Monday, October 05, 2020

Kereta Ayah

Zaman 70-an dahulu, sangat jarang keluarga yang memiliki kereta. Hanya golongan berada dan bergaji besar sahaja yang mampu membelinya.

Dalm keluarga saya, arwah pakcik Ahmad (abang ayah) sahaja yang ada kereta. Dia ustaz, mengajar di Muar, Johor. Dia memandu kereta Fiat warna coklat gelap. Saya tak boleh naik kereta pakcik, sebab mabuk. Kalau naik saya akan muntah. Bukan kereta pakcik saja, mana-mana kereta pun saya tak boleh naik sebab mabuk yang teruk.

Masa saya darjah satu (1979) ayah beli kereta. Kereta terpakai jenama Mitsubishi Colt bernombor pendaftaran DA1077, warna putih kuning. Saya tak tahu berapa harganya. Peliknya, saya tak mabuk langsung naik kereta ayah. Baunya normal, tak pening. Saya tak muntah pun.

Ayah pakai kereta itu sehingga tahun 1984. Ayah jual sebab nak bina rumah. Ayah jual murah saja, RM500. Tapi seingat saya pembeli kereta itu menipu ayah dan tidak membayar harga kereta. Kasihan ayah. Jahat betul orang tu. Tak taulah apa dah jadi kat dia sekarang. Tapi ayah baik, tak marah-marah pun. Bukan rezeki ayah, ayah reda.

Sejak itu ayah cuma menunggang motosikal sahaja ke pejabat. Motosikal Honda C70, DN6295 yang ayah beli pada hujung 1984 menggunakan pinjaman pekerja pejabatnya dengan bayaran bulanan RM50 sebulan selama lima tahun.

Pada 1991, ayah beli sebiji lagi motosikal model sama, bernombor pendaftaran DU7123 juga dengan pinjaman pekerja pejabatnya sebab motosikal lama ayah sudah meragam.

Selepas beberapa tahun menunggang motosikal, pada 1994, barulah ayah membeli kereta lagi. Kali ini kereta terpakai jenama Datsun 100 (1977), bernombor KJ3451. Harganya cuma RM6000 dan ayah beli tunai.

Pada 1996, ayah naik pangkat menjadi Kerani Kanan. Kebetulan usia ayah cukup 50 tahun dan wang KWSP boleh dikeluarkan sebahagian. Ayah tukar kereta yang lebih elok iaitu Toyota GL (1983) bernombor plat JAW299. Harganya RM11000. Dan itulah kereta terakhir yang ayah pakai sehingga ke akhir hayatnya.

Telah Allah tetapkan usia ayah setakat 56 tahun sahaja. Saya tidak sempat menghadiahi ayah kereta yang lebih baik untuk ayah guna. Banyak yang saya tidak sempat buat untuk ayah walaupun impian untuk itu tersimpan sejak lama. Saya reda. Saya tahu ayah sedang bahagia di sana. Lebih bahagia berbanding di dunia.

Berehatlah ayah. Kiriman doa dari kami tetap akan meneman ayah di sana. Nanti kita akan jumpa lagi kan ayah?

No comments:

Post a Comment