Sunday, July 31, 2022
Memerhati
Saturday, July 30, 2022
Teacher
Thursday, July 28, 2022
Sudahkah Berdoa?
Bersembang dengan anak-anak kecil yang naif dan sedang meneroka hidup, sememangnya satu peluang yang sering membuka pelbagai cerita. Ada ketika saya tersentak dengan tanya yang pelbagai tetapi itu seperti satu sentuhan dari Tuhan, untuk kita sama-sama mencari pengertian.
"Kenapa Umiti tiada anak?" Tanya Nasih pada suatu hari, sewaktu kami bersembang di meja makan rumah Ma.
"Dah Allah tak bagi, Umiti reda je," jawab saya ringkas.
"Umiti tak doa ke?"
Kali ini saya terkedu. Polos benar anak ini, tetapi soalannya benar-benar memberi rasa. Rasa yang mengejutkan. Lama juga saya mencari idea supaya jawapan saya tidak mengganggu pemikirannya yang masih mentah.
"Umiti dah doa tapi kalau Allah tak nak bagi juga, Umiti nak buat macam mana? Dia kan Maha Berkuasa, Dia yang memiliki alam ini jadi semua perkara Dia yang atur. Kita terima je lah."
Nasih seperti dapat menerima jawapan saya itu.
Dan seterusnya, saya masih berfikir.
Bagaimana saya mahu menyatakan, walaupun doa saya yang satu ini Allah tidak makbulkan seperti yang saya harapkan, tetapi saya masih dikurniakan pelbagai anugerah lain yang tidak terhingga dan tidak terhitung, dan itulah tanda kasih Allah yang tidak boleh saya ketepikan?
Juga, bagaimana saya mahu mengatakan yang pada ketika-ketika tertentu saya rasa bersyukur tidak dikurniakan anak dan berterima kasih pada Allah memilih saya untuk anugerah ini?
Walaupun pada saat saya melihat seorang ibu tua yang sakit dilayan penuh kasih oleh anak-anaknya, ada hiba menyelinap di ruang rasa kerana saya tidak akan merasai semua itu, tetapi saya tahu hidup saya bukanlah bergantung pada manusia. Saya tahu Allah itu Al-Hafiz, yang akan menjaga saya dan semua. Dia juga Al-Samad, tempat saya bergantung sepenuhnya.
Saya menikmati hidup saya seadanya, dengan harapan dan doa yang tidak pernah putus. Kepada Dia saya bergantung, berharap dan kembali.