Saturday, October 03, 2020

Dekat Tapi Rindu

Selalunya hujung minggu saya yang dua hari ini dipenuhi dengan agenda yang sama. Jumaat menjadi hari saya menguruskan kain baju untuk dicuci dan dilipat, juga membersih rumah sekadarnya. Saya cuba untuk tidak ke mana-mana pada Jumaat kerana ia akan mengganggu ruang masa saya menyudahkan kerja. Saya bukan seperti orang lain yang boleh bekerja terus menerus dari pagi sampai petang. Saya perlu 'break' berkali-kali sehingga usai semuanya.

Sabtu, barulah saya keluar melunaskan apa yang patut. Seperti hari ini, saya ke kedai membeli lauk dan kemudian menziarah orang tua di seberang jalan. Hanya hari ini sekali sahajalah saya ada ruang untuk bertemu ma dan mek kerana pada hari lain saya bekerja. Begitu adanya, seorang anak yang tinggal hanya 1 km dari rumah ma tetapi tidak mampu ziarah ma selalu-selalu. Tuntutan hidup, kadang-kadang amat menyakitkan.

Ziarah pun bukanlah lama mana. Hanya bertanya itu ini sepatah dua, terus mahu pulang. Pada hal dalam hati, mahu saja saya berada lebih lama dengan ma. Apa daya, tanggungjawab lain sudah mengambil alih.

Bila merenung setiap detik yang saya lalui, ada rasa ralat dan terkilan juga. Mengapalah insan yang menjaga saya tanpa pernah mengeluh sejak dari dalam rahim lagi, terpaksa saya biarkan dia melalui harinya sendirian? Dan saya diberi tanggungjawab untuk berada di sisi orang yang baru saya kenali pada usia sudah dewasa. Adilkah?

Semuanya ketetapan. Saya tiada upaya untuk mengubahnya. Hanya doa tulus mengiringi ma, setiap ketika. Allah, jagalah ma dalam sebaik-baik jagaan. Lindungi dia dari segala kemudaratan.

No comments:

Post a Comment