Tapi sungguhlah, menjadi saya ini memang penuh dengan perkara pelik-pelik. Sungguhlah, saya suka Ahad.
Saya suka jika hari saya dipenuhi dengan kerja sekolah. Saya bosan mengemas rumah, memasak, membasuh dan melipat kain. Saya seronok mengajar, menyediakan analisis dan melayan diri sendiri di sekolah. Saya damai berada di bilik peperiksaan saya itu, sambil makan makanan dari kantin. Sungguhlah saya tenang setenangnya!
Pelik!
Hari ini saya masuk kelas 4 Ibnu Rushd mengajar Ketaksamaan Linear dalam Dua Pembolehubah. Saya rasa tidak puas mengajar dalam tiga puluh minit itu. Rasa mahu lebih masa lagi.
Kemudian saya ke kelas 4 Ibnu Sina menyelesaikan perbincangan soalan Add Maths pertengahan tahun. Saya rasa seronok sangat memberi tunjuk ajar tentang Surd, tentang Indeks dan Logaritma, juga tentang Fungsi Kuadratik kepada anak-anak didik saya. Ada kepuasan dalam jiwa menyudahkan semua itu. Sungguh!
Kembali ke bilik, saya menyemak kemasukan markah peperiksaan pertengahan tahun di komputer. Wah, tingkatan 4 dah selesai! Tidak sabar saya mahu menganalisis, melihat pencapaian anak-anak murid saya. Terus saya menghadap komputer melakukan analisis sehingga lupa laksam yang saya beli pagi tadi belum dimakan.
Dan Nani sahabat saya menegur, laksam awak ni bila nak makan?
Eh! Jam sudah hampir 1.15 tengah hari rupanya. Hmm, kejap lagilah saya makan. Rasa tak mahu berhenti menganalisis.
Begitulah saya. Janganlah mengata-ngata kerana saya memang seronok dengan kerja saya. Lebih seronok berbanding berada di rumah.
Aduhai, semoga Allah memberi kesihatan yang baik untuk saya agar dapat terus berbakti untuk negara.
No comments:
Post a Comment