Friday, July 01, 2022

Salam 1 Zulhijjah

Hari ini kami menyambut kedatangan 1 Zulhijjah di Tanah Rata, Cameron Highlands. Kami tiba pada jam 7.10 petang semalam, selepas hampir lima jam memandu dari SMK Kampong Chengal.

Sebaik tiba, kami terus ke gerai makan untuk mengisi perut yang sudah masuk angin. Kuetiau kungfu sedap sungguh, bertambah sedap apabila dipadankan dengan segelas oren segar. Alhamdulillah.

Usai makan, kami mencari bilik penginapan. Hotel Century Pines yang menjadi harapan kami rupanya sudah penuh. Kami terpaksa menukar haluan ke Cool Point dan mujur masih ada satu bilik yang kosong untuk penginapan dua malam.

Sepanjang perjalanan tadi, saya tidak lena sedikit pun. Selalunya saya mudah saja tidur diayun buaian kereta, tetapi kali ini saya hanya mengantuk manja-manja sahaja. Saya lebih seronok melayan lagu-lagu dari telefon bimbit saya, menyanyi sepenuh rasa tanpa henti. Best. Suami saya membiarkan saja saya menyanyi walaupun suara saya penuh kesumbangan. Sekurang-kurangnya dia tidaklah sunyi atau mengantuk. Kan?

Cameron Highlands memang nyaman. Sejuk sangat tidak, panas pun tidak. Saya suka cuacanya. Sangat selesa. Kami bercuti untuk merehatkan minda yang sudah terlalu penat dan padat beberapa minggu ini. Kami tidak merancang lama, hanya spontan sahaja memilih tarikh ini.

Asalnya suami saya cuma mahu bercuti ke Terengganu tetapi saya memilih Cameron Highlands. Berehat di sini aman dan tenang. Kali terakhir kami bercuti di sini ialah pada Julai 2019 - tiga tahun lalu - sebelum pandemik melanda dunia.

Kami akan berehat di sini sehingga esok, dan akan turun pulang ke Kelantan sekitar jam 11 pagi. Semoga Allah melindungi kami sepanjang perjalanan.

Amin.

No comments:

Post a Comment