Tahun ini mood saya sangat baik. Apabila Kelab Guru mengumumkan Hari Guru akan disambut pada tarikh 7 Mei - lebih awal daripada yang sepatutnya - saya berasa sangat seronok. Dan apabila temanya diberi - retro dan enam puluhan - saya rasa teruja pula.
Tidak banyak hari yang ada sebelum hari sambutan tiba jadi persediaan untuk memenuhi tema itu tidak mampu saya lakukan dengan baik. Minda saya hanya mencari idea daripada baju-baju sedia ada sahaja walaupun ada rakan guru yang menempah dan membeli pakaian khusus untuk hari tersebut.
Enam puluhan. Saya masih belum lahir lagi, tetapi saya ini peminat filem P Ramlee. Saya nampak pakaian saya yang sesuai ialah kurung songket, dan berselendang. Maklumlah, pada tahun enam puluhan siapa pun tak memakai tudung seperti sekarang. Jadi saya memilih tudung hitam mewakili warna rambut, dan selendang sewarna tenunan songket saya. Juga cermin mata hitam. Wah!
Ramailah yang bertanya, tidak mahu bergaya dengan peplum macam Saloma kah? Saya katakan saya tidak sanggup menampakkan perut buncit saya di khalayak ramai. Saya hanya mahu berkurung pesak, dan ia pakaian malar hijau yang tidak ditelan masa. Bukankah?
Hari yang dinanti tiba jua. Bermula dengan acara sukan, saya menyudikan diri menyertai Explorace. Walaupun saya tidak pernah mengenali permainan ini, tetap saya mahu memberi sokongan kepada pelajar yang sudah menyediakan bahan. Dalam ketidaktahuan itu, saya dan rakan sepasukan saya - Hanisah dan Hasmah - berjaya juga menjadi johan. Ini satu pencapaian yang membanggakan!
Selepas rehat, kira-kira jam sebelas pagi, kami berarak ke dewan. Rupanya ada rakan guru yang memandang saya dua kali, tidak percaya sayalah itu yang berbusana sedemikian. Malah anak murid juga menegur saya kelihatan cantik hari ini. Tentulah dada saya kembang kempis dengan pujian mereka.
Di dewan, saya menyertai juga persembahan. Berlatarbelakangkan video lagu "Wahai Nenek Si Bongkok Tiga" dari filem Musang Berjanggut arahan P Ramlee, kami guru-guru dari rumah Biru melakonkan aksi serupa dengan lakonan P Ramlee dan Saadiah itu. Riuh rendah sorakan murid melihat aksi guru yang spontan tanpa sebarang latihan. Wah, ini perkembangan bagus. Saya sudah tidak takut pada pentas lagi!
Usai acara dewan, kami menjamu selera di kantin. Cukup enak rasanya nasi putih berlaukkan gulai dalca dan ayam masak merah ditambah pula dengan pemanis mulut lompat tikam istimewa.
Jam dua petang, saya pulang menumpang Ustazah Siti Meriam kerana suami saya ada acara. Kali ini saya pulang ke rumah emak, dan dapatlah saya melepas rindu untuk mendengar pelbagai cerita dari emak.
Jam empat petang, suami saya tamat acaranya dan saya dijemput pulang ke rumah di Chenok pula.
Sekian hari guru saya.
No comments:
Post a Comment