Wednesday, March 30, 2022

Kelembutan

Saya tidak menyokong sebarang buli siber dan saya tahu mendedahkan aib itu satu dosa. Pun saya juga sedar, pada zaman serba canggih ini, kita sangat tidak mampu untuk menjauhkan diri dari menjadi pemerhati kepada semua ini. Buli. Aib.

Apa yang riuh hari ini, sangat mengesankan jiwa saya. Saya dapat rasa sakitnya. Saya guru, dan pernah menjadi pelajar. Sakit apabila diherdik memang sukar sembuh lukanya dan akan terbawa-bawa hingga ke usia tua. Sungguh. Apa lagi apabila diherdik di khalayak. Tiada kata terbaik dapat menggambarkan saat jatuhnya sebuah maruah ke tempat paling bawah, tidak terkutip lagi.

Kerana itu saya amat berhati-hati apabila berhadapan dengan murid saya. Mereka saya letakkan sebagai amanah Tuhan, yang jiwa mereka wajib saya jaga. Tidak tergamak saya calarkan walau apa pun situasinya. Saya pernah tergelincir kata, tetapi tidak pernah sehingga mengherdik dan menghina. Saya hanya seorang guru dengan sebuah tanggungjawab besar terpikul di bahu saya. Status itu tidak pernah lebih tinggi daripada siapa-siapa. Setara, serupa.

Dari dulu saya enggan beremosi. Sesedih atau semarah mana pun saya pada murid saya, biar saya sahaja yang tahu. Perlu apa saya hebohkan di khalayak sehingga jiwanya runtuh dan payah dibina kembali?

Saya benar-benar mahu kita mendalami cara didikan sebenar yang nabi kita ajarkan. Penuh kelembutan, penuh kasih sayang. 

Saturday, March 26, 2022

Baby Syifaa'



Saya tidak mampu membaca habis tulisan tentang anak ini, apa lagi menonton video atau gambarnya. Saya akan menangis. Menangis yang sungguh-sungguh. Tidak tercapai akal saya bagaimana orang itu sanggup menjerut leher bayi kecil ini yang tidak mampu melawan langsung.

Lima belas bulan usianya. Saya nampak Haneen. Saya menangis lagi. Tergamak sungguh dia menghentikan nyawa anak kecil yang tiada dosa ini.

Kalau pun berdendam dengan keluarganya, kenapa anak kecil ini dimangsakan? Kejam. Jahat sungguh! 

Siapa pun pelakunya, semoga Allah memberi balasan setimpal. Semoga kematian Nour Rania Asyifaa' binti Yuseri ini akan terbela jua, demi kesejahteraan semua.

Amin.

Thursday, March 24, 2022

Lega


Tuhan jua tahu, seperti terlepas sepikul beban di bahu sebaik tamat kertas 2 Add Maths tepat jam 5 petang tadi. Alhamdulillah.

Wajah-wajah anak-anak murid saya pun jelas benar kelegaannya. Kertas terpaling ditakuti telah tamat, sekaligus menamatkan perjuangan SPM mereka tahun ini.

Semoga perjalanan mereka menuju cita-cita Allah permudahkan. Cikgu tetap mendoakan semuanya.

Azeem.
Atiqullah.
Danish.
Fakrul.
Nasrul.
Mukhriz.
Fauzan.
Athirah.
Ayuni.
Farisya.
Damia.
Nadhirah.
Syasya.
Suraya.
Syafura.
Najwa.
Nisa.
Fatin.
Zulaikha.
Iffatasha.
Aina.
Athlia.
Iffah.
Auni.
Aisya.
Alyani.
Syamila.
Haziqah.
Humaira.
Khairina.
Malissa.
Izyan.
Asha.
Izzati.

Tiga puluh empat orang penawar hati cikgu ini, cikgu doakan agar berjaya di dunia dan di akhirat.

Sayang anak-anak semua, selamanya.

❤️❤️❤️

Wednesday, March 23, 2022

Esok

Hati saya sudah pasrah, tetapi setiap waktu saya tetap memanjangkan doa agar esok segalanya dipermudahkan.





Anak-anak tingkatan lima tahun ini liku cabarannya luar biasa. Mereka berdepan dengan segala perubahan sejak mula melangkah ke alam persekolahan. Saya yakin mereka kuat dan bersemangat kerana laluan mereka telah melentur diri mereka menjadi sentiasa bersedia.

Sejak Ahad, sebaik kuarantin saya tamat, saya berada di sekolah dari pagi sehingga jam 5 petang untuk menemani anak-anak ini mentelaah. Tiada  langsung rasa penat, malah saya sentiasa ingin berada di sisi mereka. Matematik Tambahan amat digeruni dan kali ini kegerunan yang ada berganda-ganda. Bukan sahaja mereka menjadi perintis untuk berdepan dengan soalan KSSM berformat baru tetapi mereka juga bergelumang dengan PdPR selama dua tahun dan belajar secara bersemuka hanya beberapa bulan sahaja.

Menatap wajah-wajah mereka, ada sayu terbit di jiwa saya. Sementah ini mereka sudah diuji dengan hebat, namun langkah mereka tidak pernah tersekat.

Semoga Allah memberi yang terbaik buat kalian. Usah gentar anak-anak, usaha terbaik sudah kita pahatkan. Apa pun natijahnya, terimalah dengan reda.

Cikgu sayang anak-anak semua kerana Allah.

Saturday, March 19, 2022

Kisah Covid 2

My Sejahtera memberi tarikh untuk HSO kami bermula 13 Mac sehingga 19 Mac. Ada enam hari lagi yang perlu kami lalui. Hari pertama selesai begitu sahaja kerana tarikh kami backdated sehari. 

Sepanjang Isnin itu, saya selesema dan demam tetapi tidak terlalu kuat. Paracetamol diambil untuk mengurangkan sedikit suhu badan saya, dan ubat batuk Wood's amat melegakan tekak. Cuma Strepsils yang suami saya beli itu perisanya lemon tanpa menthol, terasa seperti memakan gula-gula biasa sahaja, tiada kenyamanan yang saya mahu. Lalu saya ke Shopee, menempah tiga jenis lagi - Strepsils Triple Action, Strepsils Chesty Cough dan Strepsils Extra Strong. Oh ya, empat sebenarnya - Orange Vitamin C untuk suami saya yang tak suka menthol flavor.

Saya banyakkan berehat, tugasan rumah tangga saya buat manja-manja sahaja. Memasak ala kadar, sebab bukan lalu pun. Selera merudum juga sebab demam.

Suami saya nampak semakin ok, mungkin sebab dia sudah berhari-hari demam dan selesema. Simptomnya sudah berkurang berbanding saya yang baru kena ini. Memang sengsaralah bila hidung tersumbat. Mujur batuk tidak teruk. Saya pernah mengalami batuk teruk pada Disember 2017 hingga Februari 2018 dulu, sepulang dari umrah. Rasa berkocak perut dan sakit sampai ke kepala setiap kali batuk. Nak tidur pun tak boleh masa tu. Setakat batuk seperti kali ini, saya rasa ok sahaja. Alhamdulillah.

Urusan-urusan sekolah nampak gayanya terpaksalah saya lupakan dan meminta bantuan rakan seperjuangan saya melakukannya. Apa nak buat, semua ini di luar jangka. Kelas tambahan Add Maths SPM terpaksa saya serahkan kepada kak Rohana seorang sahaja. Semoga Allah mengganjari kak Rohana sebaiknya atas kesudiannya bertugas sendirian. Amin.

Selasa hingga Khamis, gejala saya sama sahaja. Hidung tersumbat, demam on off dan batuk sesekali. Tidaklah teruk, sekadar tidak selesa sahaja. Alhamdulillah. Setiap hari saya memantau dan melaporkan keadaan saya dan suami di My Sejahtera. Spo2 normal, tekanan darah dan nadi pun normal.

Semalam, Jumaat 18 Mac, kami lakukan ujian kendiri dan hasilnya, suami saya negatif tetapi saya masih positif. Saya reda saja. 

Hari ini, saya seperti sudah kembali normal. Tiada lagi hidung tersumbat, batuk pun sekali sekala sahaja dan dedar badan langsung tiada. Semoga berakhirlah kisah Covid kami kali ini, dan semoga Allah melindungi kita semua.

Kisah Covid 1

Selepas dua tahun Coronavirus Disease (Covid 19) berada di Malaysia, akhirnya pada 13 Mac lalu, terhinggap jua ia pada tubuh kami. Segalanya ketetapan Allah dan kami reda sesungguhnya, cuma kali ini saya mahu melakar perjalanan virus ini sehingga tiba di kediaman kami.

Suami saya seorang yang sangat teliti, beringat dan patuh pada SOP. Sudah banyak kali dia menjadi kontak rapat, pernah bertukar-tukar mikrofon dengan rakan pentadbir yang positif, pernah juga sekereta dengan rakan guru yang positif, juga meminum air yang dibancuh oleh pekerja kantin yang positif tetapi dia tetap kekal negatif. Alhamdulillah.

Sehinggalah pada petang Ahad 6 Mac lepas, dia keluar bertiga menaiki kereta Hiluxnya menuju ke Pengkalan Chepa membeli dua ekor kambing. Selang dua hari kemudian iaitu pada Selasa, salah seorang rakan yang bersamanya itu disahkan positif Covid. Suami saya mula berasa tidak sedap badan dan pada malam itu dia demam.

Kit ujian kendiri memang tersedia dengan banyaknya di rumah saya kerana saya selalu memesan kit itu dari Shopee dengan memastikan jenama yang ditempah itu memang tersenarai dalam MDA dan diperakui KKM. Saya meminta suami saya melakukan ujian pada pagi Rabu itu dan keputusannya negatif. Jadi dia dengan yakin menghadiri mesyuarat di sekolahnya.

Pada Khamis 10 Mac, saya pula bertugas di sekolah. Saya masih sihat, tiada apa-apa gejala jadi saya tidak melakukan ujian kendiri. Saya pulang dari sekolah pada jam 1.30, dan demi memasuki kereta sahaja saya mendengar suara suami saya yang agak berubah. Seperti suara orang demam selesema. Ah sudah! Sempat lagi kami ke kedai di Nilam Puri membeli makanan tengah hari sebelum pulang membuat ujian untuk suami saya. Dan masih negatif.

Apabila ujiannya negatif, saya tidak melakukan ujian untuk saya kerana pada perkiraan saya tentulah saya pun negatif juga. Saya tiada kontak rapat lain selain dia. 

Jumaat 11 Mac, suami saya masih demam dan selesema. Sepanjang malam tadi dia tidak dapat tidur lena. Badannya panas betul, tetapi pagi itu dia enggan melakukan ujian kerana sudah dua kali negatif. Demam biasa je, katanya. Jadi kami beraktiviti seperti biasa. Kami keluar ke DZ untuk membeli barang keperluan dan tengah harinya dia ke masjid untuk solat Jumaat seperti biasa. Jam 4 petang, adik saya Ustaz Muhammad dan anak-anaknya datang berziarah sebentar dan pulang pada jam 5.15 petang. Saya menyuruh suami saya berehat sahaja di bilik, tidak perlu keluar tetapi dia keluar juga sekejap sekejap.

Malam itu, dek masih tidak sedap badan dan tekak tidak selesa, suami saya melakukan lagi ujian kendiri. Keputusannya masih negatif. Demam biasa saja ni, katanya. Tiada apa-apa kuarantinlah antara kami, tetapi demam dan selesemanya tidak pun berkurang. Hanya Paracetamol dan Strepsils serta Vitamin C Flavettes yang dia ambil bagi mengurangkan simptom.

Sabtu 12 Mac, kami seharian di rumah, tidak ke mana-mana. Saya masih sihat, belum bergejala dan berasa yakin yang suami saya itu demam biasa sahaja.

Ahad 13 Mac, terjaga pagi itu tekak saya terasa perit. Saya cek suhu, masih normal. Tak ada apalah. Saya teruskan aktiviti seperti biasa. Suami saya nampak ok sedikit berbanding semalam. Dia keluar juga hadir temujanji di Klinik Farahain pada jam 2.30 petang. Saya di rumah menyelesaikan tugasan suri rumah sahaja - mengemas dan memasak.

Jam 5.30 petang, saya tergerak untuk melakukan ujian kendiri. Waktu itu suami saya keluar ke kedai kopi berdekatan. Badan saya terasa seperti mahu demam dan tekak agak sakit. Ujian saliva saya ternyata positif walaupun garis kedua itu samar-samar sahaja.

Saya menelefon suami saya agar pulang dan melakukan ujian juga. Masih lagi negatif hasilnya. Ah! Ini menghairankan. Saya begitu yakin yang dialah pembawa virus untuk saya kerana saya tidak ada berkontak rapat dengan orang lain, hanya dia sepanjang masa di sisi saya.

Lalu pada pagi 14 Mac itu, kami sekali lagi melakukan ujian dan kali ini kedua-dua kami positif. Terus kami laporkan di My Sejahtera dengan meletakkan tarikh semalam (13 Mac) sebagai hari ujian kami positif.

Bersambung

Wednesday, March 16, 2022

Kuarantin

Hari ini sudah hari keempat saya berkuarantin, dikira sejak Ahad. Kesihatan saya dan suami Alhamdulillah tidak teruk sangat cabarannya, hanya selesema sahaja. Demam dan batuk masih terkawal, sakit tekak sudah berkurang. Apabila positif berdua, tidaklah rumit sangat urusan kami. Boleh sahaja berada bersama-sama tanpa pengasingan bilik. Makan pun berseleralah juga, dengan lauk pauk ringkas sahaja. Goreng-goreng gitu.

Malam tadi, untuk kali keberapa sudah, saya buat nasi goreng lagi. Rasa jemu dah sebenarnya tetapi malas betul nak masak menu lain. Suami sayalah beri cadangan masak nasi goreng hari-hari. Saya menurut saja.

Pada jam lebih kurang 8.20 malam tadi, kakak ipar saya menelefon suami saya memberitahu yang anak lelakinya Aiman akan menghantar ubat selesema dan ubat batuk kepada kami sebentar lagi. Kebetulan ubat batuk kami dah hampir habis dan ubat selesema tiada, jadi suami saya ok sahaja. Selalunya dia akan menghalang mereka datang menghantar apa-apa, kerana enggan menyusahkan. Sudah banyak kali mereka mahu datang, baru inilah suami saya setuju.

Aiman tiba sewaktu kami sedang makan nasi goreng. Saya hanya mampu makan sesudu sahaja. Tidak lalu sungguh. Rupanya selain ubat, Aiman turut membawa sate dan nasi impit, roti, kek pisang dan buah epal. Allahuakbar, terima kasih! Saya terus melupakan nasi goreng dan menikmati nasi impit. Alhamdulillah, berselera pula.

Pagi ini, jiran kami Pok Yeh menghantar nasi belauk dua bungkus untuk sarapan. Seronok saya, dek jemu dengan masakan sendiri, nasi belauk pagi ini sedap benar rasanya. Licin! Terima kasihlah Pok Yeh. Esok hantar lagi ya!

Adik saya yang saya rindui, Husna pula menghantar pesanan WA, bertanya kalau saya perlu apa-apa, dia boleh belikan. Allahuakbar, terharunya dengan keprihatinan insan-insan mulia sekitar saya ini. Terima kasihlah dik, setakat ini bekalan lauk pauk saya masih ada banyak. Dalam peti ais saya masih ada ikan cencaru, ikan kikik, ayam kampung dan telur. Rasanya mencukupi sehingga tamat kuarantin. Tetapi kalau nanti saya rasa nak makan lauk lain, saya bagitau ya dik!

Tetapi adap petang Khamis esoknya, adik saya Husna datang juga menghantar makanan untuk kami. Terima kasih lah dik, dapat juga saya makan roti pandan dan buah kurma. Teh uncang lipton dan biskut oats pun ada. 

Ya Allah, saya bersyukur dengan aturan-Mu. Engkau mengujiku dengan sedikit kesakitan tetapi meletakkan insan-insan prihatin yang ramai di sekitarku. Alhamdulillah.

Terima kasih semua - ibu, adik beradik, keluarga, jiran dan sahabat atas pertolongan dan doa. Semoga syurgalah buat kita nanti.

Amin.

Monday, March 14, 2022

Dua Garis Merah

Pagi semalam, tekak saya terasa perit sewaktu bangun tidur. Demam tidak, selesema pun tidak, hanya tekak yang sangat tidak selesa. Saya mula terfikir kalau-kalau saya dijangkiti Covid.
Suami saya sudah beberapa hari demam, batuk dan selesema. Ujian saliva sudah dibuat banyak kali dan semuanya negatif. Jadi saya tidak risau sangat dan tidak pun melakukan ujian untuk diri sendiri. Yalah, saya tidak ke mana-mana, hanya di rumah sahaja. Kalau suami saya negatif secara logiknya saya pun negatif juga.

Menjelang petang, badan saya pula rasa dedar. Lepas solat Asar, saya terfikir mahu melakukan ujian saliva. Test kit saya ada banyak, selalu saya order dari Shopee.

Dan keputusannya, timbul jalur kedua yang samar-samar pada test kit itu. Terus saya menghubungi suami saya yang sedang berada di kedai kopi berhampiran, minta dia pulang.

Terkejut dia. Sangsi juga. Dia pun menguji, masih lagi negatif. Hairan!

Pagi ini, kami lakukan sekali lagi ujian dan barulah nampak jalur kedua yang juga samar-samar pada kit ujiannya. Sahlah kami berdua positif.

Nampaknya, terkurunglah kami untuk seminggu ini. Saya tidak mahu memikirkan kerja, walaupun ada. Saya mahu rehat dan berdoa agar kami segera sembuh.

Amin. 

Tuesday, March 08, 2022

Mi Bandung Mudah

Saya sangat malas memasak tetapi selalu rasa nak makan itu ini. Nak keluar makan di kedai pun malas juga. Sudahnya?

Saya kisar bawang besar sebiji, bawang putih dua ulas dan halia setengah inci. Saya panaskan minyak, saya tumis bahan kisar tadi dan campur sedikit serbuk cili, sos tiram dan sos pencicah (bukan sos cili). Saya tambah air, masukkan garam dan serbuk perasa. Bila mendidih saya masukkan sotong, udang dan bebola ikan yang dah siap potong kecil-kecil. Kemudian saya pecahkan dua biji telur, dan masukkan sawi dan brokoli.

Siap.

Saya tuang atas mi dalam mangkuk. Tak ada tabur apa-apa sebab daun sup dan bawang goreng tak ada.

Eh, sedap juga!


Monday, March 07, 2022

Cinta AJL 36

Anugerah Juara Lagu 36, saya menonton malam tadi.

Sebenarnya, hanya dua daripada 12 lagu bertanding yang saya tahu. Eh, tigalah. Tapi dua sahaja yang saya suka dan simpan dalam playlist telefon saya.

Pertama, lagu "Angkara" oleh Siti Nordiana ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahaya manakala lagu kedua ialah "Cinta" nyanyian Marsha ciptaan Akim dan Stacy.

Apabila Marsha membuat persembahan, saya terpaku menonton dan sungguh saya menyukai persembahan itu.

Marsha akhirnya memenangi trofi persembahan terbaik dan lagu "Cinta" mendapat tempat kedua untuk lagu terbaik.

Tahniah.

Saturday, March 05, 2022

Tinggal Begitu Sahaja?

Ini tulisan saudara Hasrizal Abdul Jamil, ada di Facebook "My Learning Journey".

"Laptop ini ditinggalkan begitu sahajakah? Selamat?" tanya tetamu kepada Pengetua sekolah di Kempele ini.

Beliau nampak terkejut sedikit.

"Selamat," katanya.

Ringkas.

"Di sekolah ini tidak pernah berlaku kes kecurian?" tanya tetamu lagi.

"Tidak pernah. Saya percaya murid-murid saya" jawabnya. Sambil mengambil 3 buah iPad yang ditinggalkan di meja berkenaan. iPad perlu diletakkan di charging cart yang disediakan khusus.

Antara perkara yang paling sukar dikorek oleh tetamu semasa melawat sekolah-sekolah Finnish ialah masalah salah laku dan jenayah. Kita mahu belajar bagaimana sekolah mengendalikan masalah disiplin. Tetapi masalah disiplin tiada.

100% tiada?

Ada, saya tahu ada. Dadah pun ada, terutamanya grade atas. Tetapi kesnya amat terpencil dan puncanya bersifat individual. Pelajar yang bermasalah akan disiasat pekerja sosial. Dihubungkan masalah disiplin di sekolah dengan kehidupan murid itu keseluruhannya. Pekerja sosial lazimnya akan bertemu faktor penyebab itu di rumah. Tiada murid yang buat perangai tak bersebab. Sebab itu yang perlu dicari.

Ada emak datang ke parents-teacher meeting (ptc) dalam keadaan separuh mabuk. Ayah pula entah di mana.

Ada, tapi jarang-jarang dan terpencil. 

Tapi mencuri barang sekolah?

Susah... sejujurnya belum pernah dengar.

Pakai getah pemadam kawan tapi tak pulang balik, yang itu ada.

Strategi Finland meminimumkan jenayah adalah dengan menjaga kebajikan rakyatnya, supaya hilang sebab-sebab orang melakukan jenayah.

Finland menunjukkan kepada saya masyarakat bebas jenayah bukan kesan beragama. Tetapi kombinasi sistem-sistem kehidupan yang sejahtera.

Bukan bermaksud agama tidak penting. Sangat penting. Paling penting. Terutamanya kerana agama menjelaskan bahawa hidup kita bukan hanya di dunia, tetapi juga akhirat. Sesuatu yang Finland tidak ambil kira.

Tetapi, andai hukum agama diangkat, namun rakyat miskin nak beli susu anak pun tak lepas, mustahil kehidupan yang rendah jenayah boleh dicapai.

Jika sekolah agama sendiri lelah dengan kes curi dan buli, SBP murid pintar kena buat kempen jangan mencuri, maknanya ada sesuatu yang sangat tidak kena dalam pendidikan dan keberagamaan kita.

#cikgumalaysiadifinland

Link:

https://www.facebook.com/1627064917559959/posts/3074099772856459/

Thursday, March 03, 2022

Sorotan

Hari ini cuaca sudah cerah, selepas berhari-hari hujan turun lebat seumpama tengkujuh di Kelantan dan Terengganu. Banjir pun melanda beberapa daerah, dan ada tempat yang sangat teruk banjirnya melebihi apa yang dialami pada Disember 2014.

Semoga mangsa-mangsa banjir diberi bantuan sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab, dan semoga mereka tabah menempuh dugaan. Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik, Insya Allah, Amin.

Minggu ini bermula cuti sekolah selama 24 hari, dan permulaan cuti saya agak meresahkan apabila suami saya mengalami sakit pinggang sebelah kanan hingga ke bahagian belakang. Petang Jumaat 25/2 itu dia sudah mula berasa sakit tetapi menjelang malam sakitnya berkurang dan dapat tidur lena. Paginya, usai Subuh dia sakit kembali. Kasihan saya melihat dia menahan kesakitan, jadi kami ke klinik berdekatan. Doktor hanya memberi Diclofenac dan Suntacid sahaja kerana dia mengatakan suami saya diserang gastrik.

Selepas makan tengah hari, sakit suami saya berulang walaupun sudah memakan ubat. Kami menuju ke klinik lain pula, dan kali ini doktor mengimbas dan nampak batu kecil di bahagian abdomen. Doktor memberi ubat Tramadol, Rowachol dan Buscopan serta menyuntik suami saya dengan ubat penahan sakit.

Alhamdulillah, sakit suami saya berkurang dan pada Ahad petang, seketul batu kecil keluar bersama urin. Lega rasanya.

Anak saudara saya, Amin yang positif covid pada 22/2 lalu sudah beransur pulih. Emak yang ada bersamanya Alhamdulillah negatif. Adik-adik saya - Rifqi (Baba Amin), Ismah dan Zahidah pulang sebentar menjenguk emak dan pada Selasa 1/3, mereka kembali semula ke tempat masing-masing. Ralat juga saya tidak sempat bersua muka dengan Ismah sekeluarga kerana meneman suami yang sakit di rumah. Dengan Rifqi dan Zahidah pun hanya sempat bertemu sebentar. Insya Allah akan ada ruang lagi untuk kita berkumpul nanti.

Adik saya Husna sekeluarga pula sedang berkuarantin kerana positif Covid. Semoga semuanya terlindung dari gejala teruk dan cepat sembuh. Rindunya nak jumpa Sufi, Nasih, Wajih dan Wafa. Rasa lama benar tak melayan celoteh mereka yang lucu dan menghiburkan. 

Terbaru semalam, Rifqi pula diuji positif Covid walaupun tidak bergejala. Semoga Allah melindungi mereka sekeluarga. 

Adik saya Muhammad dan keluarga masih di Teluk Intan. Mungkin sehari dua lagi baru pulang. Abang Lutfi kata emak, ada di Terengganu dan akan pulang bertemu emak sehari dua ini juga. 

Saya dan Aziah Alhamdulillah masih sihat di sisi keluarga. Apa jua dugaan yang Allah beri, kami terima sebagai anugerah.

Begitulah kehidupan. Sentiasa ada turun naik suka duka. Untuk semua adik beradik saya - Lutfi, Aziah, Rifqi, Muhammad, Husna, Ismah dan Zahidah serta seluruh keluarga mereka - percayalah dalam setiap doa saya ada nama-nama kalian. Seperti emak dan ayah, kalian juga anugerah terindah yang Allah kurniakan buat saya. Tiada galang gantinya. 

Semoga Allah mengumpulkan kita bersama-sama di Jannah nanti.

Amin.

Monday, February 28, 2022

Bertanya Khabar

Kasihan Fasha Sandha, kecil hatinya apabila dia dan keluarga ditimpa musibah Covid baru-baru ini, ada rakan baiknya yang tidak bertanya khabar.

Itu yang saya baca dalam media sosial dan rasanya ramai yang begitu, yang mengharap sapaan dari rakan taulan saat ditimpa ujian. Mungkin sapaan ringkas sudah memadai sekadar memberi isyarat tanda prihatin. Ada juga yang berkecil hati kerana saat rakannya ditimpa ujian dia bersusah payah membantu tetapi tiba gilirannya, rakan itu sepi.

Begitu jiwa manusia, sebahagian besarnya.  Kita mudah tersentuh dan menjadi sedih bila tidak dihargai. Normal.

Sebagai seorang introvert yang tulen, jujurnya saya hanya memiliki sangat sedikit perasaan sebegitu atau mungkin tiada langsung. Saya tidak kisah jika tiada yang mahu bertanya khabar saat saya dilanda ujian - rakan atau keluarga. Biarlah saya tidak menyusahkan sesiapa. Bukan isu besar pun bagi saya jika kawan tidak bertanya khabar. Saya ok. Sungguh.

Jika kawan atau keluarga saya dalam kesusahan, saya akan cuba membantu seboleh mungkin. Tetapi percayalah, saya tidak akan berkecil hati jika mereka tidak membantu saya kembali pada saat sukar saya. Saya mahu ikhlaskan hati. Mengharap mereka membalas bermakna ikhlas saya berterbangan.

Allah ada. Dia sudah mencukupi untuk saya. Manusia datang dan pergi, Allah tetap kekal bersama-sama.

Sunday, February 27, 2022

Izinkan Aku

Tuhan, 
izinkan aku menangis sebentar, 
kerana di dalam hatiku 
ada rindu.

Tuhan, 
izinkan aku menangis sebentar,
kerana di dalam jiwaku
ada pilu.

Tuhan,
izinkan aku menangis sebentar,
kerana dalam rindu dan piluku,
ada syukur untuk-Mu.

Pada-Mu Tuhan,
aku tahu 
ada sejuta pengertian,
kerana laluanku ini
telah terlakar dalam tulisan takdir-Mu.

Aku hanya meniti
dan mencari
sebuah reda
menuju Syurga.


Tuesday, February 22, 2022

22022022

Hari ini Selasa. Cuaca tidak secerah semalam, ada gerimis mengundang saat mentari kesiangan.

Saya melangkah menuju sekolah seperti selalu. Hati merindui emak, kerana hujung minggu lalu saya tidak berani berada lama di sisi emak. Saya singgah di rumah emak sekejap sungguh pada Jumaat itu kerana ramai rakan guru di sekolah saya diuji positif Covid dan saya kerap bersama-sama mereka. Risau kalau saya membawa virus itu.

Sekitar jam 8.15 pagi, seusai sarapan, saya menelefon emak. Saja, jawab saya bila emak bertanya kenapa. Emak seperti selalu, bernada ceria dan banyak cerita.

Emak kata, Amin tidak sihat. Sejak semalam tidak lalu makan dan sakit kepala. Emak beri dia panadol tetapi masih lagi tidak kurang sakitnya. Saya terfikir, Amin perlu melakukan ujian saliva. Maklumlah musim begini, dan Amin kerap ke sana ke mari.

Usai berbual dengan emak, saya kembali meneruskan tugas saya - masuk kelas, menanda kertas, menyediakan bahan pengajaran dan menguruskan hal calon SPM, sekadar membantu Setiausaha SPM yang sibuk sungguh. Ada 13 orang calon yang dijangkiti Covid, saya menguruskan pemakluman penangguhan ujian mendengar mereka yang sepatutnya selesai semalam.

Kebetulan waktu akhir saya lapang, saya selesaikan solat Zohor kerana pulang nanti saya berjanji untuk menemani suami saya mengambil tempahan baju batiknya di Pintu Geng. 

Tiba-tiba nada WhatsApp saya berbunyi, berkali-kali. Ada mesej dari adik saya nun di Johor memaklumkan Amin diuji positif Covid sebentar tadi. Terkedu saya, tidak tahu mahu bertindak bagaimana. Saya membalas juga mesej itu, tetapi fikiran masih berkira-kira, tentunya tentang keadaan emak, selain mendoakan Amin.

Ya Allah, lindungilah emak saya! Ya Allah, sembuhkanlah Amin! 

Hati saya galau benar. Rasa mahu pulang ke rumah emak dan menemaninya sepanjang tempoh ini. Benar saya mahu tetapi saya tidak mampu!

Maafkan saya emak. Saya tidak mampu memberi yang sehabis baik, hanya doa yang tidak pernah putus terutus untuk emak. Semoga emak terjaga sebaik-baiknya dalam lindungan Allah.

Amin, umi sentiasa mengirim doa agar Amin sembuh kembali. Tabahlah dengan ujian ini, semoga terselit sejuta hikmah buat pedoman kita meniti hari-hari mendatang.

Emak dan Amin, syurga dan jiwa buat saya. Jagalah mereka ya Allah!


Sunday, February 20, 2022

Menjelang SPM

Hari ini sudah pun 20 Februari dan hanya tinggal 11 hari lagi SPM akan menjelang. Anak-anak kelahiran 2004 ini akan bertarung dengan sembilan mata pelajaran (atau lebih, ada juga yang kurang) sehingga ke 24 Mac. Segalanya tidak dapat diramal, hanya Allah yang Maha Tahu apa yang bakal mereka hadapi. Saya hanya mengirim doa setiap kali jiwa tersentuh melihat kesungguhan mereka berjuang dalam suasana Covid yang mencengkam.

Saat ini jam sudah ke 4.20 petang dan saya masih bersama-sama mereka. Mereka sedang saya uji dengan soalan peperiksaan percubaan Terengganu, sekadar mahu melihat tahap persediaan mereka. 

Kadang-kadang saya simpati melihat betapa padatnya pengisian jadual mereka yang ditetapkan oleh pihak sekolah, sepertinya mereka tidak punya ruang untuk melayan diri sendiri. Pernah beberapa minggu lepas, sewaktu saya meminta mereka mengikuti kelas tambahan yang diadakan oleh rakan saya Kak Rohana pada hari cuti Tahun Baru Cina, mereka merayu untuk keluar bersukan kerana sudah lama mereka tidak diberi peluang bersukan. Sayu hati saya dengan kejujuran mereka, penuh nada memujuk. "Cikgu, kami sudah lama tidak bersukan, bolehkah kalau kami tidak mengikuti kelas itu kerana mahu bersukan pada hari cuti umum begini?"

Aduhai anak, pergilah. Cikgu faham jiwa kamu. Bukanlah dengan bersukan sehari itu kamu sudah lalai dengan pelajaran. Cikgu izinkan.

Apabila kembali ke sekolah pada minggu seterusnya, Kak Rohana bertanya saya kenapa pelajar saya tidak hadir kelas anjurannya itu, dan dengan jujur saya memberitahu yang saya benarkan mereka keluar bermain. Terdiam kak Rohana, entah apa di fikirannya tetapi biarlah. Saya tahu anak-anak murid saya bukan robot yang boleh diprogram. Mereka ada jiwa.

Doa saya untuk mereka bukan sekadar mahu mereka lulus cemerlang dalam SPM, tetapi saya mahu mereka cemerlang sebagai insan yang memberi sumbangan dengan keikhlasan. Saya mahu jiwa mereka besar dan penuh semangat, bukan kerana mahu kekayaan dunia semata.

Teruslah berjuang wahai anak-anak. Cikgu tetap pahatkan wajah-wajah kalian dalam setiap doa cikgu. Biar apa pun nanti keputusan SPM kalian, teruslah melangkah. Bukanlah SPM ini yang akan menentukan hidup kalian, ia cuma satu alat sahaja di antar berjuta-juta lagi proses yang perlu kamu lalui.


Tuesday, February 15, 2022

Bertahan

Tahun ini, genaplah dua tahun hidup kita bergelumang dengan Covid-19 yang pada awalnya dikenali sebagai Coronavirus. Kali pertama ia muncul ialah pada hujung 2019 di Wuhan, China dan seterusnya semakin merebak ke seluruh dunia dan tiba di Malaysia pada 25 Januari 2020.

Masih jelas di ingatan, pada hari berkenaan saya sedang berlegar-legar di KLIA, baru pulang dari menunaikan umrah selama 11 hari bersama Emraz Travel. Waktu itu suasana masih normal, tiada yang berpelitup muka dan istilah penjarakan fizikal belum diguna pakai. Saya menerima pesanan WhatsApp daripada anak saudara saya yang berpesan supaya kami memakai face mask kerana Coronavirus sudah masuk ke negara kita. Saya melihat di sekitar, tiada siapa yang memakainya jadi saya dan suami mengabaikan sahaja pesanan itu, walaupun terharu dengan keprihatinan anak saudara kami.

Selang sebulan, wabak makin menular dan pada 18 Mac 2020 negara mula memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh PM waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami sedang bercuti sekolah Pertengahan Penggal 1 dan sepatutnya tamat pada 21 Mac, tetapi PKP yang pada awalnya hanya dua minggu terus bersambung-sambung sehingga lebih tiga bulan. Awalnya saya seronok, seumpama mendapat cuti percuma yang 'surprise', dan dapat pula berpuasa penuh dalam cuti dengan amannya. Hari raya pula dapat dirayakan dengan sempurna kerana kebanyakan ahli keluarga terperangkap PKP di kampung kecuali abang Lutfi, adik Ismah dan adik Zahidah. Jadi saya begitu menikmatinya waktu itu. PdPR juga belum begitu ditekankan, jadi saya melakukan pengajaran secara tenang dari rumah tanpa perlu laporan-laporan yang pelbagai. Tetapi hati saya semakin lama semakin merindui kelas bersemuka.

Pada 24 Jun 2020, sekolah kembali dibuka dan saya sangat lega apabila dapat kembali bertemu anak-anak SPM saya. Suasana sudah berbeza, kami perlu menyusun semula kelas kepada bilangan lebih kecil dan banyak SOP yang perlu dipatuhi. Pun semua itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang menempuh segala rintangan demi SPM yang cemerlang. Sangka saya panas hingga ke petang, rupanya PKP timbul lagi. Pada 9 November 2020, kami diminta berkurung kembali. Virus ini sudah kembali mengganas dan sekolah perlu ditutup. Hiba sungguh saya mengenangkan anak-anak SPM saya tetapi kami akur dan mula ber PdPR kembali.

Pada 20 Januari 2021, murid-murid SPM dibenar kembali ke sekolah sehinggalah SPM menjelang pada 22 Februari 2021. 

Sesi 2021 untuk murid-murid lain bermula pada 8 Mac bagi sekolah rendah dan 4 April bagi sekolah menengah. Tetapi tidak lama, Kelantan kembali di PKP kan kerana bilangan jangkitan yang tinggi. Hanya dua minggu kami bersekolah, pada 16 April kami berkurung lagi. Dan ini berterusan sehinggalah ke 30 Oktober. Lama!
 
Kini, kami berada di 2022 tetapi masih meneruskan sesi 2021. SPM akan bermula pada 2 Mac nanti.
 
Setakat hari ini saya masih bertahan. Bertahan dari dijangkiti, walaupun di sekitar saya sudah banyak yang terkena. Terbaru, Ahad dua hari lepas saya makan semeja dengan sahabat saya yang disahkan positif pada tengah hari yang sama. Debar di hati Tuhan sahaja yang tahu tetapi saya tidak mahu tertekan. Saya mahu sentiasa reda. Hari ini saya masih normal, belum bergejala walaupun seorang daripada kami yang berada di meja yang sama sudah diuji positif pagi ini, Selasa.

Ahli keluarga saya juga sudah ada yang dijangkiti. Adik saya Aziah dan anaknya Muiz baru selesai kuarantin pada 31 Januari lalu. Anak saudara saya Iman Syazwani pula diuji positif sehari sebelum ujian lisan SPM berlangsung dan masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya di Johor. Dan seterusnya adik ipar saya di Perak, Farah turut disahkan positif pada Rabu lepas. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja, dan doa saya untuk mereka dan keluarga mereka tidak pernah berhenti. Apa pun ujian yang mereka lalui, saya di sini turut bersama merasai. 

Untuk emak, tentunya saya sentiasa risau. Emak sudah tua, persekitaran pula sentiasa mengundang bimbang. Semoga Allah menjaga emak sebaiknya, yang kini ditemani anak saudara saya Amin di rumah pusakanya. Lindungilah mereka ya Allah.

Apa pun ketetapan, saya akan sentiasa mendidik diri untuk reda. Selaras juga segalanya dengan ikhtiar yang dituntut. Saya dan suami, juga emak sudah selesai mengambil suntikan dos penggalak demi sebuah perlindungan untuk diri dan semua. Saya berikhitiar, Allah jua penentu segala.

Doa saya agar virus ini akan semakin melemah bersama masa. Biar pun ia sukar untuk hapus, sekurang-kurangnya biarlah varian yang wujud nanti semakin lemah dan lemah. Amin.

Sunday, February 13, 2022

Copy je ni

Bagus cara penulisan sahabat kita ni tentang vaksin covid19. Mudah difahami.

Ambil vaksin pun kena Covid juga?

Cerita dia macam ni.

Covid tu ibarat macam hujan lebat yang terpaksa kita redah. Kita tidak ada pilihan. Mahu tak mahu tetap kena redah juga.

Vaksin macam 'payung'.  

Kalau tak guna 'payung' confirm basah lencun. Kalau guna payung basah juga sikit-sikit sebab kena tempias tetapi basah tak teruk. 

Kalau tak guna 'payung' kita basah lencun bila sampai di rumah. Anak-anak peluk kita. Akhirnya depa juga basah. 

Tetapi kalau guna payung kita basah sikit-sikit. Sampai di rumah kita tinggal payung di luar. Kita lap apa yang patut. Bila masuk rumah kita dah kering. Kalau kita peluk anak isteri pun depa tak basah.

Macam tulah juga dengan Vaksin. Vaksin boleh melindungi kita sekitar 90% sahaja. Maksudnya kita tetap akan 'basah' juga bila lalu di celah-celah hujan Covid. Tapi kena tempias sedikit sahaja. Tak teruk. 

Bila jangkitan Covid tak teruk, insyaallah cepat baik. Tubuh mampu lawan serangan virus tersebut. Jadi penularan tidak berpanjangan. Insyaallah anak bini pun akan selamat. Tapi SOP masih kena jaga.

Maksudnya dengan pengambilan Vaksin beramai-ramai seperti kita pegang payung bersama-sama. Payung kita semua saling bercantum. Jadi kemungkinan untuk kita kena tempias hujan semakin berkurangan. Insyaallah kita semua akan kering. Air hujan tak boleh nak tembus masuk sebab payung kita saling melekat rapat.

Tapi depa kata ada yang mati selepas ambil Vaksin!

Betullah. 

Mungkin ada sungguh satu dua kes seperti itu. Macam orang mati semasa beranak. Awat kita bersalin juga? 

Sebab kita tau kes tersebut terpencil sahaja. Orang lain bersalin selamat, tiba-tiba time dia boleh mati pula. Kita tahu itu ajal. Sebab tu kita yakin.

Macam tu juga dengan Vaksin. Beratus-ratus juta atau lebih penduduk dunia sudah ambil Vaksin. Setakat ini tidak ada isu serius yang terjadi. Jadi kita mesti yakin insyaallah.

Tetapi Vaksin tu agenda yahudi. Depa nak masukkan cip dalam badan kita. Depa nak kawal kita. Tak kan hang tak tau?

Jom gelak!

Sebelum hang nak sembang bab yahudi dan cip, hang pi 'lempaq' /buang dahulu telefon yang hang pegang tu. Semua maklumat tentang diri kita dah ada dalam telefon dan media sosial yang kita guna tu! Tak payah nak cip-cip bagai lagi!

Lagipun kalau setakat minda 24 jam tik Tok, fb dan wassap rasanya musuh pun tak berapa minat untuk menakluki kita kot! Lainlah kalau IQ kita level-level Bill Gate!

Oleh itu, jom kita ubah cara berfikir. Kita ada Allah. Kita mohon Allah bantu Kita. Tetapi Allah dah kata, bantuan Allah akan datang selepas Kita berusaha. Jadi Vaksin ini satu usaha Kita. Kita dengar cakap orang yang lebih tahu. Kita belajar untuk hormat. Mudah-mudahan Allah mengasihani kita lalu Allah singkirkan virus ini buat selama-lamanya dari muka bumi ini. Amin.

Kredit: Penulis Asal

Friday, February 11, 2022

My Weekend

Selalu saya nyatakan, berada di sekolah adalah keseronokan untuk saya. Bertemu anak-anak murid adalah terapi buat saya. Lama-lama di rumah menerbitkan bosan di hati, seperti pada waktu PKP lalu yang memaksa saya berkurung tanpa ke mana-mana. Saya tidak bosan kerana terkurung, tetapi bosan kerana tidak mampu bekerja.

Hari ini Jumaat. Hujung minggu buat saya selepas beberapa hari bekerja. Dan minggu ini saya benar-benar bekerja dengan penuh perasaan sehingga terasa seronok benar dapat bercuti hujung minggu begini.

Bermula Khamis 3 Februari, saya ke sekolah setiap hari sehinggalah Khamis 10 Februari semalam. Lapan hari berturut-turut saya mencurah tenaga mengajar anak-anak SPM, dan saya seronok melaluinya cuma terasa juga penat dan letih. Tambahan pula pada Isnin, Selasa dan Rabu saya pulang lewat, tiba di rumah pada jam hampir ke 5.00 petang kerana urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan (Isnin ada Dialog Prestasi Matematik Tambahan di Maktab Sultan Ismail, Selasa saya bertemujanji di HUSM dan Rabu saya berkelas tambahan di sekolah). Lalu hari ini biar saya mengurung diri di rumah sebentar, untuk memulih segala tenaga.

Santai-santai di rumah sambil menyelesaikan urusan yang ada secara perlahan-lahan sangat mendamaikan. Saya sudah selesai menyapu beranda, juga menyiapkan basuhan dan melipat kain. Baju suami saya untuk ke masjid pun sudah digosok. Sebentar lagi saya akan ke dapur untuk memasak pula. Tidak buru-buru, semuanya dalam santai.

Selesa begini, tanpa tekanan.

Tuesday, February 08, 2022

Menanti

Di sini saya hari ini, klinik pakar O&G HUSM. 




Saya bergerak dari sekolah dihantar suami pada jam 12.15 tengah hari dan waktu temujanji saya ialah pada jam 2.00 petang.

Lima minggu lalu saya sudah ke sini. Doktor mengimbas perut saya dan apa yang dicatat dalam rekod perubatan saya ialah saiz sista saya semakin besar. Saya tidak mahu mencipta tekanan kerana saya sudah tua untuk risau apa saja, jadi saya terima segalanya dengan reda.

Kata doktor, puan datang lagi bulan depan ya, untuk kita bincang perlu apa seterusnya. Mungkin pembedahan yang kita tak pasti keberhasilannya. Jika selepas dibedah kita tak boleh buat apa-apa, kita tutup balik. Puan tahu kan risikonya?

Saya mengangguk.

Ya, saya tahu. Ketulan di dalam badan saya ini bisanya sudah menular, menjadikan pembedahan itu sesuatu yang sukar, yang akan menghimpunkan segala pakar di sisi saya dan kata doktor itu ialah pilihan terakhir. Saya pasrah.




Hari ini, saya menyerah diri lagi pada doktor-doktor di sini untuk diperiksa dan kepada Allah jua saya berserah. Saat ini saya sedang menanti untuk diimbas. Apa pun keputusannya, saya bersedia.