Segalanya telah tertulis dan kitalah hamba yang wajib redha.
Macam sedih je intro, tetapi kisah saya ini tidak sedih. Ia tentang sebuah kenyataan yang saya rasai keajaibannya tetapi tidak tahu mahu bercerita dari mana.
Dua bulan lepas, sekitar awal September, rakan guru saya Kak Ana meminta sedikit bantuan saya untuk menempah penginapan hari keluarga sekolah kami di Tok Aman Bali Beach Resort. Selalu pun begitulah, jika berkaitan tempahan atas talian yang memerlukan penggunaan kad kredit atau perbankan maka sayalah yang pertama dicari. Ikutkan hati, saya tidaklah rajin sangat memaku diri di depan komputer untuk menempah 35 bilik dengan kad kredit peribadi pula. Saya bukan AJK Kelab Guru pun. Tetapi saya abaikan perasaan itu dan cuba mengikhlaskan diri membantu Kak Ana melakukannya.
Semuanya berjalan lancar dan saya menggunakan kad saya untuk sejumlah RM2950 manakala sebanyak RM4001 lagi menggunakan kad kredit Kak Ana. Lama juga kami mengambil masa untuk menempah melalui Agoda.Com. itu tetapi semuanya mudah sahaja dan tiada masalah apa-apa.
Sehinggalah pada awal Oktober, pihak Tok Aman Bali Resort memaklumkan kerosakan kolam mandinya. Tentulah tidak bermakna hari keluarga kami tanpa kolam mandi, jadi kami terpaksa membatalkan tempahan.
Ringkas cerita, setelah beberapa siri rundingan melalui telefon diadakan dengan pihak Agoda.Com, mereka bersetuju memulangkan kesemua bayaran yang telah kami buat itu kembali ke kad kredit kami.
Apabila wang itu kembali ke kad kredit tentunya saya tidak dapat mengambilnya secara tunai, sedangkan wang itu adalah milik Kelab Guru. Saya dengan rela hati mendahulukan wang sendiri untuk dibayar kepada Kelab Guru kerana saya mahu menelefon pihak bank dan merayu supaya memindahkan wang itu ke akaun simpanan saya. Malangnya mereka menolak kerana menyalahi prosedur. Saya mula berkira-kira dengan cara lain untuk mendapatkan wang itu secara tunai.
Dalam keadaan ini, saya seolah-olah mangsa keadaan. Saya berniat membantu, tetapi saya yang mengalami kerugian. Walaupun wang itu ada, tetapi bukan dalam bentuk tunai. Ralat juga tetapi saya anggap ini sebagai ujian Tuhan. Seperti selalu, saya tidak mahu bersedih.
Di pihak Kak Ana, pihak banknya menerima rayuan Kak Ana untuk memindahkan baki kreditnya ke akaun simpanan. Saya semakin kelu tetapi berlagak biasa sahaja. Biarlah. Saya terima segalanya dengan redha.
Awal minggu lepas, Kak Zahiran meminta saya bermalam bersama pelajar Pertima di Sudara Beach Resort untuk acara santai minda mereka. Seperti biasa, saya setuju sahaja. Saya kan guru Pertima, tidak eloklah saya menolak.
Lalu petang Khamis itu saya menaiki kereta Kak Zahiran untuk ke sana. Sewaktu Kak Zahiran mahu membayar kos penginapan sejumlah RM3312 secara tunai kepada pihak Resort, saya bertanyanya bolehkan guna kad kredit saya? Kak Zahiran kata boleh dan saya rasa satu kelegaan yang sangat nyaman!
Wang saya sudah dapat saya ambil secara tunai daripada kad kredit itu secara tidak langsung. Alhamdulillah!
Cuma sekarang ini tunai di tangan saya menjadi banyak dan saya kurang selesa memegang hampir RM5000 di dalam beg tangan. Tentunya saya perlu ke bank untuk memasukkan wang itu ke akaun saya melalui CDM.
Tiba-tiba adinda saya di Johor, Ustaz Rifqi memasukkan sejumlah RM2000 ke akaun saya pada petang Jumaat, untuk diberi kepada emak. Ya Tuhan! Gembira benar saya kerana semuanya berlaku pada waktu yang saya harapkan. Saya tidak perlu keluarkan duit itu kerana tunai yang saya ada sudah mencukupi dan saya juga tidak perlu memasukkan duit itu ke bank lagi. Faham kan?
Nampak tak, semuanya umpama kebetulan tetapi saya yakin itulah ketentuan Tuhan untuk saya dan saya wajib mensyukurinya. Segala yang berlaku itu tidak pun saya cerita kepada suami saya kerana saya tahu dia paling tidak suka jika saya dimangsakan tetapi kali ini saya bukanlah mangsa.
Saya mendapat pengajaran berharga daripada apa yang saya alami ini, iaitu keyakinan kepada Allah. Dialah yang membantu saya dan memudahkan segala urusan saya di luar dugaan saya sama sekali, maka saya wajib mensyukurinya sungguh-sungguh.
Jika saya tidak mengikut Kak Zahiran, saya tidak akan mendapat pulangan tunai itu. Maka Allah menggerakkan hati saya ke sana. Dan Allah juga menggerakkan hati adik saya untuk memasukkan wang emak ke akaun saya jadi saya tidak perlu memegang tunai yang banyak dan juga tidak perlu susah-susah mengajak suami saya ke bank.
Alhamdulillah. Segalanya dari-Mu ya Allah!
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment