Monday, May 23, 2011

Khayalan Menjelma....

Bila saya tua nanti dan mencapai usia warga emas, akan ke manakah saya? Akan masih sihatkah untuk membantu ahli-ahli keluarga yang memerlukan, ataukah saya yang bakal dibantu?

Saya sering menghitung. Jika Allah mentakdirkan umur saya panjang, saya akan menginjak 65 tahun pada 2037 nanti. Waktu itu, emak bakal berusia 85 tahun, seusia Tun Dr. Siti Hasmah sekarang. Harap-harap, emak masih sihat dan gagah seperti Tun Dr. Siti, dan dapat menyaksikan anak-anak cucunya membesar dengan penuh didikan.

Saya teruskan imaginasi saya. (Imaginasi semata-mata ya....!!)

Adik saya yang bongsu, Zahidah akan berada pada usia 47 tahun, mungkin sudah memiliki lima orang anak dan sedang berada pada tahap terbaik kerjayanya. Mungkin menjawat jawatan Guru Wibawa dengan gred JUSA C di sebuah sekolah kluster yang terkemuka. Rasa saya, suaminya seorang pensyarah universiti yang juga bergelar pendakwah bebas.

Ismah tentunya sudah berusia 50 tahun waktu itu. Agaknya sedang utuh mengendali syarikat biskut dan coklat miliknya sendiri, yang sedang dalam proses ke pasaran antarabangsa. Dengan anak seramai 7 orang, beliau tetap bersemangat mempromosi produknya ke serata dunia. Maklumlah, suaminya seorang jutawan. Tentu dapat memberi sokongan kewangan yang kukuh buat syarikatnya.

Husna pula mungkin sedang berdebar menanti kelahiran cucu sulungnya. Usianya 56 tahun, dan anak sulungnya Sufi pula 28 tahun. Tentu Sufi sudah memiliki isteri dan bakal menimang cahaya mata pula. Jelitakah menantu Husna itu? Nasih tentu sedang giat membina kerjaya awalnya dalam usia 26 tahun. Tak lama lagi, Husna akan menerima menantu yang seterusnya pula.

Ustaz Muhammad pula sedang dalam proses bersara kerana usianya menjangkau 58 tahun. Hmm, dia diraikan oleh pihak sekolahnya secara besar-besaran. Maklumlah Pengetua Cemerlang di sekolah Bestari. Tentu hadiah yang diterima besar-besar belaka. Tersenyumlah Puan Farah, yang masih ada lima tahun lagi untuk berkhidmat. Areef pula berusia 29 tahun dan tentu sekali sudah berkeluarga dengan sekurang-kurangnya seorang cahaya mata.

Bagaimana pula dengan Ustaz Rifqi? Oh! Dia sangat hebat. Usianya 61 tahun, tetapi kelihatan masih bersemangat mengendalikan Pusat Tahfiz persendiriannya. Amin pula sudah berusia 35 tahun dan punya wibawa seperti babanya, berceramah ke sana ke mari demi mendaulatkan Islam di bumi Malaysia. Cik Nab tentu mampu tersenyum bangga kerana anak-anaknya yang terdidik dengan belaian kasih sayang, kini telah dewasa dengan jaya. Iman berusia 33 tahun, tentunya sedang mekar di alam kerjaya di sisi suami dan anak-anak tercinta. Awwahah pula 29 tahun, dan Asma' 26 tahun. Kedua-duanya menjadi wanita manis yang berjiwa besar, demi mendidik generasi alam cyber.

Ustazah Aziah tentu sedang berbahagia menyaksikan anakanda Muiz bergelar raja sehari. Muiz berusia 27 tahun tatkala Aziah pula 63 tahun. Tentu majlis perkahwinan Muiz meriah dan gilang-gemilang, maklumlah anak sulung!

Saya?

Dalam usia 65 tahun itu, tentunya lebih gemar berehat-rehat dan bersantai-santai di rumah sahaja. Hendak bercuti ke luar negara pun, tentu sudah jemu. Baiklah saya menemani suami di rumah, sambil mengemaskini blog sekali sekala.

Dan, abang sulung saya sudah pun berusia 67 tahun waktu ini. Anis, Ain, Aisyah dan Afnan masing-masing berusia 37, 34, 33 dan 31 tahun. Semua sudah dewasa, sudah punya kehidupan sendiri yang penuh warna warni. Mungkin Anis sudah menjawat jawatan pensyarah di universiti terkemuka, Ain pula sebagai seorang arkitek yang penuh seni, Aisyah menjadi guru yang penuh dedikasi dan Afnan seorang jurutera bertauliah. Ah! Profesional sungguh semuanya. Kak Zaiha pula sentiasa bahagia dikelilingi cucu-cucunya, yang tentunya sudah lebih dari lima orang.

Aduh!

Jauh sungguh berimaginasi. Tetapi kita hanya mampu mencipta sebuah harapan dan anganan, sedang penentunya Allah jua. Apa sahaja takdir buat kita, terimalah penuh redha.

Begitu Takdirnya

Siapa menyangka, siapa menduga. Dalam kesibukan dan keterujaan menyiapkan diri untuk satu majlis yang bakal berlangsung, tiba-tiba Allah mentakdirkan begini. Takdir yang telah tertulis. Takdirkah yang mesti disalahkan?

Inilah wajah-wajah suci anak-anak manis dan penuh kesantunan. Anak-anak yang yatim, yang perlukan perhatian. Tengah hari Sabtu, sekitar 2.30 petang 21hb Mei 2011, bangunan tempat mereka berteduh tiba-tiba dilanda bencana. Seramai 25 orang tertimbus di bawah runtuhan tanah, dan sehingga semalam, mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat.

Berdoalah sahabat, agar segala gerak operasi dipermudah Allah, dan semoga keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi ini dapat menerima ketentuan dengan hati tenang.

Al- Fatihah.

Friday, May 20, 2011

Sejadah Kaabah

(Eyka Farhana dan Eja dalam babak pembukaan drama Sejadah Kaabah. Waktu ini Eyka terpandang sejadah ibunya yang sudah lusuh.)

Dah lama sangat tak tengok cerekarama TV3. Bukan apa, Sabtu malam Ahad selalunya ada bola live kat channel sukan Astro. Terpaksalah saya melupakan apa sahaja rancangan TV yang lain demi meneruskan kelangsungan minat bola saya, eh.. suami saya!!

Tapi Sabtu baru-baru ini (14/05/11) saya diberi peluang memegang remote control kerana suami saya tidak berapa sihat dan ingin tidur awal. Saya yang tidak banyak kerja ini teringat pada slot Cerekarama TV3. Apabila Sejadah Kaabah ke udara, saya menonton sehingga tamat.

Ceritanya biasa sahaja, tentang kecekalan seorang ibu tunggal membesarkan tiga orang anak setelah kematian suami. Antara tiga orang anaknya itu, yang paling bongsu sangat manja dan sentiasa ingin menemani ibunya bekerja. Izzah, sangat comel dan begitu rapat dengan ibunya. Demi mengundang air mata penonton, cerita ini ditamatkan dengan kematian Izzah di atas pangkuan ibunya kerana kemalangan semasa menjaja kuih dan nasi lemak di sekitar taman perumahan.

Biasa sahaja kan? Tapi sedih memang sedih. Saya menangis juga kerana hiba melihat suasana pilu seorang ibu memeluk anaknya yang sudah tidak bernyawa itu.

Lakonan semua pelakon memang memuaskan. Eja sebagai ibu tunggal, Norkhiriah sebagai cikgu sekolah, dan yang paling menonjol tentunya watak Izzah yang dilakonkan dengan jayanya oleh seorang gadis manis yang begitu comel, Eyka Farhana namanya.

Hmmm, tidak sabar rasanya untuk menonton drama lakonan Eyka yang seterusnya. Semoga menjadi pelakon yang baik dan bersih dari gossip-gossip murahan.


Sunday, May 15, 2011

Tibanya Nasih

Salam Nasih.

Selamat tiba ke dunia, satu tempat nan penuh pancaroba. Cabarannya tidak terhingga, jalannya penuh liku dan kekuatan imanmu bakal menjadi benteng segala kesukaran yang tiba. Bersedialah untuk menempuh setiap dugaan di dunia ini wahai si kecilku Nasih.

Ummi doakan Nasih membesar dalam lingkungan kasih sayang yang hebat, didikan yang terbaik dan Nasih bakal meneraju kehidupan yang diredhai Allah, sepanjang hayat Nasih.

Semoga Nasih menjadi anak yang menyejukkan hati ibu dan ayah Nasih.

Sayang selalu dari Ummi...

Thursday, May 12, 2011

Sayakah ini?

Kepala saya sakit. Jiwa pun bagai dihimpit-himpit. Ada rasa yang tidak selesa menyelinap masuk ke ruang hati dan jiwa saya. Entah mengapa.

Saya hanyalah manusia biasa yang ada waktunya tertewas juga pada keadaan. Saya cuba bertindak dengan laku positif, tetapi kewanitaan saya kadang-kadang menzahirkan emosi dalam bentuk air mata yang tidak mampu saya halang.

Saya tewas lagi. Pada perasaan sendiri.

Benar, makhluk Tuhan yang bernama perempuan ini sering mengharap pada seribu keajaiban, tetapi yang tiba hanyalah kecewa. Lantas, dalam kecewa yang tersisa itu, tiba-tiba rentetan-rentetan pengalaman yang terhimpun dalam sanubari bagai diputar secara automatik dalam minda sedar saya. Betapa banyak harapan yang tersadai dan terkubur, namun saya gagahi juga diri untuk tidak berhenti berlari. Harapan yang berpaksi dunia, biarlah ia berlalu dan berkubur tanpa nisan kerana hari perhitungan yang dijanji Tuhan lebih penting untuk saya kejari.

Namun realitinya saya tetap insan biasa berjasad dan berroh perempuan. Saat kehampaan dan kekecewaan membalut nurani saya, akan ada suara-suara bisu jelmaan entah dari mana membawa saya mencipta anganan pemusnah sebuah bahagia. Saya mencipta anganan itu, berbataskan realiti dan berharap agar jika ia terjadi, saya di pihak yang berjaya.

Entahlah. Apa sebenarnya yang saya tulis ini?

Jangan ambil kisah. Saya sedang berada dalam ketidakstabilan, maka tulisan ini bukanlah untuk dijadikan bahan bukti.

Maaf.

Sunday, May 08, 2011

Happy Mother's Day

Blessed is your face
Blessed is your name
My beloved
Blessed is your smile
Which makes my soul want to fly
My beloved
All the nights
And all the times
That you cared for me
But i never realised it
And now it’s too late
Forgive me

Now i’m alone filled with so much shame
For all the years i caused you pain
If only i could sleep in your arms again
Mother i’m lost without you

You were the sun that brightened my day
Now who’s going to wipe my tears away
If only i knew what i know today
Mother i’m lost without you

Friday, May 06, 2011

Puisi untuk Ibu


Kau tampak suram dan sunyi
garis-garis ketuaan merona kelopak matamu

Kutahu kau sepi, ibu

Saat senja kau duduk termenung menatap jalanan
menyimpan harap pada sebuah kepulangan
bunga-bunga cintamu yang jauh dari pandangan

Kutahu kau rindu, ibu

Malu aku mengisah tentang sibuk dan sempitnya waktu yang tertinggal
dek tugas dan tanggungjawab yang tidak pernah mahu usai
sambil memohon doa dan restumu
mengiring hari-hariku yang penuh liku

Kutahu kau mengerti, ibu

Lalu
segenap malam dalam doa kubermohon
Tuhan, mudahkan hidup ibuku
tenangkan hatinya, jauhkan darinya mara bahaya
Dan jika nanti Kau memanggilnya pulang
Tempatkanlah ia disisi-Mu!

Selamat hari ibu buat mamaku tercinta...

Anugerah Kecemerlangan


Khamis, 5hb Mei berlangsung majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2010 di SMK Kampong Chengal. Majlis yang bersejarah bagi para penerima anugerah ini, berjalan lancar dan meriah. Saya tumpang gembira bagi pihak anak-anak didik saya yang berjaya, dan sentiasa mendoakan kecemerlangan mereka di dunia dan di akhirat.

Kenyataannya, melihat anak-anak didik saya berjaya dalam hidup adalah satu kepuasan yang amat luar biasa. Mereka bukan siapa-siapa dengan saya, hanya hubungan guru dan murid tetapi kasih saya pada mereka melangkaui batas itu.

Sudah hampir 14 tahun bergelumang dalam dunia pendidikan ini, saya sudah tidak mengharap apa-apa selain kecemerlangan anak-anak didik saya. Bagi pihak saya, cukuplah begini. Saya tidak mahu memanjat tangga-tangga ke menara nan tinggi, kerana saya sudah menemui jiwa saya di sini. Sebagai guru biasa, tanpa sebarang pangkat dan autoriti. Sungguh, saya berkata benar.

Saya tidak mahu disibukkan dengan perkara lain, selain mengajar dan mendampingi murid-murid saya. Saya mahu memberi mereka inspirasi, sebagaimana mereka juga inspirasi saya.

Tuesday, May 03, 2011

Saya guru yang keliru

Sepertimana kakitangan kerajaan yang lain, saban tahun kami guru Malaysia akan dinilai dan diberi markah prestasi oleh pihak pentadbir sekolah. Pelbagai kriteria digariskan sebagai panduan pemarkahan dan kami punya hak untuk mengetahui markah kami, malah diberi peluang menelaah dan melihat sendiri markah yang kami peroleh.

Ia sangat memberi motivasi. Menjadi satu kayu ukur pencapaian seorang guru. Menjadi sesuatu yang diimpikan juga.

Malangnya, ia kini - di sekolah-sekolah yang pernah saya berbakti - menjadi seperti sesuatu yang ngeri. Setiap tahun, nama-nama penerima anugerah tidak pernah diwar-warkan secara rasmi pada khalayak guru dan murid. Ia bagai satu rahsia dan jika ingin tahu, bertanyalah secara rahsia juga. Murid-murid tidak pernah tahu guru mereka yang manakah terpilih menerima anugerah kerana ia disembunyikan.

Saya keliru.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sepatutnya menjadi satu anugerah yang gah, yang dibanggai oleh penerimanya dan disusuli dengan ucapan tahniah oleh rakan-rakan sekerja. Tetapi bagaimana ini boleh berlaku jika nama-nama penerima tidak diberitahu secara rasmi, seolah-olah menerima APC itu sesuatu yang sangat tidak elok di mata rakan sekerja. Saya benar-benar keliru!

Pada saya, saya ingin sekali menyalami mereka yang mendapat APC, menghulurkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap untuk menjadi secemerlang mereka juga pada tahun-tahun mendatang. Bukankah ini sesuatu yang positif?

Betulkanlah saya, jika saya tersalah tafsir tentang APC. Saya keliru, sungguh!


Sunday, May 01, 2011

Isu semasa

Saya bosan.
Benci.
Meluat.

Betapa busuknya suasana politik di Malaysia saat ini. Belum pernah saya mahu berbicara tentang politik di ruang blog saya ini, tetapi kali ini saya terlalu. Terlalu bosan dengan permainan bodoh dan keji seperti ini hingga mengganggu konsentrasi hidup saya!

Di mana kewarasan dan rasionalnya sebuah pendedahan yang entah betul entah tidak itu? Jika betul sekali pun, saya peduli apa? Tangkaplah dia dan sumbat semula dalam penjara. Mengapa mesti diheboh-heboh seperti ini, sehingga anak-anak kecil pun terganggu mindanya!

Entah bila negara kesayanganku ini akan tenang dan aman.
Tenang.
Aman.
Bila???

Semoga Allah melindungi negaraku dari kekejaman manusia yang hipokrit dan berajakan nafsu.
Amin.

Thursday, April 28, 2011

Luahan seorang mahasiswi

Saya mahu cakap begini.

Begini. Ya benar, kita mahu melahirkan manusia yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan mewajibkan badan berunifom, jasmani jadi makin sihat. Mungkin semua yang sakit-sakit di hospital itu dulu tak pernah mengikuti program badan beruniform, itulah akibatnya. Oleh itu, badan berunifom baik untuk kesihatan. Ok, untuk jasmani, kita hebat. Lalu, untuk emosi, rohani dan intelek?

Mengapa tidak kita wajibkan juga badan yang menjadikan emosi pelajar sihat. Contohnya, wajibkan pelajar ke kursus-kursus kaunseling, kursus bina keyakinan diri, yang bukan melibatkan jasmani, tapi emosi. Wajibkan setiap minggu (seperti badan beruniform) untuk pelajar hadir ke kelas emosi itu. Barulah emosi pelajar sihat. Tiada yang bunuh diri, tiada yang sakit mental.

Kemudian rohani? Begitu juga, setiap minggu wajibkan pelajar-pelajar hadirkan diri ke usrah-usrah. Bagi surah-surah sebagai tugasan untuk mereka hafal. Kenalkan mereka dengan hadis-hadis sahih nabi, barulah tak ada anak-anak zina yang lahir, barulah tak ada masyarakat rosak akhlak yang makin subur, barulah anak-anak jenayah tidak lagi dilahirkan oleh ibu-ibu mereka.

Seterusnya, intelek. Wajibkan juga pelajar-pelajar menghadiri seminar-seminar ilmu setiap minggu. Kenalkan mereka dengan tokoh-tokoh ilmu, cendekiawan-cendekiawan antarabangsa. Buka pemikiran mereka menjadi minda kelas pertama. Jadikan minda mereka minda intelek. Barulah tidak lahir M**i yang ada rohani (konon) tapi intelek kosong. Barulah tak ada yang hanya sihat dan warak, tapi minda tertutup. Barulah tak ada yg hanya tengok Hantu Kak Limah tapi tak tahu Tsunami di Jepun. Faham tak????

Huh…kenapalah mereka tak faham?? Ingat nak sihat jasmani saja. Sebab itu ramai yang bengong sekarang. Sebab mereka sihat jasmani, tapi mental tak sihat, rohani tak sihat, intelek tak sihat. Jadilah mereka semakin menjadi-jadi dan aktif oleh kerana terlalu sihat jasmani dan sakit aspek-aspek lain. Mereka lah orang-orang yang BENGONG!

Astaghfirullah! Ampunkan saya ya ALLAH. Saya terlalu tidak bersetuju dan tidak faham mengapa mereka terlalu bengap untuk memikirkan semua ini?

Kalau ada yang menjawab, apa yang dipelajari di dalam kelas sudah mencukupi untuk memenuhi kehendak emosi, rohani dan intelek, cuma jasmani yang perlu ditambah di luar kelas. Bagaimana dengan pendidikan jasmani yg terang-terang ada perkataan jasmani itu?

Sesungguhnya saya bukan anti aktiviti yang melibatkan jasmani, tetapi saya tak suka ketidakseimbangan. Sebab itu ramai yang menjadi SENGET sekarang. Tidakkah anda dapat melihat ramainya orang-orang yang senget? Ramainya mereka yang berbangga sihat jasmani, tetapi tiga aspek lain sungguh tenat. Saya benci melihat orang yg berbangga kononnya dgn aktif dalam badan berunifom semua jadi seimbang. Padahal, terang-terang saya nampak mereka tak sihat rohani dan intelek.

Saya geram!

Petang-petang begini

Kecil-kecil dahulu, waktu-waktu petang begini, akan berlari dan berkejaranlah kami bersama-sama teman dan rakan seusia. Emak pula bersembang dengan jiran di halaman rumah, sambil memantau anak-anaknya. Apabila hari makin gelap, emak akan memanggil kami masuk ke rumah, mandi dan bersiap untuk acara malam pula - mengaji, makan malam dan tidur.

Sewaktu sekolah rendah, petang-petang begini seronok benar bermain bola selipar dengan anak-anak jiran sebelah. Kadang-kadang mengetuk bulu tangkis dengan reket yang sudah putus talinya. Juga masih terkinja-kinja bermain lompat tali getah hingga peluh membasahi badan. Tiba maghrib, emak akan memanggil kami pulang, dan kami berjanji untuk menyambung permainan pada esok hari pula.

Di asrama, petang-petang begini suka sangat meronda keliling maktab. Nak kata jogging tidak juga, lebih kepada menghirup udara segar sambil bersembang, sementara mata meliar mencari seseorang.. hehe!!

Bila melangkah ke alam universiti, petang-petang begini sudah tidak rutin lagi. Kadangkala kuliah membawa ke jam tujuh, memakan waktu petang yang sepatutnya kami ladeni dengan santai-santaian.

Kini, pada alam pekerjaan, petang-petang begini semakin tidak santai. Sinki di dapur masih berisi pinggan mangkuk dan kuali yang belum berbasuh. Nasi belum dijerang, lauk belum dimasak. Tenaga rasanya tidak sebanyak mana. Sepulang dari sekolah jam 2.40 petang tadi, mata teramatlah layu.... Seusai memasak nanti, urusan menggosok baju pula. Belum lagi acara membasuh dan melipat kain.

Seronokkah petang-petang begini jika ada bibik?

Monday, April 25, 2011

Surat dari seorang ibu

Anakku, bila mak tua nanti, mak harap kamu memahami keadaan mak dan bersabar dengan karenah mak. Jika tanpa sengaja mak pecahkan pinggan, atau tumpahkan kuah di atas meja makan kerana mata mak yang makin kabur ini, mak harap kamu tidak menyergah marah pada mak. Orang tua macam mak punya hati yang sangat mudah tersentuh. Jika kamu terjerit-jerit marahkan mak, mak akan rasa kecil hati.

Bila pendengaran mak dah semakin kurang dan mak dah tak berapa dengar kata-kata anak mak, mak harap janganlah panggil mak "pekak!". Ulang sahaja apa yang kamu ingin beritahu, atau tulis pada kertas dan bagi mak baca.

Mak minta maaf, nak.. Mak dah semakin tua.

Bila lutut mak dah makin lemah, mak harap kamu punya kesabaran untuk menolong mak bangun dan berdiri. Seperti yang mak lakukan ketika membantu kamu belajar bertatih, waktu kamu kecil dahulu.

Bersabarlah dengan mak, nak... Jika mak asyik mengulang-ulang cerita sama seperti kaset rosak, teruskanlah mendengar. Janganlah kamu mengejek mak atau rasa bosan mendengar cerita mak.

Ingat tak masa kamu kecil dulu, dan kamu nak main belon? Kamu minta dengan mak berulang-ulang, sampailah mak belikan belon itu pada kamu.

Nak, maafkan mak kerana badan mak mungkin berbau kurang enak. Janganlah memaksa mak untuk mandi. Badan mak sudah lemah. Orang tua macam mak akan cepat demam kalau kesejukan.

Ingat tak masa kamu kecil dulu? Mak selalu kejar kamu kalau kamu lari sebab tak nak mandi.

Mak harap kamu akan sentiasa bersabar dengan mak jika mak ini menyusahkan kamu. Orang tua macam inilah... Kamu akan faham bila kamu juga tua nanti.

Dan jika kamu ada masa terluang, mak teringin sangat nak berbual-bual dengan kamu. Sekejap pun jadilah. Mak sunyi, mak selalu keseorangan di rumah usang mak ini. Mak tahu kamu sibuk dengan kerja, tetapi kalau tak nak dengar cerita-cerita mak pun, carilah masa untuk jenguk mak.

Ingat tak masa kamu kecil dulu? Mak selalu mendengar cerita kamu tentang kawan-kawan, tentang sekolah dan macam-macam lagi. Mak tak pernah bosan mendengarnya berulang-ulang.

Bila nanti mak sakit dan terlantar, mak harap kamu sudi menjaga mak. Maafkan mak kalau mak tak sengaja mengotorkan cadar dan tilam. Mak harap kamu sudi menjaga mak pada saat-saat akhir mak nanti. Mak pun bukannya nak hidup lama lagi.

Bila masa mak dah sampai nanti, mak harap kamu genggamlah tangan mak dan berikan mak kekuatan dan ketenangan untuk berhadapan dengan kematian. Jangan bimbang nak, bila mak bertemu-Nya nanti, mak akan mohon Dia rahmati kamu selalu, kerana kamu anak yang baik, yang sayangkan mak, sayangkan ayah.

Terima kasih nak, sebab jaga mak. Mak sayang kamu.

Kasih sayang dariku,

Emak.

Sunday, April 24, 2011

Sedetik Lebih

Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu

Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu

Wednesday, April 20, 2011

Surat Untuk Muiz


Assalamualaikum Muiz,
Lama sungguh rasanya ummi tidak melihat Muiz. Rindu sangat rasanya. Rupa-rupanya hari ini sudah pun genap setahun usia Muiz. Begitu cepat masa berlalu, rasa baru sahaja menyambut kelahiran Muiz pada tanggal 20hb April 2010 yang lalu.

Wah! Muiz pun sudah pandai ber’facebook’ sekarang! Pantas betul Muiz mengikuti perkembangan ICT. Harap-harapnya, tak lama lagi Muiz akan menulis blog pula ya! Tentu blog Muiz bakal dikunjungi ramai. Maklumlah, Muiz ni kacak orangnya.

Sebenarnya ummi tidaklah ada apa-apa hadiah yang berharga untuk Muiz sempena ulang tahun kelahiran Muiz ini. Ummi cuma mendoakan Muiz membesar sihat dan bijak, menjadi anak soleh kebanggaan mama dan abah Muiz dan sentiasa dilindungi dan dirahmat Allah. Jangan nakal-nakal, dan ingat-ingatlah ummi selalu ya!

Rasanya itu sahaja dari ummi kali ini. Semoga Muiz cepat-cepat dapat adik untuk menemani hari-hari Muiz….

Sayang selalu,
Ummi

Friday, April 15, 2011

Soto


Tiba-tiba sahaja teringat makanan tradisi orang Jawa ni.. Sedap sungguh!

Kali pertama saya merasa makanan ini ialah pada tahun 1990, sewaktu di Matrikulasi MARA Kulim. Waktu itu, guru penasihat a.k.a mentor saya, cikgu Zainol Yunus (perempuan, nama je macam lelaki..) mengajak kami anak-anak menteenya ke rumahnya pada satu hujung minggu. Katanya, dia nak jamu kami makan soto. Eh! Apa tu? Tanpa malu saya bertanya. Cikgu yang manis itu tersenyum dan memberi sedikit gambaran tentang rupa makanan itu. Alaa.. nasi impit, makan dengan kuah sup! Sedap tau!

Pada hari yang dijanjikan, kami tiba awal di rumah cikgu Zainol. Sempatlah saya melihat bagaimana cikgu Zainol dan teman serumahnya cikgu Hapiza menyediakan soto itu. Dan benarlah, ia sangat sedap!

Selepas itu, soto menjadi makanan kegemaran saya. Sewaktu berada di UKM Bangi, saya kerap membeli soto di pasar malam dengan harga RM1.30 sebungkus. Rupa-rupanya, ada juga mi soto dan mihun soto, selain nasi impit soto. Semuanya saya gemar.. hehe!!

Tamat belajar di UKM, saya jarang-jarang berpeluang menikmati makanan kegemaran saya ini sehinggalah saya bertukar ke Kuala Krai. Di sekolah saya itu, ada seorang guru yang berketurunan Jawa, berasal dari Johor. Hajjah Rohaya Madon namanya. Dia rajin memasak dan sangat mahir masakan Jawa. Banyak kali juga kami minta kak Aya masak soto untuk kami dan dia tidak pernah menolak. Kami selalunya akan berpakat, seorang sediakan nasi impit, seorang sediakan taugeh, sambal kicap dan segala macam yang lain untuk melengkapkan soto. Kak Aya akan masakkan sup dan bergedel. Memang kami makan bertambah-tambah. Siap bungkus bawa balik lagi!

Sekarang, saya sudah tidak berada di sekolah itu lagi. Rindu sungguh nak makan soto yang lazat. Pernah sekali saya masak soto sendiri. Kira ok lah juga, guna rempah soto Mak Siti yang saya beli di kedai. Sekarang susah pula nak jumpa rempah itu.

Hai… kenapa hari ini mood menulis tentang makanan pula ya? Tak mengapalah, saya kongsikan resepinya di sini, soto yang ringkas tetapi sedap. Cubalah!

Bahan-bahan (4 org makan)

NASI IMPIT
Ketupat segera nona/adabi - rebus lebih kurang 1 jam
(Kalau rajin nak buat sendiri lagi baik!)

KUAH SUP SOTO
4 ketul dada ayam (direbus)

bahan kisar:
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
6 batang serai

2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis

5 sudu besar rempah sup
5 sudu besar rempah kurma
(Boleh diganti dengan sepeket rempah soto mak siti)

SAMBAL
Cili padi (ikut suka)
1 biji bawang putih
kicap masin (kisar dan masak atas dapur dlm 8-10 minit)

BAHAN-BAHAN TAMBAHAN
tauhu goreng
kacang tanah goreng
soo hoon goreng
daun sup dan daun bawang
taugeh
bergedel

Cara-cara:

1. Rebus ayam hingga masak (airnya jgn dibuang)

2. Tumis bahan2 yg dikisar tadi hingga naik bau, kemudian masukkan rempah sup dan kurma (yang telah dicampur sedikit air).

3. Masukkan pula bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, dan kulit kayu manis. Kacau lebih kurang 15-20 minit.

4. Akhir sekali masukkan air rebusan ayam tadi. Perasakan dengan garam dan jika suka, boleh tambahkan kiub ayam. Masak hingga mendidih.

5. Hidangkan bersama bahan-bahan tambahan.

Thursday, April 14, 2011

Menangis


Percayalah, menangis itu suatu nikmat, suatu kurnia daripada Allah. Siapa kata menangis itu suatu yang sia-sia? Siapa kata menangis itu suatu kelemahan? Siapa kata menangis itu sesuatu yang mengaibkan?

Kajian yang dibuat oleh Dr William Frey daripada Pusat Kajian Mata dan Air Mata di Sant Poll Rams Medical Centre menjelaskan bahawa menangis amat berguna bagi kesihatan jiwa dan emosi seseorang. Tidak elok untuk kesihatan apabila seseorang itu mengekang keinginan untuk menangis dalam keadaan yang mengharuskannya untuk menangis.

Menangislah, kerana tangisan itu menunjukkan kita punya hati dan kaya dengan perasaan. Menangislah, kerana tangisan itu dapat memberi sedikit kelegaan dan ketenangan. Menangislah sambil berdoa, memohon kekuatan dari Allah untuk menempuh setiap ujian dan dugaan. Menangislah dengan penuh perasaan, penuh keikhlasan.

Tetapi bangkitlah selepas tangisan itu hilang. Bangkitlah dengan azam dan semangat yang baru, teruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Teruskan berharap dan bergantung kepada-Nya. Sematkan keyakinan bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

(Saya baru lepas menangis, sedih sewaktu membaca blog mawar nafastari. Semoga dia tabah...)



Tuesday, April 12, 2011

12 tahun yang lalu....


Masa, sangat pantas beredar. Gambar ini dirakam pada hari konvokesyen Puan Noor Aziah Myiddin di Universiti Malaya pada sekitar Ogos 1999.

Paling kiri ialah En. Mohd Rifqi Myiddin, ketika ini ustaz muda ini masih solo dan baru berusia 23 tahun. Dia juga sebenarnya telah tamat pengajian di Universiti yang sama, tetapi majlis konvokesyennya hanya akan berlangsung dua bulan lagi. Di sebelahnya ialah arwah ayah kami, En. Myiddin bin Mat Ariff yang sentiasa segak dan kemas berpakaian dalam apa majlis dan situasi sekalipun. Waktu ini ayah berusia 55 tahun, dan baru sembuh dari sakit kuning yang dihidapinya sejak akhir 1998. Tiada siapa pun tahu, ayah cuma sembuh untuk beberapa bulan sahaja dan pada akhir Oktober 1999, sakit ayah kembali menghuni, yang membawa kepada kepulangannya ke sisi al-Khaliq pada 27 Mac 2000.

Di sebelah ayah, tidak lain tidak bukan ialah isteri kesayangan ayah yang juga ibu kami yang tercinta, Pn. Rahmah Che Idris. Pada usia 47 tahun, wajah ibu sentiasa berseri-seri, terutama pada saat meraikan kejayaan anak-anaknya. Di sisinya ialah insan yang diraikan pada hari bersejarah itu, Pn Noor Aziah yang begitu hebat, mendapat ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Kepujian Kelas Pertama. Turut bangga meraikan kejayaan ini ialah suaminya, En. Mohd Syahiman bin Shamsuddin. Mereka baru sahaja dua bulan menikmati hidup berumahtangga pada waktu ini.

Oh ya! Gadis comel berjubah ungu muda itu ialah adik bongsu kami, Noor Zahidah Myiddin. Dalam usia baru 9 tahun sudah terserlah aura ke’jurus’annya, bukan? Apatah lagi jubah itu sangat cantik, yang saya beli dari seorang kawan sewaktu mengajar di Raub pada tahun 1998.

Adinda Noor Ismah Myiddin tidak pula ada bersama-sama di sini. Rasa saya, dia terikat dengan kelas tambahan di SK Kor kerana pada tahun 1999 ini dia sedang berjuang untuk menghadapi UPSR yang cuma tinggal sebulan sahaja. Tentu sahaja dia berada di rumah bersama-sama abang dan kakaknya, Muhammad Myiddin dan Noorul Husna Myiddin yang kedua-duanya sedang belajar di UM Nilam Puri.

Sungguh, masa sangat pantas berlari. Saya masih ternampak-nampak aksi manja adik Zahidah dan Ismah pada usia kanak-kanak mereka. Rupanya kini mereka sudah dewasa, hanya menunggu masa untuk berumahtangga. Saya masih terdengar-dengar suara ayah menegur dan bercanda dengan anak-anaknya. Rupanya kini ayah telah tiada, telah pergi untuk selama-lamanya. Saya juga masih terbayang-bayang wajah ibu yang bertungkus lumus ke sana ke mari mengurus rumah tangga. Rupanya kini ibu sudah lapang, tidak lagi bergelut dengan rutin yang memenatkan.

Alangkah! Sekarang semuanya telah berlalu. Hanya kenangan yang saya simpan, selamanya….

Sunday, April 10, 2011

MC lagi...

Saya tiada pilihan. Daripada menanggung kesakitan di tempat kerja, baiklah saya tergolek di atas katil di rumah sendiri.

Malam tadi saya ke klinik, dan doktor dengan rela hati memberi sijil sakit untuk membolehkan saya berehat di rumah. Terima kasih puan doktor...

Beginilah saya sebulan sekali. Tiada mampu saya menolak ketentuan ini. Sakit yang tiba tak bisa diusir pergi sebegitu saja. Berbiji-biji pil penahan sakit saya telan, kadangkala menjadi, kadangkala tidak. Saya tak punya upaya lagi. Saya redha.

Selagi ketulan cyst dan fibroid ini masih menghuni diri saya, terpaksalah saya menanggung kesakitan setiap bulan. Kata doktor, ia tidak besar dan tidak perlu dibedah. Setiap tiga bulan saya akan melakukan ujian ultrasound untuk memantau saiz cyst dan fibroid ini. Sejak 2006, saiznya kekal, tiada pembesaran. Maka bertapalah ia di situ, menjadi 'harta' saya dan mengganggu saya sebulan sekali!

Thursday, April 07, 2011

Suratan Kehidupan

Siapalah kita untuk menolak suratan? Hakikat sebuah kehidupan, ada suka ada duka. Apabila diri diuji dengan sedikit kesukaran, tentu ada sejuta hikmah yang kita tidak sedari di sebaliknya. Maka bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Kasihan suami saya. Januari lalu dia dikesan mengidap hipertiroidisme. Setelah mengambil ubat-ubatan yang diberi doktor, kesihatannya kembali pulih dan dia kelihatan ceria kembali. Tetapi tidak lama, dia kemudian mengadu sering kembung perut. Doktor kata gastrik, tetapi lepas makan ubat gastrik masih tidak berubah. Masih seperti itu juga. Doktor pula, entah kerana malas atau penat melayan pesakit (maklumlah hospital kerajaan!), tidak mahu melakukan ujian ultrasound untuk mengesan penyakit lain, sebaliknya hanya menukar ubat kepada ubat gastrik yang lebih kuat.

Suami saya tidak puas hati. Sakitnya tidak juga berkurang. Akhirnya dia ke hospital swasta dan melakukan ujian ultrasound di sana. Kali ini doktor mengesan batu di dalam hempedunya sebesar 8.8 mm.

Kami pasrah menerima kenyataan. Minggu hadapan suami saya akan ke hospital kerajaan membawa keputusan ultrasound dari hospital swasta itu untuk rawatan selanjutnya. Semoga doktor di hospital kerajaan tidak bertangguh lagi dan memberi rawatan yang sewajarnya kepada suami saya.

Alhamdulillah, suami saya menerima kenyataan ini dengan positif. Saya meminta agar dia tidak tertekan kerana setiap penyakit ada ubatnya. Insyaallah, satu hari dia akan sembuh juga. Pun, sekarang dia menderita lagi. Sebiji bisul pula tumbuh di pahanya. Agak besar dan menyukarkan pergerakannya. Aduhai! Apa nak buat, redha sahajalah… Semoga dengan kesakitan dan kesukaran ini, gugurlah dosa-dosa yang ada padanya, amin!

Sejak 14 tahun hidup di sisinya, baru kali inilah saya lihat dia dalam situasi yang agak menekan. Simpati dan kasihan padanya membuak-buak. Ada waktunya, saat melihat wajahnya ketika dia tidur, air mata saya mengalir sayu. Tabah juga suami saya ini, menempuh dugaan bersilih ganti. Semoga Allah mengampuninya dan menyembuhkan sakitnya ini…

Sabarlah suamiku!