Monday, October 05, 2020

Kisah Kini

Kita digemparkan dengan kes COVID yang menggila semula sejak seminggu ini. Memang luar jangka, sampai 432 kes hari ini sahaja. Tertinggi!

Takut memang takut, tetapi kena redah juga. Salah menyalah memang tak selesaikan masalah. Sama-samalah kita menjaga diri dan keluarga, juga teruskan berdoa tanpa jemu agar Allah melindungi negara kita.

Dalam perkembangan lain, kami guru SMK Kg Chengal dikejutkan dengan berita sedih apabila sahabat guru kami, Cikgu Saufi didiagnos dengan kanser abdomen tahap tiga. Dia seusia saya, dan sangat baik orangnya. Tanpa apa-apa tanda yang pelik, dia ke hospital hanya kerana perut tidak selesa. Kini dia menanti rawatan kemoterapi sebelum pembedahan dilakukan. Semoga Allah memberi kesembuhan, ketabahan dan kemudahan urusan cikgu Saufi dan keluarga. Amin.

Tengah hari tadi, saya pulang ke rumah ma dari sekolah. Suami saya bermesyuarat, jadi saya mengambil peluang ini untuk bersama ma yang saya rindu. Lega rasanya dapat berbual-bual dan bercerita dengan ma.

Ma menghubungi sepupu saya di Golok, kak Adibah melalui panggilan video. Kak Adibah menjaga ayahnya, ayah Mad (bapa saudara kami) di kampung. Dapatlah saya berbual sekejap dengan ayah Mad yang sudah lama tidak sihat itu.

Tuhan tahu betapa rindunya saya untuk memgunjungi ayah Mad tetapi kami berbeza negara, sempadan ditutup kerana pandemik. Hanya melalui panggilan video sahajalah kami dapat berhubung.

Ayah Mad nampak ceria. Wajahnya tersenyum manis dan masih mengenali saya. Semoga Allah melindungi ayah Mad selalu.

Begitu laluan dan perjalanan hidup. Selagi nyawa di badan, selagi itulah onak dan ranjau ujian perlu kita lalui. Berbekal keimanan, kita tempuh segalanya dengan reda. Allah jualah tempat kita kembali.

No comments:

Post a Comment