Semalam suami saya berbuka di luar bersama-sama rakan-rakan guru sekolahnya. Mereka menempah hidangan berbuka di sebuah restoran berhampiran untuk sebelas orang dengan harga RM198.00. Menu yang dipilih ialah masakan Thai iaitu tom yam, siakap, daging merah, telur bungkus dan seumpamanya.
Mungkin dia terfikir yang saya akan teringin juga untuk menikmati hidangan berbuka sebegitu lalu memberi janji untuk membawa saya ke sana hujung minggu nanti.
Jujurnya, saya sedikit tidak selesa untuk berbuka puasa di luar. Pada saya waktu maghrib yang sempit itu menyukarkan saya menumpukan perhatian kepada hidangan dan menyiapkan diri untuk bersolat. Sebagai perempuan, persediaan untuk bersolat sedikit rumit berbanding lelaki. Saya memerlulan tandas yang selesa untuk menyucikan diri sebelum berwuduk dan bersolat. Jika tandas itu tidak bersih dan sempit, susah untuk saya menjaga pakaian saya daripada terkena najis. Jika tidak ke tandas, rasa tidak aman pula kerana sebagai perempuan saya selalu dalam keadaan tidak bersih. Jika mahu pulang bersolat di rumah tentunya tidak sempat.
Pun untuk berkata tidak mahu kepada ajakan suami tersayang, sungguhlah sukar.
Sebentar tadi dia mengulang tanya, bila kita akan keluar berbuka di restoran itu? Diam saya rupanya mudah ditafsir. Terus dia berkata, ke tak nak?
Bagai diumpan, saya mengiakan dan memberi alasan yang hidangan Thai itu sudah biasa saya makan. Saya turut menyertakan alasan kesukaran bersolat seperti huraian di atas.
Dia ok. Alhamdulillah. Masih mahu juga membelanja isterinya ini, dia mencadangkan kami bercuti ke luar Kelantan beberapa hari sebulan dua lagi untuk berehat dan makan-makan. Wah! Yang ini boleh dipertimbangkan.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment