Thursday, July 14, 2022

Berjaya dalam Hidup

Sudah-sudahlah. Saya bosan. Terasa sangat klise apabila kejayaan disinonimkan dengan kerjaya hebat. Singkatnyalah!

Ada seorang penceramah berbangga-bangga dengan kejayaan hidupnya sehingga melekehkan orang-orang kampung (keluarganya juga) yang hidup bertani dan menoreh getah. Padanya, mereka (orang-orang kampung itu) pemalas sebab itu tidak berjaya. Dia dahulu rajin belajar dan dapat masuk universiti, kemudian dapat kerja bagus dan hidup senang. Dia berjaya.

Saya kasihan padanya. Dia tidak nampak apa nilai yang ada pada petani dan penoreh getah. Dia ingat perkembangan dunia hanya memerlukan orang-orang sepertinya dan dia sangka petani dan penoreh getah itu tidak menyumbang apa-apa. Ternyatalah, dia bodoh.

Kawan, orang yang berjaya ialah orang yang tahu nilai harga manusia biar apa pun kerjayanya. Orang yang berjaya tidak memiliki sedikit pun rasa sombong dan merendah-rendahkan orang lain, apatah lagi keluarga sendiri. Biar pun dia petani atau penoreh, atau pengutip sampah, selagi dia menyumbang pada keperluan dunia dan masyarakat, dan tidak merosak atau mengganggu ketenteraman awam, maka dia berjaya. Dia redha dan bersyukur dengan segala kurniaan, dengan segala kekurangan dan sentiasa mendoakan kebahagiaan sejagat, dia berjaya.

Usah menilai di permukaan sahaja, kerana tanpa mereka kita tidak boleh hidup. Kita yang kononnya berjaya ini, entah-entah akan mati kelaparan tanpa sumbangan tenaga dari pekerjaan orang-orang kampung itu.

Didiklah anak-anak kita untuk lebih memahami konteks kehidupan yang ada pelbagai pengkhususan kerana negara dan dunia tidak terbina dengan tenaga ahli profesional semata.

No comments:

Post a Comment