Apabila hari Sabtu saya diganggu, saya akan jadi bercelaru. Begitulah hari saya pada semalam. Rasa caca marba dan tidak keruan pada awalnya.
Kami warga SMK Kampong Chengal diarah untuk menyambut Hari Sukan Negara pada Sabtu semalam. Sekolah sekitar sini sudah pun menyelesaikannya pada Khamis. Jadi Sabtu saya kali ini tidak bebas lagi. Rasa geram dan kecewa sangat.
Pun sebagai guru yang baik tentunya saya akur. Jam 7.10 pagi suami menghantar saya ke sekolah. Selesai sarapan saya menyertai mereka bersenam robik di dewan sehingga 9.15 pagi. Seronok juga tetapi letih benar terlompat-lompat begitu.
Dalam letih itu, saya rasa mahu pulang. Jiwa sudah tidak tenang. Teringat pagi tadi suami saya kata dia akan ke Kota Bharu pada jam sepuluh untuk sedikit lagi urusan kereta. Saya segera menelefon supaya dia menjemput saya pulang dan hantarkan saya ke rumah emak selepas itu bolehlah dia terua menuju ke Kota Bharu.
Rasa gembira benar bila dapat ke rumah emak. Letih melompat-lompat tadi hilang terus apabila dapat menyalami tangan emak dan dapat melayan karenah budak-budak Sufi, Nasih dan Wajih. Kelakar pula bila berteka teki dengan kanak-kanak riang ini. Wafa pun ada menemani kami dalam tidur yang lena di pangkuan saya.
Sebenarnya hari Jumaat semalam saya sedih sangat. Jam lima saya dan suami turun dari rumah untuk meronda-ronda dengan kereta baru, kemudian singgah di rumah kak Zan pada jam 5.30. Ralit pula suami saya melayan soalan tentang kereta barunya dari sekalian anak saudara yang ada hingga membawa ke jam 6.30. Giliran ke rumah emak tidak sempat lama kerana Maghrib sudah dekat benar. Rasa ralat sangat hanya sepuluh minit sahaja sempat berada di rumah emak. Balik rumah saya rasa nak menangis. Tak tahu nak marah siapa. Saya doa minta Allah beri waktu untuk saya lama-lama di rumah emak pada ketika lain.
Dan Sabtu hari ini doa saya terkabul. Dalam kalut dan kelam pada awal pagi tadi, akhirnya Allah memberi saya rasa bahagia di pertengahannya kerana dapat bersantai di rumah emak. Alhamdulillah.
Jam 12 suami saya membawa saya kembali ke istana cinta kami untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini.
Jam 12 suami saya membawa saya kembali ke istana cinta kami untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment