Friday, July 08, 2022

Ikhlas

Hujung Oktober lepas, seorang perempuan yang tidak saya kenali memohon bantuan dek kesempitan hidup yang dialaminya. Dia menghantar DM pada IG saya tanpa sebarang pengenalan diri.

Saya tidak pasti mengapa saya yang dia hubungi tetapi saya tidak mahu kisah. Saya hulurkan sejumlah wang kepadanya dan dia begitu berterima kasih. Dia menghantar gambar barang-barang keperluan yang dia beli dengan wang itu, juga wajah anak-anak kecilnya yang masih memerlukan perhatian. Saya mohon cuma doa darinya untuk saya.

Sehingga hari ini, sudah berkali-kali dia meminta bantuan apabila kesempitan. Selang dua bulan, dia akan menghubungi saya. Saya tidak memberi banyak, hanya seratus dua. Ada juga waktunya saya berasa curiga, benarkah dia susah atau sekadar mahu mengambil kesempatan? Saya bertanya maklumat diri dan keluarganya. Dia seorang pendatang Indonesia yang bernikah dengan lelaki Sabah dan menetap di Sandakan. Suaminya nelayan.

Semalam, dia menghantar DM lagi memohon bantuan saya. Saya cuba diam kali ini, enggan memberi respon. Tetapi hati saya tidak sedap. Saya takut kalau dia benar-benar susah dan saya bersalah tidak membantunya.

Dengan rasa ikhlas, saya hulur lagi sedikit wang untuk dia.

Saya berserah kepada Allah, semoga apa yang saya lakukan ini ada kebaikannya.

No comments:

Post a Comment