Belum pernah lagi kami sarapan pagi sejauh hari ini. Selalunya kalau keluar sarapan pun cuma ke kedai nasi kerabu yang cuma 5km dari rumah kami.
Kali ini suami saya mahu sarapan nasi dagang di Warung Nasi Dagang Kak Yah di Gong Nering, Besut. Jaraknya kira-kira sejam perjalanan. Sebenarnya kami merancang sejak minggu lepas lagi tetapi tidak menjadi kerana Sabtu itu saya dikehendaki hadir ke sekolah untuk Hari Sukan Negara. Sebab itulah rancangan itu dibawa ke hari ini.
Sebelum bertolak pada jam 7.55 pagi, suami terlebih dahulu membeli sarapan untuk emaknya di seberang jalan sana. Itu rutin setiap hujung minggu. Dua bungkus nasi impit dibeli beserta nasi berlauk untuk cucu-cucu yang meneman mek tidur.
Perjalanan kami lancar sekali dan selamat tiba di warung itu pada jam 8.48 pagi. Tanpa membuang masa kami terus mengambil nasi dagang Terengganu dan memilih lauk yang ada. Selain nasi dagang Terengganu, ada juga nasi dagang Kelantan, nasi minyak, nasi kerabu dan nasi putih. Lauk pauknya pula ada ikan aya, gulai telur, gulai serati, gulai ayam, daging goreng, kerutuk dan macam-macam lagilah. Sangat banyak dan sedap-sedap belaka.
Saya yang menggemari semuanya, menjadi serba salah untuk memilih. Akhirnya rezeki saya berpihak pada gulai ikan aya dan telur. Suami pula mengambil dua ketul serati. Air yang kami minta - nescafe tarik untuk saya dan teh o beng untuk suami.
Lazat. Itu ulasan yang tulus.
Di sebelah warung itu ada kedai keropok Seri Setiu. Saya membeli sebungkus keropok ikan tamban berharga RM10 yang kelihatan sangat lazat. Harap-harap ia betul-betul lazat.
Jam 9.18 kami bergerak pulang dan melalui jalan Machang untuk sedikit makan angin. Sebenarnya suami saya mahu menguji kereta barunya untuk perjalanan jauh. Saya hanya mengikut sahaja.
Jam 10.22 kami tiba di G -Orange Mall untuk acara membeli belah pula. Rasanya sudah berminggu-minggu saya tidak mengisi peti sejuk saya, sejak ia rosak dulu. Kali ini bolehlah ia dipenuhi.
Saya menyediakan sayur lemak petola, ikan gelama goreng dan telur masin untuk hidangan tengah hari ini. Sebentar lagi apabila suami saya pulang dari solat Zohor kami akan sama-sama menikmati kelazatan masakan saya itu.
Sekian.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment