Sunday, October 07, 2018

Peti Sejuk


Peti sejuk menjadi sesuatu yang tidak boleh tiada pada zaman ini. Bolehkah anda membayangkan hidup anda tanpa peti sejuk? Sukar sekali bukan? Begitu kebijaksanaan pereka peti sejuk ini, sehingga memudahkan banyak perkara dan tentulah ada ganjaran Allah baginya.

Peti sejuk pertama saya ialah Panasonic satu pintu yang saya beli sebaik sahaja menginap di Taman Seri Guchil, Kuala Krai pada Disember 1998. Waktu itu rumah sewa kami cumalah rumah teres sempit tetapi memadai untuk keselesaan kami yang cuma berdua ini. Jadi saya memilih peti sejuk kecil sahaja yang harganya RM780. Alhamdulillah ia masih elok sehingga ke hari ini cuma tempatnya sekarang ialah di rumah mentua saya.

Pada November 2007, hati saya kepingin benar peti sejuk besar. Sudah hampir tiga tahun saya berpindah ke rumah sendiri yang ruang dapurnya sangat luas. Seperti tidak sesuai pula peti sejuk kecil itu di ruang yang luas dan lapang jadi saya mohon izin daripada suami untuk membeli peti sejuk baru yang lebih besar.

Suami saya mengikut sahaja dan hasilnya, saya membeli peti sejuk jenama Toshiba di kedai elektrik Kemudi Timur yang waktu itu masih di pekan Ketereh. Harganya RM1300.

Seronok saya menggunakannya dan ia tidak pernah meragam. Cuma pada Sabtu semalam, ia menjadi kurang sejuk.

Air batu saya tidak beku dan air minuman juga tidak sejuk seperti selalu. Tanpa mahu menunggu lebih lama, saya menggelintar mencari tukang baiki peti sejuk di internet dan terjumpalah dengan iklan oleh seorang pemuda bernama Amin di Facebook yang tinggal di Lundang Paku. Segera suami saya menghubungi pemuda itu  dan mujur dia kelapangan dan terus datang ke rumah kami.

Daripada penelitiannya peti sejuk kami itu cuma bermasalah biasa yang sering berlaku kepada peti sejuk jenama Toshiba. Dia boleh membaikinya dan kos barang dan upah ialah RM280. Kami bersetuju sahaja. 

Dia meminta supaya peti kami itu ditutup dahulu selama sehari untuk mencairkan ais yang menyumbat saluran dan petang esok baru dia datang kembali untuk membaiki.

Sebentar tadi, semuanya telah selesai dan saya berpuas hati dengan khidmat anak muda ini. Dia peramah dan lembut dalam berkata-kata.

Jika anda ada masalah peti sejuk bolehlah menghubungi beliau di laman facebooknya,
https://www.facebook.com/baikipetiaismesinbasuhkelantan/



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment