Sunday, May 06, 2018

Berdiari

Lama saya tidak berdiari. Biar hari ini saya mengarang sedikit catatan.

Seawal pagi saya bangkit dan menyediakan diri untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang insan di muka bumi ini. Ahad selalunya hadir dengan sedikit rasa berat tetapi tidak bagi saya. Dari malam tadi lagi saya tidak sabar-sabar untuk ke sekolah.

Jam 6.43 pagi saya tiba di pagar sekolah. Semangat diri tidak pernah pudar biar apa pun mendatang. Tugas pertama saya setiap pagi sebagai penyedia jadual relief saya selesaikan dengan mudah. Ditemani Nani, saya menuju ke kantin untuk sarapan pada saat perhimpunan masih berjalan. 

Maafkan saya. Saya bukan ponteng perhimpunan tetapi sebagai guru penyedia jadual relief saya diberi pelepasan. Nani pula ada kursus di PKG pada jam 8.30 nanti jadi dia perlu sarapan dahulu sebelum keluar ke sana.

Kelas saya hanya bermula pada jam 9.40. Sementara menanti waktu itu saya bersantai di perpustakaan bersama Kak Sham. Saya cuma mahu mendinginkan badan sebelum ke kelas.

5 Ibnu Sina adalah kelas yang terdiri daripada murid-murid aliran Sains yang boleh dikatakan cemerlang. Saya seronok mengajar mereka terutamanya Humaira' yang tekun dan Amisya yang rajin. Walaupun ada beberapa orang yang kelihatan tidak begitu meminati mata pelajaran Matematik Tambahan ini, saya masih boleh bersabar. Saya akan mencuba memberi kelas pemulihan kepada mereka yang bermasalah ini seperti Azira, Azreen dan Ezri. Semoga celiklah mereka nanti. Amin.

4 Ibnu Khaldun pula kelas ketiga dan paling lemah untuk mata pelajaran saya ini. Mencabar sungguh menguli murid-murid yang sangat lemah asas Matematik tetapi tetap mahu mengambil Matematik Tambahan. Saya terima ini sebagai satu cabaran dan akan melakukan segala yang termampu untuk memberikan keputusan yang baik buat mereka. In shaa Allah. 

Itu sahaja kelas saya hari ini yang tamat pada jam 12.10 tengah hari. Memandangkan saya akan ke klinik Perol sepulang dari sekolah nanti, saya menuju ke kantin untuk makan tengah hari. Nasi berlaukkan ikan patin dan terung sambal sememangnya enak bagi saya. Alhamdulillah. 

Saya solat Zohor dahulu sebelum pulang dan pada jam 2.40 suami saya tiba menjemput saya. Kami sama-sama ke klinik Perol, saya untuk menyambung ubat darah tinggi dan dia untuk mengambil keputusan ujian darah yang dilakukan dua minggu lepas.

Jam 3.40 semuanya selesai dan kami pulang ke rumah. Sempat saya lena sehingga jam lima petang dek kepenatan.

Selesai solat Asar, saya ke dapur. Kali ini saya sediakan mi berkuah ringkas untuk hidangan kami. Hajatnya mahu disantap sebelum maghrib tetapi suami saya kekenyangan kerana dia sudah menikmati hidangan petang di kedai kopi.

Selepas Isya barulah kami makan dan jam 9.45 suami saya keluar untuk bermesyuarat. Saya mengambil kesempatan ini untuk berdiari.

Entah pukul berapalah dia akan pulang, saya tidak mampu menanti. Mata saya sudah berat benar rasanya.

Selamat malam.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment