Kerana saya seorang perempuan yang berjiwa feminis, tentunya pandangan saya kepada lelaki agak skeptikal. Itu tidak boleh dielak, tetapi masih saya berada pada landasan yang sesuai.
Saya sudah terlalu lama bergelumang dengan lelaki-lelaki yang punya pelbagai wajah. Suami saya juga semestinya lelaki, tetapi saya tetap tidak berganjak daripada persepsi saya terhadap lelaki-lelaki masa kini walaupun suami saya seperti termasuk di dalamnya.
Bukan begitu. Saya mensyukuri kehadiran seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab di sisi saya, yang tidak pernah mengabaikan saya dalam apa segi pun, yang memahami dan sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Saya nampak semua ciri itu dalam diri suami saya maka tidaklah dia perlu saya leteri atau bimbangi. Persepsi saya di sini adalah kepada sebahagian besar kaum lelaki yang bodoh di luar sana.
Lelaki yang bodoh ini sungguh sangat ramai. Malangnya kebodohan itu bukanlah suatu dosa seperti dosa perempuan mendedahkan aurat. Asal aurat terdedah sahaja tentu perempuan itu berdosa dan masuk neraka. Tetapi lelaki yang bodoh ini masih boleh masuk syurga.
Kebodohan lelaki ini sangat ketara dan nampak jelas apabila mereka berbicara atau berbincang tentang apa hal sekali pun. Fikiran mereka hanya tertumpu kepada satu fokus yang sama - seks. Tiada topik lain yang lebih penting daripada itu.
Apa sahaja yang kita bualkan, ke situlah arah tuju mereka. Nampak tak kebodohan itu? Perempuan pada pandangan mereka ialah makhluk Tuhan kelas kedua yang dicipta semata-mata sebagai objek yang boleh disenda gurau dalam semua keadaan. Mereka hebat apabila berbicara tentang poligami tetapi bukanlah kerana mahu memartabatkan perempuan atau membela nasib kaum hawa sebaliknya untuk berbangga dengan kejantanan mereka seolah-olah kejantanan itulah yang akan ditanya Tuhan di padang mahsyar nanti.
Bodoh, bukan?
Saya bukan memukul rata kerana saya masih amat menghormati lelaki-lelaki yang tahu adab, bijak berbicara, matang memberi pendapat dan tidak menghina perempuan sesuka hati di depan mata kita, tetapi seramai manalah yang begitu. Tinggal sekerat dua sahaja dan susahnya mahu bertemu. Di gedung ilmu seperti sekolah menengah ini pun ramai benar yang bodoh.
Lebih menyakitkan hati apabila bicara-bicara bodoh begitu dilayan pula oleh perempuan-perempuan yang tidak sedar mereka sedang diaibkan. Lalu berdekah-dekah ketawa memecah suasana dan membakar hati saya.
Sampai bila begini? Lelaki-lelaki ini perlu benar dihantar ke kelas moral dan etika kerana kelas agama yang mereka hadir asyik berbicara tentang dosa aurat perempuan sahaja.
Maafkanlah saya. Lelaki sekarang memualkan saya dan bicara ini untuk mereka. Jika anda lelaki yang tidak sedemikian, usah terasa.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment