Saat menulisi hantaran ini, saya masih menanti Perdana Menteri baru mengangkat sumpah di Istana Negara. Sejak pagi tadi, ia ditangguh-tangguh.
Saya hanya mahu mendoakan yang baik-baik untuk negara Malaysia yang tercinta. Dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku, malah tidak mampu kita jangka. Walaupun saya begitu bahagia dengan keputusan PRU 14 pada Rabu semalam, tetapi jauh di sudut hati saya masih ada curiga dan risau. Mana tahu ada permainan lain yang kita tidak mampu menelah pada masa ini? Harap-harap tidaklah begitu. Biarlah pilihan rakyat kali ini dibalas dengan segala kebaikan dan direstui Tuhan.
Bukan menidakkan segala jasa kerajaan lepas, tetapi tempoh 61 tahun sesungguhnya terlalu lama. Ada rasa jemu, bosan dan mahu sesuatu yang baru tanpa perlu memperjudikan apa-apa. Tanpa sebarang isu perkauman, saya mahu keharmonian dan keamanan sebuah negara berbilang bangsa. Terlalu banyak yang perlu diusahakan demi perpaduan, kerana sentimen perkauman masih tebal dalam diri sebahagian rakyat.
Kita sudah lama merdeka. Cukup-cukuplah menakutkan Melayu dengan ancaman Cina dan menaruh syak wasangka yang tidak berkesudahan. Kita semua makhluk Tuhan, tiada beza.
Semoga amanlah.
Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment