Alhamdulillah, ada izin-Nya untuk saya menghirup udara Ramadan 1439H ini. Semoga pengisian kali ini lebih berkualiti dan amal ibadah saya diterima.
1 Ramadan tiba pada Khamis 17 Mei, dan di sini ia adalah hari persekolahan. Saya bangkit seawal jam 4.05 pagi untuk menyediakan sahur - hati dan paru goreng ditemani telur kicap. Seperti selalu selera saya tidak pernah bermasalah walaupun pada jam sebegini.
Usai sahur, saya bersiap ke sekolah pula. Mengambil keberkatan bulan Ramadan ini, pihak sekolah mengadakan solat hajat di dataran tetapi saya tidak menyertai kerana terikat dengan penyediaan jadual relief. Semoga Allah memperkenankan segala doa dan hajat hamba-hamba-Nya yang bermohon.
Peperiksaan pertengahan tahun sedang berlangsung untuk tingkatan empat dan lima jadi seharian hari ini saya cuma mengawas peperiksaan. Mata agak mengantuk tetapi saya masih mampu bertahan.
Jam 2.30 petang suami menjemput saya pulang ke rumah. Dia sudah membeli lauk pauk di kantin untuk juadah berbuka kami. Gulai ayam kampung, gulai ikan talang, patin tempoyak dan kerabu sare menjadi pilihannya. Kuih pula agar-agar santan dan ketupat sotong. Harga hidangan kami ini cuma dua puluh lima ringgit sahaja. Berbaloi, bukan?
Di rumah, saya tidur sehingga Asar. Suami saya ke masjid dan pulang bersama mek. Malam tadi lagi dia memberitahu saya dia mahi mek berbuka puasa di sini hari ini.
Untuk mek, saya tambah satu lagi menu iaitu daging goreng. Nampaknya banyaklah pula lauk kami hari ini. Mek pun menegur, katanya tak tahu nak makan yang mana.
Begitulah bila membeli. Semua lauk nampak sedap tetapi bila makan, tidak habis pula. Pun saya tidak mahu membazir. Daging goreng itu saya beri mek bawa pulang untuk dibuat sahur nanti. Lauk-lauk lain yang masih berbaki saya simpan elok-elok dalam peti untuk dipanaskan bila kami bersahur pagi nanti. Alhamdulillah, semuanya habis.
Hari kedua Ramadan, Jumaat dan ia cuti umum di sini. Tentulah saya lebih seronok berpuasa pada hari cuti. Masa lebih luas untuk saya melakukan pelbagai perkara. Jadi saya memasak sendiri juadah berbuka hari ini. Sup tulang, ikan selar kuning goreng dan kacang panjang goreng campur sotong.
Semoga Ramadan ini memberi ruang untuk saya menjadi hamba yang lebih baik. In shaa Allah. Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment