Friday, July 22, 2022

Buah Sentul

Sewaktu sahabat saya Kak Sham menghantar saya pulang ke rumah selepas makan tengah hari di Edlee Fried Chicken beberapa minggu lalu, dia ternampak pokok buah sentul dalam kebun suami saya. Terus dia meminta saya bawakan buah sentul untuknya jika ada.

Khamis lepas, saya memberinya seplastik buah sentul yang dia mahu itu. Seronok dia mendapat buah sentul yang besar-besar belaka itu. Katanya dia mahu buat jeruk dan nanti dia akan beri pada saya untuk merasa.

Dan pada Ahad, jeruk sentulnya siap. Sebekas besar jeruk itu diletakkan di bilik peperiksaan dan kami sama-sama menikmatinya. Memang sedap sungguh air tangan Kak Sham ini. Kuah jeruknya cukup rasa, pekat dan menyelerakan. Memang padu.

Saya bawa pulang juga untuk suami saya rasa. Alhamdulillah, suami saya juga menggemarinya.

Buah-buah di pokok itu memang ada banyak tetapi saya tidak pula berminat untuk menjeruknya. Selalunya suami saya akan menyuruh saja jiran-jiran sekampung yang mahukan buah itu datang mengambil di pokok. Jika tidak, ia akan jatuh bertaburan begitu sahaja.



No comments:

Post a Comment