Monday, May 14, 2018

Bermula

Lima hari bercuti sempena Pilihanraya dan kemenangan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang cukup istimewa. Jika mengikut perancangan, cuti sekolah saya hanyalah pada Rabu sahaja (dengan anggapan BN akan menang lagi).

Malam keputusan itu, saya tidak mampu tidur lena. Suami di sebelah yang kepenatan bertugas di pusat mengundi siang tadi, sudah lama lena. Jam menghampiri 1 pagi, saya masih menatap skrin telefon untuk melihat keputusan.

Geram juga apabila keputusan dilambat-lambatkan begini. Saya perlu tahu lebih awal sama ada esok cuti atau tidak. Doa saya tentunya untuk kekalahan BN. Dan jika ia berlaku, cutilah esok!

Benar, setiap hari saya mendoakan kekalahan BN. Bukan kerana mahukan cuti, tetapi saya mahukan perubahan. Bukan kerana PH itu pilihan terbaik, tetapi BN sudah terlalu teruk. Bukan saya mahu Cina menjadi berkuasa, tetapi saya yakin perpaduan itu lebih utama.

Saya muak dengan isu perkauman. Sejak lama itulah sahaja pegangan mereka. Biar seteruk mana pun BN memerintah tidak mengapa, kerana mereka itu Melayu. Sungguh saya tidak gemar dengan doktrin begini. Sumbang!

Saya memilih PH dalam curiga juga, tetapi demi menumbangkan BN itu sahaja pilihan yang ada. Saya tahu PH banyak kekurangan tetapi saya mahu sedikit pembetulan dalam pemerintahan. 

Doa saya masih berterusan, agar kerajaan baharu ini memberi yang lebih baik. Tentulah akan ada pincang di sana sini, tetapi biarlah yang kecil-kecil sahaja. Tiada ketirisan, tiada kesengsaraan.

Jika tidak, tentulah lima tahun lagi saya akan memilih yang lain pula.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment