Friday, October 12, 2018

Jumaat

Petang semalam, kereta Mercedes CLA180 kami selamat dipandu pulang oleh suami saya dan tiba tepat pada jam enam. Kereta putih berplat lama DAB1881 kini berada di dalam garaj dan in shaa Allah hari ini saya akan menaikinya.

Syukur Alhamdulillah atas segala kurnia. 

Entah mengapa, jujurnya saya tidak begitu teruja selama menanti kereta ini tiba, tidak seperti waktu menanti Camry dahulu. Mungkin kerana jiwa saya masih mencintai Camry yang telah berkhidmat penuh setia lebih lapan tahun itu. Mercedes ini sebagai memenuhi impian suami saya sahaja, bukan impian saya. Apa pun saya sentiasa mendoakan agar Allah meredhai setiap keputusan kami.

Sepulang dari Subuh pagi ini, suami saya memberitahu dia ada jemputan selepas solat Jumaat nanti. Tahukah anda ini adalah berita yang sangat baik dan menggembirakan? Apabila saya tidak perlu memasak, jiwa saya tenang sungguh!

Minggu ini memang bukan minggu memasak untuk saya akibat kerosakan peti sejuk yang tidak dijangka. Pada Ahad, peti sejuk sudah berfungsi tetapi ruang sejuk bekunya kosong. Setiap malam kami keluar makan di kedai. Malam Ahad kami makan char kue teow di Restoran Planet, malam Isnin kami santap di Restoran KST, malam Selasa Restoran Allisya pula. Malam Rabu di Restoran Sawadee.

Tiba malam Khamis, suami saya sudah bosan menu kedai jadi saya masakkan mi segera sahaja. Malam tadi, saya memasak juga akhirnya. Kebetulan saya membeli ayam organik yang dijual di sekolah jadi saya goreng sahaja ayam itu ditemani telur cicah kicap.

Begitulah resam seorang isteri bekerja yang malas memasak.

Tengah hari nanti saya belum fikir lagi nak masak apa. Yang penting tak payah susah-susah sebab untuk tekak saya seorang sahaja. Senang-senangkanlah diri.

Sekian dahulu. Jumpa lagi.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment