Hari ini sudah menjangkau lima bulan pemerintahan PH di negara tercinta ini dengan slogan Malaysia Baharu. Jujurnya, masih banyak yang belum memenuhi impian saya tetapi memikirkan mereka masih baru maka saya tidak mahu terburu-buru menilai. Harapan untuk mereka memberi sesuatu yang imdah buat negara ini masih saya genggam kemas.
Oh ya, sewaktu PRU lalu, saya memang mengundi PH. Jadi saya sedang menanti segala yang dijanjikan mereka dengan penuh sabar. Tapi kenapa ya saya mengundi PH?
Sejak saya layak mengundi, sekali pun belum pernah saya mengundi BN. Walaupun saya kakitangan kerajaan, saya boleh membezakan antara kerajaan dan parti. Negara ini demokrasi. Mengundi pembangkang bukanlah satu kesalahan jenayah.
Bezanya pada PRU lepas, saya keliru antara PH dan Pas kerana sebelum ini mereka dalam satu pakatan. Saya mencari dan menggelintar, membaca pandangan insan-insan terpilih dan akhirnya saya nekad dan muktamad mengundi PH di peringkat Pusat walaupun di negeri saya, saya masih setia dengan Pas. Jangan kata saya lalang. Saya ada hujah saya cuma belum masanya untuk saya kongsikan di sini.
Apabila PH berjaya menawan Putrajaya, saya sangat gembira dan bersyukur. Terasa seperti menerima sebuah kemerdekaan baru buat negara yang sudah lebih 60 tahun ditadbir oleh BN. Kenapa saya gembira benar?
Pada saya, hikmah paling besar ialah pengajaran untuk BN yang rakyat kini sudah berani berubah. Ini menjadi titik tolak kepada bermulanya era politik baharu di negara ini. Bukan untuk BN sahaja sebenarnya, tetapu kepada PH juga. Jika mereka gagal memberi apa yang rakyat mahu, tunggulah jawapan dari rakyat jelata pada PRU seterusnya.
Keduanya, sebagai kakitangan kerajaan saya jelak benar dengan cara kami digunakan. Seolah-olah kami ini diperhati setiap masa dan jika membangkang kami akan terima akibatnya. Saya benci perkara sebegini kerana mereka tidak menyantuni maksud demokrasi. Lalu kekalahan BN ini biarlah mampu membuka mata mereka yang sebegini, biar mereka terduduk dan tahu bahawa kerajaan itu tidak semestinya BN.
Dan ketiganya, saya jemu dengan isu perkauman sempit yang dimainkan BN (Umno) sejak lama dan mereka tidak pernah mahu insaf. Isu ini akhirnya basi sendiri walaupun masih ada nada bimbang dan risau dalam kalangan penyokong mereka. Contohnya ialah guru-guru sekolah saya yang sudah begitu kukuh didoktrin oleh Umno sehingga berasakan Melayu sekarang sedang terancam. Entah bilalah pemikiran mereka akan berubah.
Setiap kali mereka berbicara tentang politik dalam kumpulan WhatsApp sekolah, saya hanya mampu mengeluh kebosanan. Nada kecewa masih jelas dalam bicara mereka. Pada hal kumpulan WhatsApp sekolah bukanlah medan untuk berbicara tentang politik.
Apabila PRU tiba lagi lima tahun nanti, senario mungkin berbeza dan pilihan saya juga mungkin berubah. Saya akan terus mencari dan menanti bersama semangat demokrasi.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment