Wednesday, October 31, 2018

Sekarang

Hari persekolahan untuk 2018 ini tinggal sepuluh hari sahaja lagi. Bunyi macam sedikit, tetapi kenyataannya tidak begitu. 

Jumaat hingga Selasa ini telah dimaktubkan dalam takwim persekolahan Malaysia sebagai cuti sempena Deepavali. SPM pula cuma 12 hari sahaja lagi. Anda rasa kami cikgu-cikgu ini ada masa untuk bercuti?

Mereka yang berkenaan sudah pun mengeluarkan jadual untuk kelas tambahan SPM. Percaya atau tidak, saya akan bertugas juga pada Ahad, Isnin dan Selasa. Nampaknya cuti saya langsung tiada.

Menjeritlah saya dalam hati. Geram!

Zaman sekarang ini, cikgu sudah melampau-lampau rajinnya. Tahu kenapa? Kerana sekolah diberi ranking mengikut kecemerlangan apabila keputusan SPM diumum nanti. Malulah kalau sekolah kami terkebelakang. Kenyataannya, murid tidaklah bersungguh-sungguh setara dengan cikgu. Nampak tak di mana pincangnya?

Saya rindu zaman saya mengajar di Kuala Krai dahulu. Cuti adalah cuti sepenuhnya tetapi keputusan Matematik Tambahan SPM saya sentiasa ada yang cemerlang juga walaupun tidak semua. Mana mungkin semua akan cemerlang kerana kebolehan mereka berbeza-beza. Yang tidak cemerlang itu kerana mereka tidak minat dan tidak mahu. Apa saya boleh buat. Di sini, di sekolah saya sekarang, kami para guru seperti memaksa-maksa mereka menerima sedangkan mereka sudah tiada perasaan itu. Seumpamanya cikgu yang terlebih risau jika keputusan teruk.

Hentikanlah budaya begini. Buat apa dibandingkan keputusan antara sekolah, jika semuanya tidak asli? Asli apanya kalau mereka mendapat gred yang baik kerana teknik memilih soalan tertentu sahaja dan latih tubi tidak kira masa?

Saya mahu menteri yang baharu ini fikirkan sesuatu agar guru tidak terbeban untuk bekerja pada hari cuti. Tolonglah!




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment