Monday, May 28, 2018

Dugaankah?

Saya sedang menanda kertas di bilik peperiksaan ketika rakan guru itu datang. Dia mahu mencari kertas soalan tahun lepas, melihat saya sendirian di situ dia pun menegur saya.

"Ti, akak ada berkenan satu beg ni kat online. Semalam ada offer. Diorang kata kalau nak beli bagi tau aje kat Ti, nanti Ti tolong bayar dengan online banking."

Baru pagi tadi saya mengadu kepada suami saya yang saya ini sudah umpama 'banker' di sekolah saya. Setiap hari, malah semasa cuti pun mereka tega menulis mesej meminta saya selesaikan urusan pembelian online mereka. Saya cuba untuk ikhlas tetapi jika sehingga mengambil kesempatan dan mereka tidak pernah mahu melakukan sendiri dengan alasan tidak pandai, apa perasaan saya agaknya? Masih bolehkah ikhlas itu saya kekalkan?

Dan dengan selamba tanpa meminta izin saya, mereka mempromosi pula 'khidmat' saya ini kepada guru-guru lain sehingga berderu-deru yang mahu membeli itu ini setiap hari mencari saya.

Aduh! Dugaan apakah ini? Saya rasa bosan pula!

"Akak, saya ni dah macam banker kat sekolah ini ya.."

Seberani itu saya menutur kata-kata. Senyum masih terukir tetapi hati sudah kering.

Saya meneruskan cerita saya tentang bagaimana mereka sentiasa mencari saya walaupun pada hari cuti. Dan saya katakan saya hairan mengapa mereka semua tidak mahu mendaftar perbankan atas talian dan melakukan sendiri segala urusan. Ya, saya benar-benar mengatakannya.

Rakan guru itu duduk di hadapan saya dan berkata, "Betul tu, akak pun mahu juga mempunyai online banking sendiri tetapi akak tak pandai. Takut pun ya."

Sudah saya agak skema jawapan begitulah yang akan keluar daripada setiap bibir mereka. Tidak pandai dan takut. 

Malas saya mahu memanjangkan lagi coretan tentang perkara ini kerana sudah banyak kali saya meluahkannya di sini. Begitu bodohkah mereka sehingga tidak pandai menggunakan kemudahan yang dicipta untuk kita? Nama pun kemudahan, tentulah ia mudah!

Kalau sekali dua orang meminta tolong, saya masih boleh memahami mungkin mereka terdesak dan kesuntukan masa. Tetapi yang berlaku bukan begitu. Mereka sengaja mahu menggunakan saya tanpa rasa bersalah langsung. Setiap hari!

Siapa tidak bengang?


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment