Semalam dalam nada arahan yang serius, PKKo saya meminta saya hadir ke Program Hab Matematik Tambahan SPM pada jam 2 petang di SMK Dato' Ahmad Maher pada Isnin esok. Nadanya menjadikan saya terus bersetuju tanpa mempersoal apa-apa. Terus saya memberitahunya saya akan ke sana menaiki Grab pada hal saya belum pernah menggunakan perkhidmatan itu. Yakin sekali nada saya kerana saya tidak mahu dianggap mencari alasan untuk menolak tugas.
Bila saya maklumkan kepada suami yang saya akan menggunakan grab esok, wajahnya sedikit berkerut. Tiada orang lainkah yang boleh pergi? Mengapa saya setuju?
Saya katakan kepadanya saya tidak boleh menolak arahan pihak pentadbir dan saya katakan juga yang saya tidak risau apa-apa tentang grab. Dia diam. Setujulah tu..
Saya mencari juga maklumat daripada anak-anak murid yang tinggal di asrama kerana mereka biasa menggunakan grab. Kenapa cikgu? Cikgu nak ke mana?
Cikgu nak lari dari sekolah!
Akhirnya hari ini saya berjaya menggunakan grab untuk kali pertama. Sungguh saya begitu teruja kerana perkhidmatan ini sangat pantas dan cekap. Sekejap sahaja saya menunggu, tidak sampai sepuluh minit sudah tiba di pagar sekolah saya. Awallah pula saya tiba, jadi saya meminta dia turunkan saya di masjid kerana jam baru pukul 12.00.
Sempat lagi saya lena sementara menanti Zohor, dan usai solat saya menghubungi grab lagi untuk ke sekolah itu.
Wah! Saya seronok benar! Nampaknya selepas ini saya akan mudah untuk ke tempat kursus atau mesyuarat kerana grab sudi memandu saya ke sana. Terima kasih grab!
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment