Saturday, October 17, 2020

Wafa Sudah Mesra

"Wafa, mari sini ambil gambar!" Seru saya dari jauh. Terus Wafa berlari menghampiri saya dengan aksi manis untuk bergambar.

"Wafa!" Saya memanggil.

"Apa?" Jawabnya bertanya kembali sambil merapat ke wajah saya. Anak ini sudah boleh dimesrai. Sudah pandai berbalas kata. Sudah semakin bijak dan peka. 

Aduhai, terasa lama benar saya tidak bertemunya. Berbulan-bulan mungkin. Kesempatan yang ada sering tersasar oleh masa. Jika saya datang pagi, dia tiba pada petang. Jika saya datang hari ini, dia menjelma pada esoknya. Selisih begitu seperti menjarakkan kami. Bukan hanya Wafa, tetapi seisi keluarganya.

Semalam, saya ada ruang untuk berlama-lama di rumah ma. Dapatlah saya memenuhi waktu untuk berkumpul sesama adik beradik dan anak-anak saudara yang ada. Walaupun hanya tiga daripada lapan, memadailah untuk kali ini. Saya memang jarang punya peluang, jadi ia sangat bermakna.

Wafa menjadi fokus utama kerana anak kecil berusia dua tahun ini sedang keletah dan aktif sekali. Muiz, Sufi, Nasih dan Wajih sudah punya agenda mereka dan tidak lagi mahu berada dengan orang dewasa. Cuma sesekali saya melayan Wajih dengan membuat air tembikai untuknya dan melayan bualnya. Comel kan anak-anak ini. 

Harapnya nanti ada lagi peluang untuk begini. Tuntutan tanggungjawab seorang wanita bekerja seperti saya sangat besar tetapi bukanlah sehingga mengorbankan hubungan kekeluargaan, apatah lagi ikatan kasih sayang. 



No comments:

Post a Comment