Tuesday, April 25, 2023

Selamat Hari Raya

Tahun ini tarikh hari raya Aidilfitri yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad pada malam Jumaat lalu bersamaan dengan tarikh yang tertulis di kalendar iaitu pada Sabtu 22 April 2023. Alhamdulillah.

Maka tamatlah Ramadan 1444 yang kita lalui selama 30 hari. Alhamdulillah.

Tibalah hari raya untuk kita raikan kemenangan. Alhamdulillah.

Semoga Allah reda dan terima segala amalan kita. 

Cuma, apabila datang beraya ke rumah orang, ingatlah beberapa perkara.

Pertama, jaga adab dan jaga syariat. Kedua, jika mahu datang ramai-ramai sekeluarga anak menantu dan cucu cicit silalah maklum lebih awal. Kami tuan rumah perlu juga bersedia kerana jika datang mengejut, akan meletihkan kami.

Ketiga, tidak perlulah tolong basuh pinggan mangkuk jika tuan rumah melarang. Ada yang segan jika tetamu masuk ke dapurnya, jadi hormatilah permintaannya.

Keempat, usahlah berlama-lama di rumah orang. Tuan rumah pun ada agenda untuk beraya juga.

Kelima, cukuplah raya setakat tiga hari. Penat tau raya lama-lama! 

Thursday, April 20, 2023

Lesung Pecah

Ini kisah sewaktu saya berusia 11 atau 12 tahun. Waktu itu ayah menyewa rumah di Mulong.

Emak memang selalu meminta saya membantunya di dapur. Apa je yang saya tak buat, dari menyiang ikan hinggalah mengukur kelapa. Biasalah, sebagai anak perempuan sulung yang ada ramai adik kecil, saya betah diminta tolong itu ini.

Dalam membantu pun, jiwa kanak-kanak saya kadangkala mahu memberontak juga. Kerja dapur bukan kegemaran saya. Saya lebih suka bermain! Tetapi apalah daya, tidak mampu saya berkata tidak apabila emak menyuruh.

Suatu hari, saya tengah seronok melayan kawan-kawan di ruang tamu. Emak memanggil. Yati! Mari ke dapur ni, tolong emak!

Saya tentunya keberatan, tetapi tiada keberanian untuk menolak. Terus saya ke dapur dan emak meminta saya menumbuk lada kering.

Tahu sajalah, menumbuk lada kering sampai lumat bukannya sekejap. Saya yang kemalasan, menumbuk dengan sekuat hati sepenuh tenaga. Saya mahu ia cepat lumat. Juga saya mahu melepaskan rasa tak puas hati saya sebab kena masuk dapur sewaktu tengah seronok bermain.

Tiba-tiba lesung itu terpecah dua. Terkejut emak. Hah! Tak pernah sepanjang hidup emak menumbuk lada sampai pecah lesung, kata emak. Saya tak tahu reaksi saya macam mana waktu itu tetapi saya tidak rasa itu salah saya. Lesung itu memang dah nak pecah, apa nak buat!

Banyak juga emak berleter. Emak seperti tahu yang saya menumbuk dalam rasa terpaksa dan nak cepat siap. Macam-macamlah dileterinya saya ini. Saya mendengar saja. 

Itulah ceritanya.


Wednesday, April 19, 2023

Teka Raya

Teringat zaman saya kecil dulu, kami ramai-ramai berkumpul depan tv tunggu pengumuman raya. Sambil-sambil tu kami saling teka meneka, raya esok atau raya lusa.

Tekaan ayahlah yang selalu betul. Kami teka main-main saja tapi ayah siap mengira. Ayah kan pandai kiraan falak, tentulah tekaan ayah akan betul.

Waktu itu ramai yang bermasalah dengan ketupat. Kalau esok raya tapi ketupat belum buat, tentulah tak tidur malam nak siapkan ketupat. Tapi kalau ketupat dah siap tapi esok belum raya, nanti ketupat tu dah tak sedap pada hari raya. Begitulah.

Kini, teka teki hari raya kembali berulang kerana tarikh di kalendar sudah tidak lagi diyakini. Apa yang berlaku tahun lepas (kalendar tulis raya pada 3 Mei tetapi penyimpan mohor besar mengumumkan raya pada 2 Mei) menyebabkan rakyat Malaysia tidak percaya dengan tarikh raya di kalendar.

Jadi bagaimana, raya Jumaat atau raya Sabtu?

Saya teka, raya Sabtu 22 April 2023.

Monday, April 17, 2023

Duit Raya


Zaman kecil saya, duit raya belum ada sampul. Duit syiling kan, mana boleh letak dalam sampul. Waktu itu, dapat 20 sen pun dah rasa seronok amat! Bukan semua pun bagi duit raya, yang kaya-kaya dan yang baik hati je. Ramai yang tak bagi berbanding yang bagi. Raya pun sehari je. Selalu raya kedua dan seterusnya orang dah tak raya dan dah tak bagi duit raya. Kelantan kan, raya puasa tak meriah sangat.

Bila dihitung-hitung syiling yang berat itu, jumlahnya tak sampai pun dua ringgit. Jadilah, boleh saya beli aiskrim sedap yang harga 50 sen. Lagi, saya beli air botol. Lagi, saya beli gula-gula dalam tin yang ada tepung tu. Ingat tak?




Begitu saya dulu. Seronok juga cara kami kanak-kanak lapan puluhan. Rasa macam puas hati boleh beli makanan idaman dengan duit raya. Tak adanya nak simpan-simpan. Secoet je pun!

Bila berada pada alaf baru abad ke 21 ini, segalanya berbeza. Duit raya tu memang kena beri. Masuk dalam sampul dulu. Bagus jugak, orang tak nampak kita isi berapa ringgit.

Saya letak macam-macam nilai dalam sampul tu. Untuk rombongan kanak-kanak yang datang raya ramai-ramai tu saya bagi tiga ringgit. Untuk anak-anak saudara dan cucu-cucu saudara saya bagi sepuluh ringgit. Untuk anak-anak sahabat handai yang bertandang saya bagi lima ringgit. 

Terima kasih Tuhan, sentiasa memurahkan rezeki saya untuk terus memberi dan menceriakan hati anak-anak manis yang nanti bakal dewasa menjadi insan berguna.

Thursday, April 06, 2023

Masakan

Dari pemerhatian saya, anak-anak lelaki sangat terikat selera mereka dengan masakan ibu. Apabila berkahwin, mereka akan meminta isteri memasak seperti resipi ibu mereka. Jika sesekali pulang ke kampung, akan bertambah-tambah mereka makan apabila menghadap hidangan di rumah ibu.

Anak perempuan pula, seperti lebih fleksibel. Mereka tidaklah secerewet anak-anak lelaki dalam bab selera. Mungkin kerana mereka yang kena memasak, jadi apa-apa pun boleh.

Untungnya, suami saya tidak pula begitu. Tidak tahulah atas faktor apa, dia tidak pernah membandingkan masakan saya dengan masakan ibunya. Juga, dia tidak pernah bercerita lauk apa yang dia suka semasa kecil. Mungkin faktor kesempitan hidup, dia makan sahaja apa yang ibunya sediakan. 

Kebetulan juga, saya bukanlah pandai memasak. Sesekali masakan saya menjadi, dan banyak kali juga tak menjadi walaupun saya ulang resipi sama. Tidak tahu apa yang tidak kena. Sudahnya, saya cepat serik dalam memasak. Susah!

Keterangan gambar - lauk berbuka semalam. Suami saya ke Pasar Ramadan Peringat dan membeli gulai ayam kampung dua ketul, gulai ikan kering, kerabu sare, air laici kang dan air asam boi untuk berbuka. 

Untuk sahur, dia beli daging bakar, ayam madu dan sayur lemak. Kuih pula, sebungkus sanggupal dan sebungkus puteri mandi yang kami makan selepas terawih. Jumlah harga semuanya ialah RM50. Kira berbaloilah. Alhamdulillah.

Sekadar celoteh di pagi hari.

Tuesday, April 04, 2023

Siaran Tertunda 2


Alhamdulillah.

Impian saya untuk memiliki kereta Toyota Camry tercapai juga kini. Terima kasih tidak terhingga kepada suami saya yang akur dengan permintaan saya kali ini.

Kereta ini siap untuk dibawa pulang pada hujung Februari lalu tetapi waktu itu kami sedang berurusan dengan hospital berkaitan pembedahan saya. Maka kereta ini dibiarkan tersimpan di pusat Toyota di Bunut Payong sehinggalah pada 13 Mac 2023, suami saya membawanya pulang.

Semoga Allah memelihara perjalanan kami bersama kereta ini juga memberkati setiap urusan yang kami lakukan menggunakan kereta ini. Ia bukan satu lambang kemewahan atau kemegahan dalam hidup kami, tetapi menjadi citra apresiasi buat kami yang telah sama-sama mengharung pahit manis perjalanan kehidupan lebih dua puluh lima tahun berdua.

Mahal, tetapi insya Allah ada keberkatannya.

Amin.


Monday, April 03, 2023

Siaran Tertunda


Hari ini genap sebulan anak saudara saya, Muhammad Amin bin Mohd Rifqi bernikah dengan pasangannya, Fatini binti Nazry.

(Maaf, pada hari langsung itu (3/3/23) Umi tidak dapat hadir kerana masih berperang dengan kesakitan selepas menjalani pembedahan TAHBSO sehari sebelum majlis.)

Alhamdulillah, Amin menjadi cucu pertama Tok Ma yang melangsungkan perkahwinan walaupun pada usia yang masih muda - 21 tahun.

Ya, tentunya pelbagai pandangan yang diberi apabila Amin meminta untuk bernikah. Begitu, begini, bla bla bla...

Apa pun, Umi sentiasa mengirim doa untuk Amin dan Fatini. Semoga rumah tangga yang dibina ini aman damai dan tenteram tanpa sebarang masalah besar yang mendatang. Umi yakin, Amin akan semakin matang seiring usia. Allah akan menjaga selagi kita berusaha sebaiknya.

Selamat Pengantin Baru.

Friday, March 31, 2023

Ramadan Kembali

Tanggal 1 Ramadan 1444 yang disambut pada 23 Mac 2023 lalu, saya terima dengan penuh rasa terharu dan syukur. Alhamdulillah, terima kasih Allah memberi saya peluang untuk menghirup udara Ramadan kali ini dengan kesihatan yang semakin baik.

Khamis itu, saya baru 22 hari pasca pembedahan. Badan saya masih berasa lemah, sakit juga masih ada walaupun tidak kerap. Suami saya bertanya, mahu puasakah? Tentu saya mahu. Saya tahu saya mampu.

Alhamdulillah, dengan kudrat yang tersisa ini saya tidak menghadapi apa-apa masalah untuk berpuasa. Letih pun tidak, kerana seharian saya cuma berehat di katil. Lagi tenang rasanya bila tidak perlu memikirkan tentang makan. Semuanya Allah permudahkan untuk saya.

Menu berbuka, suami saya beli sahaja. Syukur lagi, kerana tidak perlu susah-susah memasak. Cuma kasihan juga pada suami tersayang, dia kelihatan penat selepas berada seharian di sekolah tetapi menggagahkan diri juga mencari juadah berbuka untuk kami selepas solat Asar. 

Dan begitulah setiap hari. Hari ini sudah 9 Ramadan, tidak sehari pun saya memasak. Mujur selera kami masih elok, lalu saja tekak kami menelan apa jua makanan yang dibeli.

Saya sudah rasa makin sihat dan bertenaga hari ini. Saya suarakan juga pada suami, kalau mahu saya memasak pun boleh. Tetapi dia masih enggan membenarkan. Nanti dululah, katanya.

Terima kasih. Kali ini saya rasa sangat dimanja. Sungguhlah bila dia begitu memberi perhatian dan mengambil berat, saya jadi tidak tergamak untuk menjadi terlalu meminta-minta. Doa saya kepada Tuhan, jagalah suami saya sebaiknya. 

Monday, March 27, 2023

Pantang

Saya ini pengikut setia Dr. Imelda. Jadi, bab pantang orang-orang dulu saya tidak ikut sangat.

Saya sudah tiga kali melalui pembedahan besar, dan sekali laporoskopi. Semuanya saya redah dengan gembira tanpa pantang apa-apa.

Waktu pembedahan pertama saya pada 1998, selepas seminggu, saya makan nasi lemak yang emak buat untuk sarapan. Ada telur rebus dan saya makan tanpa rasa bersalah.

Suami saya melihat dengan curiga. Eh bini aku ni, mana boleh makan telur! Tapi dia tidak terus menegur, mungkin kerana emak dan ayah saya ada dan mereka tak kata apa pun. Suami saya kemudian memberitahu ibu dan kakaknya saya makaj telur, maka terkejutlah mereka. Baru seminggu dah makan telur? Nanti bernanah luka tu!

Malamnya, barulah suami saya bersuara. Tadi abang tengok Ti makan telur rebus, Ti kan baru seminggu operation. Bahaya tu, nanti luka bernanah. 

Hah, tak boleh ke? Saya tak tahu. Kalau gitu nanti lain kali saya tak makan. 

Begitu jawab saya.

Dan alhamdulillah luka saya sembuh elok, tidak bernanah pun.

Kali ini, saya dah banyak kali makan telur. Doktor kata telur bagus untuk penyembuhan luka kerana ia kaya protein. Alhamdulillah luka saya semakin sembuh.

Hari ini sudah 25 hari, dan luka saya pun sudah semakin kering, rasanya saya sudah boleh melayan kembali selera saya yang semakin baik ini. 

Thursday, March 16, 2023

Rindu Sekolah

Hari ini sepatutnya saya berada di sekolah untuk hari pendaftaran murid-murid tingkatan 2 - 5. Saya dilantik sebagai guru kelas kali ini, atas permintaan saya sendiri. Saya mahu menjadi guru kelas Tingkatan 5C1 dan permintaan saya itu dipenuhi oleh Tuan PK HEM yang saya sayangi.

Apakan daya, tersurat pada hari ini saya terpaksa berada di wad, bukan di sekolah. Begitu, saya reda.

Pun dalam hati, saya benar-benar rindu. Apabila rakan guru saya memuat naik video pendaftaran hari ini dalam FB, dan terpandang wajah-wajah anak murid saya, lagilah saya rindu.

Mereka anak yang baik dan berpotensi kerana itu saya memilih kelas mereka untuk dipegang. Saya mahu mendekati mereka, memberi tunjuk ajar yang sebaiknya dan membina semangat mereka agar sentiasa kental menghadapi segala cabaran mendatang.

Maafkan cikgu ya anak-anak, tidak dapat memulakan sesi ini bersama-sama kalian. Cikgu berperang antara semangat dan kesakitan. Semoga Allah memberi kesembuhan untuk cikgu, dan mengizinkan cikgu meneruskan cita-cita untuk memberi yang terbaik buat kalian.

Adam, Atif, Harith, Anisa, Auni, Fira, Afiq, Danish, Fakri, Farihin, Adelina, Aisyah, Liyana, Najwa, Qistina, Siti, Bella dan Widad, semoga Allah melindungi dan merahmati kalian selalu.

Wednesday, March 15, 2023

Dari 1U

Semalam 14 Mac, saya ke klinik Usains untuk temujanji membuka jahitan pembedahan. Jam 10.40 pagi, nama saya dipanggil dan saya diperiksa oleh Dr. Hoo Pek Sung.

Sangka saya, semuanya baik. Luka saya memang saya jaga betul, tak kena air langsung. Ketika doktor membuka plaster, katanya nampak elok dan cantik. Tetapi apalah daya, sewaktu benang dicabut satu persatu, doktor mengesan ada cecair yang keluar dari tempat luka saya itu. 

Dia seperti risau. Air, bukan nanah atau darah tetapi dia bimbang jika ada jangkitan. Masuk wadlah ya! Katanya. 

Allah!

Kali ini saya dihantar ke wad 1U. Entah, saya mengikut saja. Kata doktor, sehari sahaja, jadi puan duduk di wad percuma. Kalau wad eksekutif mahal pula bayarannya.

Saya akur saja. 

Di wad 1U, saya ditempatkan di katil 9. Jauh pula dari bilik air, tapi tak apalah.

Terlantarlah saya di sini, dengan pelbagai rasa tidak terungkap. Saya cuba positifkan diri dan meyakinkan diri yang ini cuma untuk sehari.

Saya bukan apa, di wad begini saya jadi tidak selesa. Walaupun saya tidak perlu dijaga, dan saya sudah boleh bergerak sendiri tetapi sekitarnya panas dan bising. Saya terganggu.

Tidak mengapalah, saya reda.

Jam 12 tengah hari saya mendaftar di wad, suami saya belikan nasi dan roti sebelum dia pulang ke rumah. Nanti petang dia datang.

Kasihan pula melihat suami saya. Semoga Allah menjaganya dan memberi kesihatan yang baik untuknya, dan dia dapat menunaikan tanggungjawabnya di dunia dengan sempurna. Jagalah dia, ya Allah!

Saya diberi antibiotik dan doktor mengambil darah saya. Keputusannya, bacaan hb saya cuma 7.5. Saya perlu ditambah darah.

Hari ini, Rabu, bermula dengan pedih dan sedih. Emosi saya tidak menentu. Saya jadi sayu dan pilu entah kenapa. Saya menelefon suami dan menangis. Hampir saja suami saya mahu datang ke wad, tapi saya kata tak mengapa, saya ok. 

Entahlah, banyak yang mengganggu fikiran. Antibiotik yang dimasukkan melalui drip di tangan kiri saya bermasalah. Bukan saja sakit, tetapi juga tiba-tiba dia tidak mengalir. Terpaksa dibuat drip baru di tangan kanan pula. Saya stress.

Bilik air pula sangat tidak mesra. Untuk satu wad ini, hanya satu tandas yang berfungsi. Lagi dua rosak. Bayangkan berapa lama saya perlu menunggu dan berdiri di luar. Saya stress.

Apabila doktor kata perlu masuk darah, saya sangka pagi-pagilah ia berlaku. Rupanya puas menunggu, petang jam 5 baru darah diterima. Saya bosan di sini, menunggu begini. Saya stress.

Alhamdulillah, stress saya tidak berpanjangan. Saya cuba untuk reda dengan segalanya.

Semoga esok saya dibenarkan pulang.

Wednesday, March 08, 2023

Ma

Tua-tua begini, masih saya mahu bermanja dengan Ma.

Saya sudah 51 tahun. Ma pula menjangkau 71. Alhamdulillah Allah masih izinkan saya merasai kasih sayang Ma yang tidak pernah padam.

Apabila saya dibenarkan pulang dari wad Isnin itu, saya rasa mahu pulang ke rumah Ma. Pun, ada risau juga jika nanti saya menyusahkan Ma pula. Saya menelefon Ma, bolehkah kalau saya balik rumah Ma?

Ma kata, Ma dah kemas dah bilik ni. Memang Ma nak suruh balik sini dulu. 

Allahuakbar. Terima kasih Ma.

Saya tiba disambut Ma. Sayu hati saya, melihat Ma yang masih menguatkan diri demi saya.

Malam itu Ma buat ayam bakar dan sayur air sawi untuk saya. Esoknya, untuk sarapan Ma bancuhkan Milo dan suami saya belikan saya nasi himpit. Tengah hari, dibantu adik ipar saya Nab, Ma masakkan sup ayam dan ikan bakar. Ma potongkan buah. Dan begitulah seterusnya. Ma temankan saya berbual. Ma memberi saya kata-kata semangat. Ma mengirim saya doa yang tiada hentinya.

Ma, Allah jua yang akan memberi balasan terbaik untuk Ma. Terima kasih Ma.

Saya sayang Ma saya dunia akhirat.


Tuesday, March 07, 2023

Kali Keempat

Jam 10 pagi Khamis itu, saya ditolak dengan katil beroda menuju ke bilik bedah. Suami, emak, adik lelaki saya Rifqi dan adik bongsu saya yang comel, Zahidah turut memberi lambaian semangat sebelum saya ditidurkan. Doa-doa dari sekalian ahli keluarga yang lain juga saya aminkan semahunya.


Allahuakbar. Saya berserah.

Saat begini, usah ditanya perasaan saya. Ia tidak tergambarkan. Entah apa-apa yang terbit dalam hati, saya hanya penuhi dengan zikir dan doa. Selamat, selamat, selamat ya Allah!

Doktor yang bersama-sama saya dalam bilik bedah itu ialah Dr. Hoo Pek Sung (O&G), Dr. Laila (Anaesthesia), Dr. Asyraf (Urology) dan Dr. Muzaini (Usus). Sebaik Dr. Laila menyuakan penutup mulut untuk saya sedut, saya hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dan tidak lagi sedar apa-apa.

Seperti hanya beberapa saat sahaja berlalu, terdengar nama saya diseru, dan saya kenal itu suara suami saya. Allah, saya sangat tidak selesa. Mata terbuka dan terpejam semula, tetapi saya tahu suami saya ada di sisi saya. 

Saya haus. Sangat haus. Rasa kering benar tekak. Abang, saya mahu air. Belum boleh minum lagi Ti, tunggu dulu ya.. Allah!

Saya mahu kencing ni. Kencinglah... Ah, tak keluar! 

Saya belum solat bang. Nanti lepas ni kita solat.

Suami sayalah itu, berada di sisi tanpa jemu. Dua jam di bilik pemulihan, dia setia menunggu. Saya benar tidak selesa, tetapi ada dia di sisi saya rasa selamat sekali.

Saya mendengar doktor dan jururawat bercerita tentang pembedahan saya. Semua selamat. Tiada organ luka. Sekejap lagi boleh dihantar ke wad semula.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Jam 8 malam saya ditolak kembali ke wad D39. Kali ini saya sudah boleh diberi minum sedikit-sedikit, leganya Allah jua yang tahu. Saya bersolat dengan terbaring, dalam keadaan separa sedar. Entah berapa rakaat, saya tidak mampu mengingat. Allah! Ampuni saya....

Suami saya tidur di kerusi sebelah katil saya. Saya lena, mungkin masih merasai ubat bius yang tersisa. Wayar yang berselirat menghalang pergerakan saya tetapi Alhamdulillah saya tidak sakit sangat. Hanya tidak selesa sahaja.

Ini kali keempat saya dibedah kerana adenomyosis dan fibroid, dan kali ini adalah paling menakutkan. Pun syukur ya Allah, mengizinkan saya untuk terus hidup.

Semoga esok saya lebih kuat.

Jam 3 Pagi

Saya terjaga pada jam 3 pagi ini, selepas lena sejak 9 malam tadi. Alhamdulillah rasa makin sihat walaupun masih kurang selesa.

Petang semalam saya dibenarkan pulang selepas 6 hari berada di wad Eksekutif Usains USM Kubang Kerian kerana menjalani pembedahan.

Saya ditemparkan di wad Double (D39) pada jam 10 pagi hari Rabu 1 Mac 2023, dan melalui pembedahan pada 11 pagi Khamis 2 Mac keesokannya. Selepas 4 hari dipantau di wad, saya dibenarkan pulang semalam, Isnin jam 3 petang 6 Mac 2023.

Alhamdulillah.

Saya dibekalkan dengan lima jenis ubat, 2 antibiotik, 1 paracetamol, 1 Celebrex, 1 ubat batuk dan 1 Lactulose. 

Saya pulang ke rumah ma dahulu barang sehari dua, sehingga saya rasa lebih kuat untuk bergerak sendiri barulah saya akan pulang ke rumah saya.

Terima kasih ma. Saya tidak akan menyusahkan ma lama-lama, saya cuma mahu menumpang sehari dua. Ma usahlah bersusah-susah sangat untuk saya ya!

Terima kasih suami, yang begitu setia menjaga saya tanpa keluhan. Semoga Allah jua yang membalasnya.

Terima kasih adik beradik, ahli keluarga dan sahabat handai yang selalu ada saat saya memerlukan. Saya hargai setiap doa, masa dan tenaga yang kalian berikan untuk saya. Adik bongsu saya Zahidah, yang sudi menjaga saya di wad sewaktu suami saya pulang ke rumah, terima kasih sebanyaknya. Juga sumbangan bermakna yang saya tidak sangka-sangka dari adik saya Husna, Allah jua yang membalasnya.

Terima kasih Tuhan, memberi rahmat yang terindah buat saya.

Semoga selepas ini saya akan kembali sembuh untuk terus menyumbang bakti di dunia sebelum pulang bertemu-Nya.

Wednesday, March 01, 2023

Dari D39

Assalamualaikum.

Berada di sini, di bilik D39 Wad Eksekutif HUSM sejak jam 10 pagi tadi agak menenangkan saya. Debar yang meruntun dalam jiwa sejak semalam beriring sedu dan tangisan sudah saya redakan dengan sejuta rasa redha. Kepada Allah saya berserah diri sepenuhnya.

Paling saya terharu, melihat wajah suami saya yang begitu setia tanpa mengeluh sedikit pun melayan setiap gerak dan langkah saya yang tersadung dan jatuh berkali-kali, dek jiwa yang rapuh dan hati yang mudah retak. Terima kasih Tuhan memberi saya seorang teman yang begitu mengasihi. Rahmati dia, kasihi dia, dan lindungi dia selamanya.

Kadang- kadang, seorang doktor itu umpama pakar motivasi juga. Mereka mampu mengungkap kata-kata yang menyentuh jiwa namun memberi rasa lega. Dalam gusar di dada saya, mereka meniup bayu ketenangan dan sentiasa sudi memberi bantuan.

Untuk ma dan adik beradik seisi keluarga, terima kasih kerana memberi perangsang dan keyakinan untuk saya kuat menghadapi dugaan. Doa kalian umpama penawar mujarab yang menemani saya setiap ketika. Terima kasih.

Esok, saya akan dibedah.

Semoga Allah memberi kesembuhan untuk saya. Amin.

Thursday, February 16, 2023

Selamat Bercuti

Berakhir sudah sesi persekolahan 2022/23 pada hari ini, dengan beribu-ribu warna dan aroma yang pelbagai.

Mulai esok, kami guru-guru dan murid-murid akan menikmati cuti selama 30 hari.

Alhamdulillah.

Banyak yang ingin saya lakukan sepanjang cuti ini. Walaupun saya bukanlah bercuti sepenuhnya kerana anak-anak murid saya tetap perlu diberi sentuhan sepanjang SPM mereka yang bermula Isnin 20/2 ini. Saya akan tetap ke sekolah untuk berada bersama-sama mereka, menemani mereka mentelaah sambil memberi semangat dan keyakinan untuk mereka melangkah ke dewan menjawab soalan.

Begitulah.

Dan rancangan-rancangan yang ada dalam minda sepanjang cuti ini, akan diteruskan jika ada ruang sesuai.

Selamat bercuti.

Wednesday, February 15, 2023

Tiba-tiba Teruji

Sudah makan minggu saya mengalami rasa yang tidak selesa begini. Saya jangka ini disebabkan ketumbuhan dalam abdomen saya sudah terlalu besar sehingga menghimpit organ-organ lain dan mengganggu kesejahteraan saya. Natijahnya, saya selalu moody, malas dan tidak bersemangat dalam melakukan urusan harian. Sepulang dari sekolah, saya akan terus merebahkan diri di katil dan tergolek di situ hingga petang. Tidur. Mengadap handphone. Berkhayal.

Rancangan saya, apabila sekolah bercuti nanti Jumaat ini, saya akan terus menyerah diri di Wad Kecemasan HUSM dan akan merelakan apa saja yang mereka mahu lakukan. Saya sudah tidak betah menanggung setiap resah dan gelisah yang sedang melanda ini. Kepada Tuhan saya berserah, dan memohon agar segalanya dipermudah.

Pun, itu hanya satu perancangan seorang saya sebagai hamba-Nya. Apa yang akan terjadi seterusnya, tidak dapat saya ramalkan.

Beberapa hari kebelakangan ini suami saya juga kelihatan tidak begitu sihat. Sejak awal minggu ini dia mengadu berasa sakit di bahagian belakang badannya. Saya risau jika penyakit batu karangnya berulang. Badannya juga kerap panas dan suhu mencecah 37.9 darjah. Hanya paracetamol menjadi teman. Diajak ke klinik, dia enggan.

Dan semalam, tiba-tiba dia mengalami muntah-muntah dan cirit birit. Makan pun tidak mahu, hanya terbaring lesu begitu. Saya jadi buntu, tidak tahu mahu bagaimana untuk memberinya sedikit rasa yang selesa. Apabila semakin teruk menjelang malam, barulah dia bersuara mahu ke klinik. Jam 10.30 malam kami menuju ke Klinik Farahain di Tunjong. Doktor memberi suntikan, dan juga cuti sakit selain ubat-ubatan yang pelbagai.

Saya jadi sebak. Tuhan, dalam resah yang sedang saya rasai ini, suami saya juga ditimpa rasa yang sama. Bagaimanakah keadaannya jika kami berdua sama-sama sakit? Siapa yang akan menjaga siapa? Kami hanya berdua!

Memikirkan ini semua, saya semakin hiba. Pun, saya tidak pernah menyesali segalanya. Apa pun yang Tuhan tetapkan, akan saya terima dengan reda. Semoga jalan yang terbentang di hadapan kami adalah jalan yang Allah lorongkan menuju cahaya syurga. Amin!



Sunday, February 12, 2023

Janji dan Masa

Bercerita tentang masa dalam kalangan bangsa kita, seperti sesuatu yang tidak pernah penting pada mereka. Begitu yang saya rasa.

Semalam, satu bengkel kecemerlangan mata pelajaran SPM berlangsung di sekolah saya. Waktu tercatat dalam surat ialah jam 2.30 sehingga 5.00 petang. Saya tiba di sekolah pada jam 1.55 dan berpesan pada suami saya agar datang mengambil saya pada jam 5.25 petang.

Alhamdulillah, penceramah sampai lewat seminit sahaja. Saya rasa ok lah, dan dia pun mohon maaf kerana lambat sedikit.

Bengkel berlangsung dengan baik dan anak-anak murid saya pun kelihatan seronok.

Apabila jam sudah ke angka lima, kelihatan penceramah itu masih bersemangat menyampaikan isi dan bahan ceramahnya. Tidak mengapalah, mungkin sekitar sepuluh minit lagi dia akan berhenti - getus saya dalam hati.

Rupanya tidak. Dia sedar waktu sudah lebih, tetapi dengan selamba masih mahu menyampaikan. Saya mula gelisah. Risau kalau dia lajak sehingga lebih 5.30 petang. 

Dan sungguhlah. Dengan tidak bersalah, malah mungkin rasa bangga (agaknya) dia meneruskan ceramah dengan gembira. Saya cukup tidak gemar masa saya dipermain-mainkan sebegini. Terus saya meminta diri untuk keluar dan meninggalkan majlis kepada GKSM saya.

Suami saya sudah lama sampai. Sewaktu saya membuka pintu kereta, jam di dashboard memaparkan 5:32 petang. Saya tahu menunggu itu menyeksakan sebab itu saya tidak suka membiarkan orang menunggu saya. Dan kelihatan kereta-kereta ibu bapa bersusun-susun di luar pagar sekolah menanti anak mereka. Saya nampak wajah mereka yang kelat dek kebosanan menunggu. Rasanya, ada perancangan mereka yang terganggu dengan keadaan ini.

Dalam hati, saya berfikir sendiri. Susah benarkah mematuhi masa? Jika sudah diberi waktu sehingga jam 5.00 petang, melewatkannya adalah tindakan yang mengganggu perancangan orang. Tidak bolehkah kita fikirkan juga tentang masa orang lain apabila kita melakukan sesuatu?

Teringat saya sewaktu rombongan sekolah ke Langkawi hujung tahun 2021 lalu. Selamba sahaja orang ini berlengah-lengah, dan membiarkan orang lain menunggu dia dan keluarganya selesai urusan peribadi (yang boleh sahaja dipercepat) tanpa rasa bersalah. Kami yang menanti di atas bas, tidak pernah dia kisah apa perasaan kami asal sahaja urusan peribadinya selesai. Sangat selfish!

Ketahuilah wahai manusia, ketepatan masa itu sesuatu yang sangat penting dan utama, kerana ia melibatkan urusan ramai orang. Tarbiyyah yang bagaimanakah lagi boleh diberi untuk golongan-golongan yang begitu meremehkan masa ini?

Tuesday, February 07, 2023

Rancangan

Sejak mula menjadi guru pada 6 Mac 1998, menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) memang menjadi rutin saya. Kami para guru yang dedikasi ini diarah supaya menulis RPH sehari sebelum sesi PdP berlaku. RPH waktu itu ringkas sahaja, hanya perlu tulis tajuk, objektif dan nilai. Tiada refleksi, tiada aktiviti, tiada catatan. Mudah sekali.

Dan sepatutnya begitulah sehingga kini. Tidak perlu pun segala yang terperinci kerana cikgu tidak merujuk segalanya di situ. Ia sekadar rujukan guru untuk kesinambungan PdP sahaja. Jika guru itu sudah berpengalaman, segala idea sudah ada dalam minda. Berhadapan dengan murid, guru tahu bagaimana mahu mengendali sesi PdP pada hari itu. Malah ada kalanya, pelaksanaan berbeza dengan perancangan dek pelbagai kekangan yang tiba-tiba datang.

Lalu pada pandangan saya, usahlah diberatkan guru dengan arahan menulis RPH dengan segala perincian yang entah apa-apa kerana ia akan memenatkan fikiran guru. Biarlah RPH sekadar catatan ringkas apa yang guru mahu ajar pada sesi PdP itu, dan kreativiti guru tidak terbatas pada sehelai kertas. Ia lebih meringankan fikiran serta meluaskan daya kreativiti para guru. 

Saya mahu sekali pihak atas memberi sepenuh kepercayaan kepada para guru kerana kami sudah dilatih bertahun-tahun di universiti untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Percayalah, kami sangat mencintai bidang ini dan tidak akan merosakkannya dengan karenah bodoh dan tidak profesional. Bila kami diberi kepercayaan, kami akan cuba menjaga sebaiknya kepercayaan itu dengan memberi segala yang terdaya. Tidak perlulah kami diarah begitu begini sehingga hilang rasa seronok kami untuk berada bersama murid-muird yang kami cintai.

Itu belum lagi saya sentuh tentang beban sukatan kurikulum yang melampau. Bukan guru sahaja yang terbeban, minat murid juga turut terbunuh dan terkubur tanpa nisan.
 
Tidak tahulah apa natijahnya nanti pada masa mendatang jika perubahan tidak dilakukan. 

Ini RPH saya pada tahun 2015. Jika penulisan RPH masih ringkas begini, tentu menyenangkan kami. Kan?


Monday, February 06, 2023

Pembinaan



Januari 2022, Ma suarakan keinginannya untuk mengubahsuai bahagian pintu dapur bersebelahan bilik tidur untuk dijadikan bilik air dengan tandas duduk. Ma meminta suami saya tolong carikan tukang. 

Pun, atas faktor yang tidak dapat dielak, urusan pengubahsuaian ini tertangguh begitu lama. Sehinggalah pada November lalu, Ma kembali menyuarakan hasratnya itu. Suami saya rasa bersalah juga kerana salah faham dengan situasi. Dia menyangka Ma sudah serahkan urusan itu kepada adik saya Rifqi kerana sewaktu pulang cuti sekolah Februari lalu, Rifqi memberitahu suami saya, nanti dia akan uruskan. Rupanya tidak jadi.

Pertengahan Disember 2022, bermulalah kerja-kerja pembinaan itu dengan menyerahkan kepercayaan kepada seorang tukang yang baik dan berpengalaman - Pok Him - untuk menyiapkannya. 

Petang semalam, Pok Him datang memberitahu suami saya yang projek itu sudah siap sepenuhnya. Alhamdulillah. Kami menyelesaikan semua bayaran sebagaimana Pok Him minta. Jumlahnya RM9600. Berpatutan sangat rasanya bayaran yang diminta, malah saya rasa murah pula. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk Pok Him dan memudahkan segala urusannya. Terima kasih Pok Him.

Semoga Ma berpuas hati dan seronok menggunakan bilik air baru dan juga menyukai dinding rumah baru. Semoga Ma sentiasa sihat dan dipanjangkan umur dalam bahagia berpanjangan.