Salam Maulidurrasul semua. Semoga dalam rahmat Allah selalu dan bahagia menempuh kehidupan biar apa pun rintangan dan ujian mendatang.
Kami bercuti agak panjang minggu ini lantaran Maulidurrasul yang tiba pada 29 Oktober, Khamis. Tiga hari yang cukup menenangkan, dan memberi ruang untuk saya meneroka diri sendiri.
Ikutkan hati, mahu saja bermalas-malasan tetapi mana mungkin begitu. Kain dalam bakul hampir melimpah, yang belum berlipat pun sudah menggunung. Belum lagi dikira sawang yang mula memenuhi siling. Saya memerhati, dan mencari masa untuk menguruskan semua beban itu tetapi entahlah, tidak pula saya menemui masa yang sesuai.
Hati di dalam meronta-ronta mahu keluar ke rumah ma, bertemu adik Zahidah dan adik Muhammad sekeluarga yang pulang bercuti. Mujur Jumaat itu suami saya ada jemputan kenduri maka terlepaslah saya dari segala kongkongan. Dapatlah saya berada di rumah ma dari tengah hari sehingga malam.
Tiba-tiba perut saya pula meragam, memulas lain macam. Terpaksalah saya menahan kesakitan walaupun tidaklah melampau-lampau. Dapat juga bermesra seadanya dengan kaum keluarga yang ada. Malam selepas Isyak baru saya pulang. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan mengizinkan saya menikmati ruang ini.
Sabtu itu saya berehat sungguh. Sakit perut masih bersisa tetapi sudah semakin pulih walaupun masih berulang alik ke bilik air. Malam ini saya sepatutnya berada di sekolah untuk kelas Matematik SPM tetapi saya ponteng.
Kenapa?
Saya tidak suka disuruh ke sekolah pada waktu malam. Saya tahu saya guru tetapi tugas itu hanya pada waktu siang. Malam adalah masa saya menunaikan tanggungjawab lain yang masih terlalu banyak. Tanpa memaklumkan pada pentadbir, saya tidak hadir. Murid-murid saya sudah saya bekalkan dengan soalan latihan, bukan dibiar begitu sahaja. Jadi saya tidak rasa bersalah pun.
Dan pada minggu-minggu mendatang nanti pun itulah yang akan saya lakukan.
Sekian untuk kali ini. Nanti kita jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment