Dalam bulan puasa ini, seorang guru di sekolah saya mengambil tempahan untuk lauk dan kuih berbuka. Saya yang sememangnya pencinta makanan ini tentu amat teruja dan mahu menempah setiap hari.
Hari pertama, menu yang ditawarkan ialah ikan siakap stim, ayam mangga, lala sahara dan udang telur masin. Tentunya pilihan saya ialah siakap stim yang berharga tiga belas ringgit untuk separuh ikan. Wah! Saya bercadang untuk menikmatinya seusai solat tarawih nanti.
Saya tidak membeli banyak kerana lauk berbuka sudah dibeli oleh suami saya dari kantin sekolahnya. Ikan siakap stim pula suami saya tidak gemar. Jadi saya membeli bagi pihak diri sendiri sahaja.
Lalu malam itu, dengan perasaan teruja saya membuka bekas lauk tersebut, mencubit ikan dan menyuap ke mulut. Aduh, saya kecewa!
Rasanya tidak seperti yang saya harapkan. Saya menjangkakan rasanya masin dan sedikit masam tetapi apa yang lalu di tekak saya ialah rasa yang manis. Siakap stim itu manis!
Tentulah saya kecewa benar kerana sudah lama saya tidak menikmati siakap stim kegemaran saya. Apakan daya, saya tidak mampu menghabiskan ikan itu san sehingga hari ini ia masih ada di dalam peti ais saya.
Lidah saya masih belum mampu menerima lauk yang manis-manis biar pun saya ini anak Kelantan. Masakan saya jarang benar diletak gula, dan kalau saya letak pun hanya untuk mengimbangi rasa bukan untuk memaniskannya. Manis dalam lauk memberi saya rasa yang loya dan tidak sesuai dimakan dengan nasi putih.
Saya pun hairan kenapa mereka suka lauk yang manis. Jika kuih atau air saya boleh terima, tetapi lauk pauk tidak. Inilah padahnya jika membeli lauk di kedai. Tetapi tidak mengapa, saya tidak serik. Saya masih mahu menempah jika ada peluang lagi.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment