakan. Alangkah rugi jika disia-siakan begitu sahaja.

Selain bertarawih setiap malam, mengaji al-Quran juga diberi penekanan. Terima kasih kepada teknologi yang pesat ini yang memungkinkan al-Quran dibaca dari telefon sahaja.

Beberapa tahun yang lalu, untuk mengaji perlu berwuduk dahulu dan membaca dari mushafnya. Jika di tempat kerja akan sedikit sukar kerana wuduk tidak terjaga. Kini, saya boleh mengaji di mana-mana pada bila-bila masa sahaja kerana telefon sentiasa ada di sisi. Lapang sahaja, saya mengambil peluang untuk mengaji. Kalau di rumah, saya boleh melakukannya sambil berbaring di bilik.

Alhamdulillah. Jika dengan kemudahan sebegini pun masih bermasalah untuk khatam al-Quran dalam Ramadan, tidaklah boleh disalahkan sesiapa lagi selain diri sendiri. Disiplin dan teknik amat penting bagi memastikan sasaran khatam dalam Ramadan ini tercapai.

Teknik saya, saya bahagikan kepada tiga waktu bacaan dalam sehari iaitu pagi, petang dan malam. Pagi selalunya selepas solat Subuh dan waktu luang di sekolah. Petang pula semasa menunggu suami menjemput dan selepas solat Asar atau sementara menunggu berbuka. Dan malam saya akan baca selepas maghrib dan selepas tarawih.

Setiap waktu bacaan itu saya pastikan akan habis satu hizb bersamaan setengah juzuk. Jadi sehari saya dapat tiga hizb atau satu setengah juzuk. Dalam dua puluh hari saya pun khatam. Sepuluh hari berbaki itu ialah tempoh uzur saya. Jika uzur saya tidak sampai sepuluh hari, saya boleh menambah bacaan lagi. 

Ada hari saya sibuk dan tidak sempat menghabiskan tiga hizb itu, jadi saya akan gandakan bacaan pada hari yang saya lapang. Dengan adanya aplikasi Quran di telefon, saya tidak perlu risau kerana saya boleh menyambung bacaan saya tidak kira di mana. 

Alhamdulillah, semoga Allah menerima amalan kita. Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, May 21, 2018

Manis

Dalam bulan puasa ini, seorang guru di sekolah saya mengambil tempahan untuk lauk dan kuih berbuka. Saya yang sememangnya pencinta makanan ini tentu amat teruja dan mahu menempah setiap hari.

Hari pertama, menu yang ditawarkan ialah ikan siakap stim, ayam mangga, lala sahara dan udang telur masin. Tentunya pilihan saya ialah siakap stim yang berharga tiga belas ringgit untuk separuh ikan. Wah! Saya bercadang untuk menikmatinya seusai solat tarawih nanti.

Saya tidak membeli banyak kerana lauk berbuka sudah dibeli oleh suami saya dari kantin sekolahnya. Ikan siakap stim pula suami saya tidak gemar. Jadi saya membeli bagi pihak diri sendiri sahaja.

Lalu malam itu, dengan perasaan teruja saya membuka bekas lauk tersebut, mencubit ikan dan menyuap ke mulut. Aduh, saya kecewa!

Rasanya tidak seperti yang saya harapkan. Saya menjangkakan rasanya masin dan sedikit masam tetapi apa yang lalu di tekak saya ialah rasa yang manis. Siakap stim itu manis! 

Tentulah saya kecewa benar kerana sudah lama saya tidak menikmati siakap stim kegemaran saya. Apakan daya, saya tidak mampu menghabiskan ikan itu san sehingga hari ini ia masih ada di dalam peti ais saya.

Lidah saya masih belum mampu menerima lauk yang manis-manis biar pun saya ini anak Kelantan. Masakan saya jarang benar diletak gula, dan kalau saya letak pun hanya untuk mengimbangi rasa bukan untuk memaniskannya. Manis dalam lauk memberi saya rasa yang loya dan tidak sesuai dimakan dengan nasi putih.

Saya pun hairan kenapa mereka suka lauk yang manis. Jika kuih atau air saya boleh terima, tetapi lauk pauk tidak. Inilah padahnya jika membeli lauk di kedai. Tetapi tidak mengapa, saya tidak serik. Saya masih mahu menempah jika ada peluang lagi.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, May 19, 2018

Tiba

Alhamdulillah, ada izin-Nya untuk saya menghirup udara Ramadan 1439H ini. Semoga pengisian kali ini lebih berkualiti dan amal ibadah saya diterima.

1 Ramadan tiba pada Khamis 17 Mei, dan di sini ia adalah hari persekolahan. Saya bangkit seawal jam 4.05 pagi untuk menyediakan sahur - hati dan paru goreng ditemani telur kicap. Seperti selalu selera saya tidak pernah bermasalah walaupun pada jam sebegini.

Usai sahur, saya bersiap ke sekolah pula. Mengambil keberkatan bulan Ramadan ini, pihak sekolah mengadakan solat hajat di dataran tetapi saya tidak menyertai kerana terikat dengan penyediaan jadual relief. Semoga Allah memperkenankan segala doa dan hajat hamba-hamba-Nya yang bermohon.

Peperiksaan pertengahan tahun sedang berlangsung untuk tingkatan empat dan lima jadi seharian hari ini saya cuma mengawas peperiksaan. Mata agak mengantuk tetapi saya masih mampu bertahan.

Jam 2.30 petang suami menjemput saya pulang ke rumah. Dia sudah membeli lauk pauk di kantin untuk juadah berbuka kami. Gulai ayam kampung, gulai ikan talang, patin tempoyak dan kerabu sare menjadi pilihannya. Kuih pula agar-agar santan dan ketupat sotong. Harga hidangan kami ini cuma dua puluh lima ringgit sahaja. Berbaloi, bukan?

Di rumah, saya tidur sehingga Asar. Suami saya ke masjid dan pulang bersama mek. Malam tadi lagi dia memberitahu saya dia mahi mek berbuka puasa di sini hari ini.

Untuk mek, saya tambah satu lagi menu iaitu daging goreng. Nampaknya banyaklah pula lauk kami hari ini. Mek pun menegur, katanya tak tahu nak makan yang mana.

Begitulah bila membeli. Semua lauk nampak sedap tetapi bila makan, tidak habis pula. Pun saya tidak mahu membazir. Daging goreng itu saya beri mek bawa pulang untuk dibuat sahur nanti. Lauk-lauk lain yang masih berbaki saya simpan elok-elok dalam peti untuk dipanaskan bila kami bersahur pagi nanti. Alhamdulillah, semuanya habis. 

Hari kedua Ramadan, Jumaat dan ia cuti umum di sini. Tentulah saya lebih seronok berpuasa pada hari cuti. Masa lebih luas untuk saya melakukan pelbagai perkara. Jadi saya memasak sendiri juadah berbuka hari ini. Sup tulang, ikan selar kuning goreng dan kacang panjang goreng campur sotong. 

Semoga Ramadan ini memberi ruang untuk saya menjadi hamba yang lebih baik. In shaa Allah. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, May 14, 2018

Bermula

Lima hari bercuti sempena Pilihanraya dan kemenangan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang cukup istimewa. Jika mengikut perancangan, cuti sekolah saya hanyalah pada Rabu sahaja (dengan anggapan BN akan menang lagi).

Malam keputusan itu, saya tidak mampu tidur lena. Suami di sebelah yang kepenatan bertugas di pusat mengundi siang tadi, sudah lama lena. Jam menghampiri 1 pagi, saya masih menatap skrin telefon untuk melihat keputusan.

Geram juga apabila keputusan dilambat-lambatkan begini. Saya perlu tahu lebih awal sama ada esok cuti atau tidak. Doa saya tentunya untuk kekalahan BN. Dan jika ia berlaku, cutilah esok!

Benar, setiap hari saya mendoakan kekalahan BN. Bukan kerana mahukan cuti, tetapi saya mahukan perubahan. Bukan kerana PH itu pilihan terbaik, tetapi BN sudah terlalu teruk. Bukan saya mahu Cina menjadi berkuasa, tetapi saya yakin perpaduan itu lebih utama.

Saya muak dengan isu perkauman. Sejak lama itulah sahaja pegangan mereka. Biar seteruk mana pun BN memerintah tidak mengapa, kerana mereka itu Melayu. Sungguh saya tidak gemar dengan doktrin begini. Sumbang!

Saya memilih PH dalam curiga juga, tetapi demi menumbangkan BN itu sahaja pilihan yang ada. Saya tahu PH banyak kekurangan tetapi saya mahu sedikit pembetulan dalam pemerintahan. 

Doa saya masih berterusan, agar kerajaan baharu ini memberi yang lebih baik. Tentulah akan ada pincang di sana sini, tetapi biarlah yang kecil-kecil sahaja. Tiada ketirisan, tiada kesengsaraan.

Jika tidak, tentulah lima tahun lagi saya akan memilih yang lain pula.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, May 10, 2018

Sejarah

Saat menulisi hantaran ini, saya masih menanti Perdana Menteri baru mengangkat sumpah di Istana Negara. Sejak pagi tadi, ia ditangguh-tangguh. 

Saya hanya mahu mendoakan yang baik-baik untuk negara Malaysia yang tercinta. Dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku, malah tidak mampu kita jangka. Walaupun saya begitu bahagia dengan keputusan PRU 14 pada Rabu semalam, tetapi jauh di sudut hati saya masih ada curiga dan risau. Mana tahu ada permainan lain yang kita tidak mampu menelah pada masa ini? Harap-harap tidaklah begitu. Biarlah pilihan rakyat kali ini dibalas dengan segala kebaikan dan direstui Tuhan.

Bukan menidakkan segala jasa kerajaan lepas, tetapi tempoh 61 tahun sesungguhnya terlalu lama. Ada rasa jemu, bosan dan mahu sesuatu yang baru tanpa perlu memperjudikan apa-apa. Tanpa sebarang isu perkauman, saya mahu keharmonian dan keamanan sebuah negara berbilang bangsa. Terlalu banyak yang perlu diusahakan demi perpaduan, kerana sentimen perkauman masih tebal dalam diri sebahagian rakyat.

 Kita sudah lama merdeka. Cukup-cukuplah menakutkan Melayu dengan ancaman Cina dan menaruh syak wasangka yang tidak berkesudahan. Kita semua makhluk Tuhan, tiada beza.

Semoga amanlah.

Amin.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, May 08, 2018

Gambar Hari Guru












Hari Guru 2018

Tahun ini mood saya sangat baik. Apabila Kelab Guru mengumumkan Hari Guru akan disambut pada tarikh 7 Mei - lebih awal daripada yang sepatutnya - saya berasa sangat seronok. Dan apabila temanya diberi - retro dan enam puluhan - saya rasa teruja pula.

Tidak banyak hari yang ada sebelum hari sambutan tiba jadi persediaan untuk memenuhi tema itu tidak mampu saya lakukan dengan baik. Minda saya hanya mencari idea daripada baju-baju sedia ada sahaja walaupun ada rakan guru yang menempah dan membeli pakaian khusus untuk hari tersebut.

Enam puluhan. Saya masih belum lahir lagi, tetapi saya ini peminat filem P Ramlee. Saya nampak pakaian saya yang sesuai ialah kurung songket, dan berselendang. Maklumlah, pada tahun enam puluhan siapa pun tak memakai tudung seperti sekarang. Jadi saya memilih tudung hitam mewakili warna rambut, dan selendang sewarna tenunan songket saya. Juga cermin mata hitam. Wah!

Ramailah yang bertanya, tidak mahu bergaya dengan peplum macam Saloma kah? Saya katakan saya tidak sanggup menampakkan perut buncit saya di khalayak ramai. Saya hanya mahu berkurung pesak, dan ia pakaian malar hijau yang tidak ditelan masa. Bukankah?

Hari yang dinanti tiba jua. Bermula dengan acara sukan, saya menyudikan diri menyertai Explorace. Walaupun saya tidak pernah mengenali permainan ini, tetap saya mahu memberi sokongan kepada pelajar yang sudah menyediakan bahan. Dalam ketidaktahuan itu, saya dan rakan sepasukan saya - Hanisah dan Hasmah - berjaya juga menjadi johan. Ini satu pencapaian yang membanggakan!

Selepas rehat, kira-kira jam sebelas pagi, kami berarak ke dewan. Rupanya ada rakan guru yang memandang saya dua kali, tidak percaya sayalah itu yang berbusana sedemikian. Malah anak murid juga menegur saya kelihatan cantik hari ini. Tentulah dada saya kembang kempis dengan pujian mereka.

Di dewan, saya menyertai juga persembahan. Berlatarbelakangkan video lagu "Wahai Nenek Si Bongkok Tiga" dari filem Musang Berjanggut arahan P Ramlee, kami guru-guru dari rumah Biru melakonkan aksi serupa dengan lakonan P Ramlee dan Saadiah itu. Riuh rendah sorakan murid melihat aksi guru yang spontan tanpa sebarang latihan. Wah, ini perkembangan bagus. Saya sudah tidak takut pada pentas lagi! 

Usai acara dewan, kami menjamu selera di kantin. Cukup enak rasanya nasi putih berlaukkan gulai dalca dan ayam masak merah ditambah pula dengan pemanis mulut lompat tikam istimewa.

Jam dua petang, saya pulang menumpang Ustazah Siti Meriam kerana suami saya ada acara. Kali ini saya pulang ke rumah emak, dan dapatlah saya melepas rindu untuk mendengar pelbagai cerita dari emak.

Jam empat petang, suami saya tamat acaranya dan saya dijemput pulang ke rumah di Chenok pula.

Sekian hari guru saya.

Sunday, May 06, 2018

Berdiari

Lama saya tidak berdiari. Biar hari ini saya mengarang sedikit catatan.

Seawal pagi saya bangkit dan menyediakan diri untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang insan di muka bumi ini. Ahad selalunya hadir dengan sedikit rasa berat tetapi tidak bagi saya. Dari malam tadi lagi saya tidak sabar-sabar untuk ke sekolah.

Jam 6.43 pagi saya tiba di pagar sekolah. Semangat diri tidak pernah pudar biar apa pun mendatang. Tugas pertama saya setiap pagi sebagai penyedia jadual relief saya selesaikan dengan mudah. Ditemani Nani, saya menuju ke kantin untuk sarapan pada saat perhimpunan masih berjalan. 

Maafkan saya. Saya bukan ponteng perhimpunan tetapi sebagai guru penyedia jadual relief saya diberi pelepasan. Nani pula ada kursus di PKG pada jam 8.30 nanti jadi dia perlu sarapan dahulu sebelum keluar ke sana.

Kelas saya hanya bermula pada jam 9.40. Sementara menanti waktu itu saya bersantai di perpustakaan bersama Kak Sham. Saya cuma mahu mendinginkan badan sebelum ke kelas.

5 Ibnu Sina adalah kelas yang terdiri daripada murid-murid aliran Sains yang boleh dikatakan cemerlang. Saya seronok mengajar mereka terutamanya Humaira' yang tekun dan Amisya yang rajin. Walaupun ada beberapa orang yang kelihatan tidak begitu meminati mata pelajaran Matematik Tambahan ini, saya masih boleh bersabar. Saya akan mencuba memberi kelas pemulihan kepada mereka yang bermasalah ini seperti Azira, Azreen dan Ezri. Semoga celiklah mereka nanti. Amin.

4 Ibnu Khaldun pula kelas ketiga dan paling lemah untuk mata pelajaran saya ini. Mencabar sungguh menguli murid-murid yang sangat lemah asas Matematik tetapi tetap mahu mengambil Matematik Tambahan. Saya terima ini sebagai satu cabaran dan akan melakukan segala yang termampu untuk memberikan keputusan yang baik buat mereka. In shaa Allah. 

Itu sahaja kelas saya hari ini yang tamat pada jam 12.10 tengah hari. Memandangkan saya akan ke klinik Perol sepulang dari sekolah nanti, saya menuju ke kantin untuk makan tengah hari. Nasi berlaukkan ikan patin dan terung sambal sememangnya enak bagi saya. Alhamdulillah. 

Saya solat Zohor dahulu sebelum pulang dan pada jam 2.40 suami saya tiba menjemput saya. Kami sama-sama ke klinik Perol, saya untuk menyambung ubat darah tinggi dan dia untuk mengambil keputusan ujian darah yang dilakukan dua minggu lepas.

Jam 3.40 semuanya selesai dan kami pulang ke rumah. Sempat saya lena sehingga jam lima petang dek kepenatan.

Selesai solat Asar, saya ke dapur. Kali ini saya sediakan mi berkuah ringkas untuk hidangan kami. Hajatnya mahu disantap sebelum maghrib tetapi suami saya kekenyangan kerana dia sudah menikmati hidangan petang di kedai kopi.

Selepas Isya barulah kami makan dan jam 9.45 suami saya keluar untuk bermesyuarat. Saya mengambil kesempatan ini untuk berdiari.

Entah pukul berapalah dia akan pulang, saya tidak mampu menanti. Mata saya sudah berat benar rasanya.

Selamat malam.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, May 03, 2018

Novel

Tahukah anda sebenarnya saya ini penggemar novel? Saya boleh menghabiskan sebuah novel hanya dalam masa semalaman tanpa lena! Sungguh!

Saya pernah tidak sedar langsung asrama saya di spot check hanya kerana terlalu khusyuk menghadap novel Inggeris karya Danielle Steele. Mujur bilik saya tidak diketuk, dan saya selamat. Esoknya baru saya tahu mereka semua (rakan seasrama) diperiksa tetapi saya tidak. Mungkin warden menyangka bilik saya tidak berpenghuni.

Juga, saya akan tidak lapar dan tidak dahaga apabila mendapat novel yang serasi dengan jiwa. Saya boleh lupakan semua kerja dan semua masalah apabila saya menghadap novel.

Itu dahulu. Sekarang?

Saya tahu saya masih begitu tetapi apabila berada pada usia sebegini, keutamaan sudah saya bezakan. Walaupun mahu, tetapi ada perkara lain yang lebih perlu.

Sudahnya, ada berbiji-biji novel yang masih belum saya sentuh. Saya membeli kerana terliur, tetapi saya belum berkesempatan membacanya. 

Mungkin faktor usia perlu diambilkira dan saya tidak boleh lagi melayan perasaan dengan novel.

Begitulah.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.