Wednesday, October 21, 2020

Berguru

Sungguhlah saya sangat penat hari ini. Seawal 6.37 pagi saya tiba di sekolah, pulang kembali ke rumah pada jam 5.57 petang. Sepanjang di sekolah, saya bekerja dengan sepenuh hati. 

Bermula dengan rutin menyediakan jadual guru ganti, kemudian sarapan sebentar. Jam 8.40 saya ke dewan mengawas peperiksaan percubaan SPM.

Seterusnya saya bermesyuarat dengan rakan sekerja tentang isu-isu di sekolah sebelum melangkah kaki ke kelas 5 Tasawur 2. Kosong pula kelas mereka. Rupanya mereka di bilik PSV menyiapkan folio. Saya kembali ke tempat saya, menanda kertas peperiksaan. 

Rakan setugas saya cikgu Yuswadi memaklumkan PKP bertanya tentang analisis Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 4. Sudah siap, cuma perlu dicetak sahaja. Tanpa lengah, saya siapkan mencetak dua salinan dan menyerahkan kepada PKP dan Pengetua.

Jam sudah ke 1.00 tengah hari. Saya menyiapkan diri untuk solat Zohor sebelum bergegas ke dewan pula. Peperiksaan hari ini tamat pada jam 2.10.

Sementara menanti kelas pada jam 3.00, saya menikmati makan tengah hari dahulu. Hanya nasi bungkus yang saya beli pagi tadi di kantin.

Di kelas, saya mengajar dengan bersungguh-sungguh sehingga jam 5.30 petang. Usai mengajar barulah saya berasa lenguh-lenguh. Ya Allah, lama benar saya berdiri rupanya.

Pulang ke rumah, saya terus merebahkan badan seusai solat Asar. Rasa seperti kehabisan tenaga. Mujurlah suami saya memahami kepenatan saya dan sudi membeli makanan untuk makan malam nanti. Lega saya tak payah masak!

Begitu perjalanan hari ini. Mata sudah layu benar ni, tetapi pakaian untuk ke sekolah esok belum digosok lagi. Aduhai!

Bibik mana bibik?

😁

No comments:

Post a Comment