Hati saya tersayat benar setiap kali mengingati anak kecil yang bernama Muhammad Aqil, yang kini sedang dirawat nun jauh di selatan tanah air, Johor Bahru. Menulis di sini pun mengundang air mata yang bukan sedikit. Saya sungguh rindu padanya, tetapi saya tiada upaya untuk menziarahi dia dan keluarganya di sana.
Setiap hari saya hanya mampu mengirim doa. Setiap kali ingatan kepadanya menerjah, setiap kali itulah saya bermohon agar Allah memberi kesembuhan dan menghilangkan kesakitannya. Dia masih terlalu kecil dan tidak mengerti apa-apa. Sakitnya tidak mampu diungkap. Peritnya tidak mampu dikongsi.
Semoga mama dan baba Muhammad Aqil kuat menerima dugaan sebegini. Allah itu maha baik, dia tidak pernah menganiayai hamba-Nya walau dalam apa keadaan sekalipun. Bermohonlah tanpa pernah jemu agar setiap yang ditakdirkan ini menjadi satu hikmah yang indah.
Jika mampu, mahu sahaja saya terbang ke sana, menemui Aqil dan ahli keluarganya sekadar untuk berkongsi sedikit rasa. Tetapi daya saya tiada. Semoga doa yang saya kirim akan diperkenankan Allah jua.
Kerana hanya Allah yang tahu bagaimana kerinduan yang ada di dalam hati saya.
Tabahlah.
No comments:
Post a Comment