Thursday, June 30, 2016

Membeli Belah

Membeli belah. Ini kesukaan saya. Tuhan jua yang tahu mengapa Dia menganugerahkan rasa nikmat yang luar biasa apabila ada kesempatan untuk saya membeli belah.

Kesempatan yang jarang-jarang saya peroleh.

Dalam facebook sehari dua ini, ramai pula kalangan suami bercerita tentang ragam isteri masing-masing apabila menemani mereka membeli belah. Setianya sang suami menunggu dan melayan kehendak sang isteri. Berjam-jam. Dalam himpitan manusia yang ramai pula. Sementelah bulan puasa lagi!

Jujur, saya tidak pernah begitu. Membeli belah yang seronok bagi saya ialah apabila tidak bersama suami. Bukan mahu menidakkan kepentingannya saat mencari keperluan, tetapi saya tidak sanggup menyeksa dia melayan segala kehendak saya yang infiniti ini. Jika bersama dengannya, saya akan membeli tanpa belah. Sungguh!

Kerana itu nikmat membeli belah yang ingin saya kecapi itu jarang benar saya peroleh. Saya mahu bebas meneroka setiap premis tanpa tujuan, dan membeli semahunya mengikut perasaan! Itulah nikmatnya.

Kini tempat membeli belah saya hanyalah di Lazada dan Zalora. Seronok menjamu mata dan sesekali menempah apa yang berkenan. Ikutkan hati, mahu saya membeli segala yang saya ingini tetapi sering kali realiti mengetepikan fantasi.

Saya masih mahu merasai nikmat membeli belah di gedung terkemuka jika ada kesempatan. 

Semoga ada.




Sent from Samsung Mobile

Monday, June 27, 2016

Pahala

Saya bersyukur dengan sedikit kebolehan anugerah Allah kepada saya dalam kemahiran perisian Excel. Allah memberi saya kekuatan untuk mendalami Excel secara sendiri-sendiri sejak mula bergelar guru dahulu, dan Alhamdulillah kebolehan ini sangat besar gunanya dalam melaksanakan tugas saya sebagai Setiausaha Peperiksaan.

Beberapa kali juga saya membantu pentadbir menyediakan program Excel yang mudah-mudah untuk mereka gunakan seperti e-prestasi, pemantauan e-cakna dan yang terkini, borang keberhasilan PBPPP.

Borang keberhasilan itu sebenarnya saya sediakan atas permintaan PKP. Tetapi apabila sahabat-sahabat meminta, saya tanpa ragu memberi. Untuk memudahkan capaian, saya salin sahaja borang itu ke komputer di bilik peperiksaan. Sesiapa pun boleh mengambilnya dengan mudah.

Di bilik guru pun sebenarnya sudah ada borang itu tetapi skor keberhasilan tidak terhasil secara automatik dan mereka yang menggunakan borang itu perlu mengira sendiri skor mereka dengan kalkulator.

Lalu saya memberitahu guru-guru di situ jika tidak mahu mengira, boleh sahaja menggunakan borang di komputer bilik peperiksaan. 

Tiba-tiba datang seorang guru lelaki yang memang mahir Excel lebih daripada saya, meminta saya memasukkan formula dalam borang di bilik guru itu.

Saya meminta dia ke bilik peperiksaan dan mengisi di sana. Pada saya tidak amali langsung melakukan kerja yang sama berkali-kali. Tetapi dia menolak.

Lalu saya berkata, cikgu pun boleh buat formula tu kan? Kan cikgu pun pandai juga. Tetapi dia tidak mahu dan mendesak saya melakukan untuknya.

Saya memang tidak suka didesak. Perasaan saya sudah lain macam tetapi ini bulan puasa.

Guru itu berkata lagi, "alah.. lima minit je Ti. Buatlah pahala."

Dan ini lagi saya tidak suka.

Pahala hanya untuk ditawarkan pada orang lain? Begitu? Kalau tahu itu pahala, kenapa tidak rebut? Jantung saya berdetak laju.

Saya malas bergaduh. Saya ke meja komputer itu untuk memasukkan formula di borang yang sudah sedia terbuka itu.

Ah! Saya menjerit kecil.

"Kenapa Ti?"

"Macam mana saya nak buat, ini Word, bukan Excel!" Dan saya terus bingkas berlalu.

Entahlah. Mereka hanya mencari yang mudah dan mahu mengambil kesempatan. Mujurlah fail itu dalam Word, boleh sahaja saya meninggalkan guru itu tanpa perlu menoleh lagi!

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, June 22, 2016

Effort

You know when a kid comes last in a race? What do we usually say? "Don't worry. At least you tried." We really just say it so he won't cry. Or when someone fails an exam. We say the same thing so they feel better.

People are trying all the time. Trying to wake up for Fajr. Trying to pray 5 times a day. Trying to leave a sin. Trying to live a halal life. Trying and failing. Then trying again and failing. And they keep trying.

What do others see? Them failing.

But what does Allah see? The effort. He sees us trying. He's interested in how much we want to change and how hard we're trying. He knows.

So don't say its not worth trying because we keep failing. Believe in ourselves cos Allah believes in us. People may lose faith in us but not Allah. He is near. All we need to do is call Him.

"And when My servants ask you concerning Me, then surely I am very near; I answer the prayer of the suppliant when he calls on Me, so they should answer My call and believe in Me that they may walk in the right way." Al Baqarah 2:186


(From Nouman Ali Khan's lecture,  written by Azra Banu in her FB status today)


Sent from Samsung Mobile

Friday, June 17, 2016

Ruang

"Cikgu, Jumaat ni ada kelas tambahan tak?"

Setiap hujung minggu kami jadualkan kelas tambahan untuk pelajar-pelajar Matematik Tambahan,  Kimia, Fizik dan Biologi. Selalunya pagi Jumaat menjadi ruang untuk subjek saya, Matematik Tambahan.

"Tak ada kot. Puasa-puasa ni, duk rumah mengaji Quran lah!" Jawab saya tanpa merujuk siapa-siapa. Ya lah, tiga minggu sahaja pun persekolahan dalam bulan Ramadan ini. Tidak salah kalau kelas ini ditangguhkan.

Itu kata saya. Sangka saya semua pun berfikir seperti saya.

Tengah hari itu, saya menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lagi guru Matematik Tambahan memaklumkan kelas akan berjalan seperti biasa pada Jumaat, selama empat jam dari lapan hingga dua belas.

Empat jam!

Bukankah ini bulan puasa? Suka atau tidak - tanpa berniat mahu menyalahkan bulan mulia ini - kenyataannya empat jam itu sangat lama. Optimumnya di mana?

Guru itu sudi untuk mengendalikan kelas itu seorang diri tanpa meminta kehadiran saya. Saya berterima kasih padanya.

Ya, dia sangat rajin. Tetapi pada saya biarlah kerajinan itu berpijak di bumi nyata. Entah kenapa saya sedikit tidak menyetujui keputusannya. Rasionalnya bagai diketepi.

Kadang-kadang kerajinan kita keterlaluan sehingga tidak langsung mahu memberi ruang kepada pelajar mencari diri sendiri.



Sent from Samsung Mobile

Monday, June 13, 2016

Kembali

Tamat sudah cutiku yang nian gilang gemilang. Berakhir sudah keakrabanku dengan katil dan selimut. Yang perlu kuhadapi sekarang ialah sebuah hakikat kehidupan - kembali bekerja kerana Allah.

Kisahku semalam.

Tuhan tahu betapa tidak bersemangatnya aku saat mengenangkan cutiku usai. Tambah-tambah pada bulan puasa begini. Aku langsung tidak rindu pada sekolahku kerana kenyamanan berpuasa di rumah begitu mengasyikkan!

Jam 6.30 pagi Ahad itu, aku melangkah juga - biarpun longlai - menuju ke Toyota Hilux 2.5G yang dipandu suamiku. Dia menghantar aku ke sekolah sementara dia pulang semula ke rumah. Oh, dia bercuti hari ini kerana ada temujanji di HRPZ.

Apa yag berlaku di sekolah hari ini masih seperti dulu-dulu. Aku memulai tugasku dengan menyediakan jadual guru ganti, sedang guru-guru yang lain menghadiri perhimpunan mingguan. Aku akui, antara sebab aku memohon tugas sebagai penyedia jadual guru ganti adalah kerana aku mahu mengelak turun ke perhimpunan pagi yang berlangsung setiap hari di sekolah ini. Penyedia jadual ganti diberi pengecualian daripada ke tempat perhimpunan dan aku jarang benar turun walaupun sudah siap jadualku itu!

Seterusnya, tugasku yang lebih aula sedang menunggu aku meladeninya. Menyiapkan analisis peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini. Kulayari laman SAPS dan mujurlah ia tida meragam. Pantas aku memuat turun setiap maklumat ke Excel dan menganalisis kembali satu persatu. Pengetua tiba-tiba datang bertanya khabar dan wajahnya sedikit muram mendengar keputusan yang tidak memberangsangkan. Apa lagi yang tidak kena ya? Tanyanya.

Kelasku hanya bermula pada jam 9.40 pagi. Matematik Tambahan Tingkatan 5 Ibnu Sina sentiasa menyegarkan perasaan aku walaupun penat berpuasa. Perbincangan soalan peperiksaan aku tangani dengan penuh semangat. Mereka semua anak-anak harapanku untuk menyumbang bakti kepada dunia apabila dewasa nanti.

Diringkaskan kisah, segalanya selesai pada jam 2.10 petang dan kepalaku berat juga melalui hari pertama selepas cuti ini. Suamiku sudah bersedia menjemputku pulang dan dia memaklumkan berita gembira apabila doktornya memaklumkan dia tidak perlu pun melalui ujian angiogram itu. Alhamdulillah. Syukur Tuhan!

Tiba di rumah, jam sudah menghampiri ke angka tiga. Usai solat Zohor, aku lenakan diriku yang amat penat ini. Selepas Asar pula aku merajinkan diri memasak di dapur untuk berbuka puasa nanti. Menu semudah ayam kampung goreng kunyit dan rebusan tulang dan daging bersama penyicah daun kesum resepi ibu yang istimewa itu. Cukup sekadar itu, tanpa kuih pun. Air jus epal susu menjadi penghilang dahaga.

Dan malamnya aku isi dengan agenda biasa. Usai terawih bersendirian di bilik, aku menggosok pakaian kerja kami esok dan sementara menunggu suamiku pulang dari masjid, aku sediakan roti bakar untuk kami nikmati sebelum tidur.

Jam 10.30 aku pastikan sudah sediakan diri untuk tidur agar tidak kesiangan bersahur nanti. Semoga Allah menilai setiap kerja buatku hari ini, Amin.

Thursday, June 09, 2016

Tenang

Hari ini 4 Ramadan 1437. Tenangnya rasa hati dan jiwa apabila berpuasa pada musim cuti begini. Biarpun hanya untuk enam hari.

Saya bangkit sahur pada jam 4 pagi. Nasi dijerang, lauk dimasak dan air dibancuh. Lebih kurang 4.50 pagi, selesai semuanya dan kami menghadap hidangan dengan penuh rasa syukur. Untuk sahur pagi tadi, hidangan kami cuma daging goreng dan telur kicap. Solok lada yang emak beri melengkapkan hidangan. Saya memang lalu makan. Selera saya sentiasa terbuka tidak kira masa. Alhamdulillah. 

Usai Subuh, saya mengaji sebentar dan sekitar 6.30 pagi mata saya sudah layu. Cuti begini, bolehlah saya menyambung tidur. Nikmatnya! Jam sembilan pagi baru saya bangun.

Masa yang ada seterusnya saya penuhi dengan menanda kertas, membasuh dan melipat kain. Tenang dan luang sekali. Tidak terkejar-kejar dan saya sempat melayari internet beberapa ketika.

Zohor tiba, suami saya ke masjid dan saya bersolat di rumah sahaja. Sempat lagi saya menyambung bacaan Quran untuk beberapa muka surat.

Seterusnya, saya berehat. Membaca atau tidur. Atau menonton TV. 

Selepas Asar, suami saya keluar mencari makanan untuk berbuka di pasar ramadan. Saya tidak perlu memasak. Ya, rehat lagi! 

Malam pula, suami saya berterawih di masjid dan saya, seperti selalu cuma di rumah. Saya tenang di rumah saya. Sungguh!

Indahnya jika sebulan puasa ini berlangsung dalam cuti sekolah. Tentu jiwa saya tenang dan tidak serabut.

Harap kerajaan Malaysia mempertimbangkan harapan saya.

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, June 08, 2016

Pengantin Ramadan

Tanggal 3 Ramadan 1428, bersamaan 2 Januari 1998 menjadi tarikh bersejarah yang telah mengubah status diri dan tanggungjawab saya.

Segalanya bagai kilat yang menyambar. Amat pantas dan tanpa sempat saya bersedia apa-apa. Usai solat Asar di Masjid Batu 8, suami saya menggenggam erat tangan Ayah Mat - yang mewakili ayah saya - menjawab nikah. Saya tiada di tempat kejadian. Seratus peratus kepercayaan saya letakkan pada ayah kerana dialah wali saya.

Sepulang ke rumah, ayah menghulur mas kahwin sejumlah empat ribu ringgit dan beberapa dokumen untuk saya tandatangani. Saya di dapur memasak bersama-sama emak waktu itu, menyediakan hidangan untuk lima belas orang tetamu berbuka puasa nanti. Tetamu-tetamu yang terlibat semasa akad nikah tadi termasuklah juga pengantin lelakinya, suami saya.

Tiada pertemuan pun antara kami. Malam itu berlalu seperti biasa, saya masih tidur bersama adik-adik saya di bilik.

Rasa lucu juga apabila bernikah dengan orang asing. Ya, asing. Kami tidak kenal langsung sehinggalah ke hari pernikahan itu. Saya dan dia tidak pernah pun berjumpa apa lagi berbual-bual mesra. Semuanya diserah bulat-bulat pada keluarga dan kami redha dalam rela.

Kini, sudah sembilan belas tahun kami lalui hari-hari berdua. Sembilan belas tahun yang penuh warna warni. Semoga usia kami dipanjangkan Tuhan dalam bahagia berdua. Tiada lain yang kami pinta, hanyalah bahagia. Sampai syurga.


Sent from Samsung Mobile

Sunday, June 05, 2016

Masih

Alhamdulillah. Bertemu lagi denganmu, Ramadan. 

Syukur Lillah.

Sudah hari kesepuluh kami bercuti sekolah. Cuti kali ini istimewanya, ada pengisian penantian pada ketibaan Ramadan. Indah rasanya menyambut Ramadan dalam hening dan tenang sebuah percutian.

Alhamdulillah. 

Ada lagi izin-Mu Tuhan buatku merasai nikmat Ramadan 1437 ini. Masih terbuka ruang untukku merenung dalam-dalam keimanan diri. Masih terbentang jalan untukku membawa haluan ke arah-Mu. Masih terhidang peluang untuk kurebut dalam kemuliaan bulan ini.

Masih.

Semoga usiaku masih ada hingga ke hujung Ramadan ini. Amin.

Sent from Samsung Mobile

Barbecue

Cuti sekolah begini, anak-anak rantau yang jauh pulang bersua dengan ahli keluarga di kampung. Begitu adik beradik dan anak-anak saudara kami juga. Masing-masing mengambil peluang bercuti dan bermesra dengan ahli keluarga yang jarang-jarang berjumpa.

Kesempatan begini, suami saya menampilkan idea untuk menaja jamuan barbecue buat seluruh anggota keluarga yang ada. Ideanya disambut baik dan mereka sedia memberi kerjasama dengan menubuhkan jawatankuasa bagi merealisasikan sebuah jamuan.

Tarikh dipilih, Sabtu malam Ahad. AJK dilantik semua memberi kerjasama yang padu dan cemerlang. Bahagian membeli bahan, memerap ayam, bahagian menggoreng mi, bahagian membancuh air dan suami saya tentunya bahagian menyediakan kos. Segalanya berjalan seperti yang dirancang.

Usai solat Isyak, kami sama-sama membakar ayam di halaman rumah mek. Tetamu yang diundang hanyalah kaum keluarga dan jiran terdekat yang tidak sampai lima puluh orang pun. Sepuluh ekor ayam, lima kilogram daging kambing dan lima belas bungkus mi goreng menjadi santapan yang amat lazat apabila dimeriahi dengan gurau senda dan gelak ketawa.

Alhamdulillah. Semoga ikatan kekeluargaan antara kami kukuh seabadi.

Thursday, May 26, 2016

Menanda

Senyumlah juga walaupun penat....


Sent from Samsung Mobile

Coretanku

Jam 6.45 pagi kaki saya melangkah ke pagar sekolah. Hari ini hari terakhir sebelum cuti 16 hari kami ladeni.

Biarpun hari akhir, segalanya masih rutin. Tugas pertama saya setiap hari - menyediakan jadual ganti - masih saya teruskan tanpa tergendala. Tujuh orang guru tiada di sekolah hari ini dan 27 keping slip jadual ganti mula diagihkan sekitar jam 7.45 pagi. Alhamdulillah. 

Hari ini kelas saya hanya akan bermula pada jam 11 pagi. Molek benarlah untuk saya menanda kertas. Sementelah saya puasa hari ini. Tidak perlu saya ke kantin.

Sedang tekun saya memeriksa, kedengaran suara PKP mencari saya. Saya menyahut. Rupanya dia mahu saya menempah tiket penerbangan untuk dia dan anaknya.

Saya tiada pilihan. Berhentilah seketika saya daripada menanda kertas-kertas itu dan mula melayari laman Firefly dan Malindo. Diringkaskan kisah, Puan PKP tidak jadi menempah dek harga yang terlalu mahal. Ada syukur terucap di hati. Saya kembali ke meja menanda kertas.

Tak lama, dia datang lagi. Kali ini mahu saya mencetak gambar-gambar dari WhatsApp nya. Lima keping sahaja. Saya meminta dia memforward gambar-gambar itu ke WhatsApp saya dan dengan segera saya mencetak semuanya.

Kembali lagi saya ke meja untuk menanda.

"Kak Ti, nak minta tolong..."

Seorang guru wanita datang menghampiri. Dia mahu lembaran markah peperiksaan akhir tahun lepas untuk semua kelas Tingkatan 1. Bergerak lagi saya ke meja komputer. Pada masa yang sama, seorang lagi guru datang meminta senarai nama semua pelajar mengikut kelas. (Sebenarnya, jawatan saya ini apa?)

Semuanya saya selesaikan seperti yang dimahu. Lalu mereka berterima kasih dan berkata, "banyak betul kami menyusahkan kak Ti."

Dan kini jam sudah 10.59 pagi. Waktu untuk saya ke kelas sudah tiba.

Assalamualaikum. 


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, May 25, 2016

Skema

Ini musim peperiksaan. Izinkan saya berbicara tentangnya.

Seperti biasa, soalan peperiksaan pertengahan tahun akan disediakan oleh para penggubal bertauliah yang dipilih oleh Majlis Pengetua. Kami di sekolah hanya membayar harganya sahaja. Soalan tentunya akan disertakan dengan skema jawapan untuk rujukan guru-guru sewaktu menanda nanti.

Entah kerana apa, tiba-tiba diumumkan skema jawapan tiada. Maka riuh rendahlah kedengaran suara-suara tidak puas hati dalam kalangan kami. Saya juga begitu. Apa kes kita membayar tetapi barang tidak dihantar?

Pun marah, marah juga. Penyelesaian mesti dicari. Guru-guru yang sentiasa bersedia, sekejap sahaja sudah dapat menyiapkan skema seperti yang dikehendaki tetapi guru-guru yang hanya suka merungut itu teruslah tidak puas hati.

Benarlah penggubal bersalah dalam hal ini tetapi selesaikah masalah dengan marah-marah? Pada saya, ada skema atau tidak, sama sahaja. Setiap kali sebelum menanda kertas jawapan pelajar saya, saya akan menjawab dulu semua soalan dan meletakkan markah yang sesuai pada jawapannya. Ini memudahkan proses saya menanda nanti kerana jawapan pelajar ada pelbagai. Saya tidak pernah bising-bising bertanya skema kerana saya senang dengan cara saya.

Ada kisah yang mahu saya kongsi. Pada dua tahun lepas, pihak sekolah diarahkan menyediakan soalan sendiri untuk setiap peperiksaan pada sepanjang tahun. Saya ditugaskan menyediakan soalan Matematik Tingkatan Lima untuk pertengahan tahun. Tentunya berserta dengan skema. 

Sewaktu peperiksaan itu berlangsung, saya belum lagi memfotostat skema dek kekangan masa. Sebelum peperiksaan selesai, seorang guru ini sudah mula meminta skema. Saya mohon dia tunggu.

Entah kenapa dia seperti mendesak. Saya sedikit terganggu tetapi tetap memberi dengan segera kepadanya selepas selesai memfotostat. 

Apabila tiba giliran guru ini menyediakan soalan untuk peperiksaan seterusnya, dengan gembiranya dia memaklumkan skematidak diaediakan dan guru yang mengajar kena buat sendiri. Semudah itu penyelesaian di pihaknya. Saya sedikit geram.

Lalu pada peperiksaan seterusnya, saya yang menyediakan soalan terasa mahu bertindak sedikit kasar. Seperti biasa, belum pun habis pelajar menjawab peperiksaan, dia sudah meminta skema dari saya. Dengan nada perli, saya berkata, "ingatkan akak nak buat sendiri. Hari tu kan akak suruh kami buat sendiri je skema?"

"Oh... nak balas dendam la ni?" Selamba dia menjawab.

"Tak. Ada je skema ni.." Ujar saya sambil menghulur salinan skema itu kepadanya. 

Dia mengambil tanpa kata terima kasih pun sebaliknya menjawab lagi, "akak tak reti lah nak buat skema. Tu yang akak suruh u all buat sendiri."

Pulak. Alasan!

Skema pada saya bukanlah keperluan utama. Tetapi sikap dan peribadi itu yang perlu diperbetulkan.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, May 24, 2016

Stress Test

Lanjutan dari ujian jantung yang suamiku jalani, doktor meminta dia mengambil Stress Test. Ujian-ujian sebelum ini semuanya normal, tetapi untuk melengkapkan prosedur, Stress Test perlu juga dijalani.

Hari ini, suamiku bercuti untuk melalui ujian itu. Dengan berpakaian sukan, dia menuju ke HRPZ. 

Aku seperti biasa, meneruskan tanggungjawabku di sekolah. 

Apabila pulang, suamiku memaklumkan hasil ujian yang tidak begitu menggembirakan. Doktor memaklumkan ada kemungkinan salur darahnya tersumbat dan untuk pengesahan, suamiku perlu melalui ujian Angiogram pula. Tergamam juga suamiku. Apabila doktor meminta keizinan, suamiku memohon tempoh. mahu pulang dan bertanya ahli keluarga dahulu, katanya.

Aku sedikit risau dengan apa yang suamiku lalui. Aku hanya mampu berdoa agar segalanya dipermudahkan dan tiada sebarang penyakit berbahaya dihidapi suamiku. Segalanya dari-Mu, segalanya dari-Mu... Allah!

Tuesday, May 17, 2016

1989

1989, aku rindu pelukanmu. Pada usia semanis tujuh belas tahun, aku lalui setiap harimu dalam kebahagiaan.

1989, aku rindu kasihmu. Dalam kemesraan jalinan persahabatan, aku sulami dengan irama kegembiraan.

1989, aku rindu kehangatanmu. Di bawah sinar mentari yang memancar terang, aku gapai segala keindahan.

1989, aku rindu. Rindu pada langkah-langkah yang aku atur di hari-harimu. Rindu pada riang tawa bahagia yang tiada terpalit rasa duka. Rindu. Dan rindu.

Dua puluh tujuh tahun engkau berlalu, aku masih menggenggam erat rindu itu. Masih mampu memutar segala memori di sisimu.

1989, benar aku rindu!


Sent from Samsung Mobile

Hari Guru

Semalam kami merayakannya. Saban tahun pun kami merayakannya tanpa jemu. Tanggal 16hb Mei yang menjadi tarikh keramat buat para guru.

Seawal pagi kami bermula dengan acara senamrobik di Dataran Perhimpunan. Terlompat-lompat jugalah orang tua ini mengikut alunan lagu yang rancak itu. Sekadar memberi sokongan pada majlis walaupun hakikatnya saya tidak pernah gemar pun acara begini.

Selesai bersenamrobik, kami bersukaneka pula. Ada acara memasukkan benang dalam jarum, mengutip kacang tanah dengan chopstik dan macam-macam lagi.

Jam 11 pagi kami ke dewan untuk acara di sana pula.

Membaca perutusan, ucapan dan persembahan. Sama sahaja seperti tahun-tahun lalu. Cuma kali ini saya mendapat anugerah yang tidak disangka-sangka iaitu anugerah guru datang awal. Alhamdulillah. 

Jam 1.45 kami menjamu selera dengan hidangan nasi minyak dan air cendol.

Jam 2 petang saya pulang.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, May 12, 2016

Mengawas Peperiksaan

Mereka bercakap-cakap. Sudah ditegaskan, ini peperiksaan. Tidak juga mereka mahu diam. Ada suara-suara kecil. Ada kekekan tawa yang entah kerana apa. Sekejap berpaling ke sana dan ke sini. Saya melarang dengan suara keras. Diamlah sebentar. Kemudian berulang lagi. Saya berleter. Mereka tetap juga begitu. Panas hati saya Tuhan jua yang tahu.

Hari ini, saya ke kelas itu lagi. Tidak sanggup saya memikir suasananya. Peperiksaan yang bukan seperti peperiksaan. Puas melarang, puas berleter, suasana tetap begitu.

Usai mengedar kertas, saya bersuara. 

"Selamat menjawab dengan jujur dan ikhlas. Tunjukkan yang anda ini seorang Muslim sejati. Bukankah kita diajar untuk menjadi orang yang jujur?"

Saya menambah.

"Selama ini saya tak nampak pun kamu ni seperti orang Islam."

"Hah?!"

Serentak mereka bersuara, terkejut mungkin.

"Kenapa? Salahkah kata-kata saya?"

Mereka seperti terpinga.

"Kalau kamu rasa saya salah, tunjukkan yang saya salah. Selamat menjawab."

Saya kembali ke bangku saya. Mereka mula menjawab. Senyap. Diam. Aman.

Berkesan rupanya kata-kata spontan saya tadi. Alhamdulillah. 


Sent from Samsung Mobile

Sunday, May 08, 2016

MC

Menjadi seorang wanita bekerjaya memang tidak dapat dinafi cabarannya. Fitrah wanita yang tidaklah seperkasa lelaki bukan suatu alasan untuk melemahkan diri sendiri. Selagi upaya ada, selagi itu kudrat dinyala.

Sudah lapan belas tahun saya bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab yang diamanah ini. Ada waktu-waktunya kepala rasa berat. Berdenyut-denyut. Fikiran rasa serabut. Emosi juga bersimpang siur. Rasa mahu rehat. Rasa mahu bercuti setahun!

Pun, naluri saya tetap waras dalam menaakul dan mencari keputusan. Bukan tidak pernah saya hadir ke sekolah sewaktu badan terasa panas dan lemah. Ya, saya demam tetapi tetap jua mahu ke sekolah kerana saya tidak sanggup menangguhkan tugas yang bertimbun itu. Saya juga ada rasa malu untuk kerap MC atau bercuti rehat. Nampak seperti kurang komited atau mungkin mengambil kesempatan. Kerana itulah, jika tidak benar-benar sakit atau ada temujanji, MC bukanlah pilihan saya.

Alhamdulillah. Tahun lepas hanya sekali saya mengambil MC ketika ada temujanji di klinik pakar. Allah memberi saya kesihatan yang baik walaupun ada waktu-waktunya fizikal dan mental saya tidak berada pada tahap optimum.

Malangnya, ada segelintir guru menganggap MC dan cuti rehat itu sebagai hak mereka dan boleh sahaja mengambilnya sesuka hati. Bila ditegur, ada sahaja alasan yang diberi dan mereka tidak pernah mahu mengambil iktibar apa lagi merasa bersalah.

Sukar juga berdepan golongan ini. Mereka menganggap kesalahan ada di pihak yang menegur sedang mereka ridak bersalah apa-apa. Lalu berulang-ulanglah mereka melakukannya.

Semoga Allah menyentuh hati-hati mereka ini dengan rasa keinsafan.


Sent from Samsung Mobile

Headcount

Pertama kali perkataan ini menyentuh gegendang telinga saya pada sekitar 2006 lalu, ia kedengaran aneh. Kenapa mahu dikira kepala? 

Kini, sudah sepuluh tahun saya menjadi penyelaras Headcount. Dari SMK Salor hinggalah ke SMK Kg Chengal ini. Bolehlah dikatakan saya sudah mahir secara teorinya, tetapi dalam ruang amalinya saya jauh terkebelakang.

Ringkasnya, headcount ialah analisis pencapaian setiap pelajar secara individu. Bermula dari markah mula (TOV) hingga kepada markah sasaran (ETR) bagi setiap mata pelajaran yang diambil. Saya perlu bermain-main dengan markah 870 orang pelajar untuk 8 atau 9 mata pelajaran setiap seorang. 

Tidak sukar sebenarnya jika prosedur diikuti seperti yang digariskan. Malangnya ia tidak berlaku begitu. Sepatutnya ketua panitia setiap mata pelajaran yang memberi saya semua analisis dan saya cantumkan sahaja untuk menjadi sasaran peringkat sekolah. Pun ia terbalik. Dari awal mula lagi saya yang melakukan segala analisis dan apabila siap saya serahkan kepada setiap ketua panitia untuk disimpan dalam fail. 

Kenapa begitu? 

Menanti 15 orang ketua panitia menghantar analisis itu amatlah menyeksakan. Tarikh akhir dipandang sepi, dan alasan klise setiap kali ditanya ialah "tidak pandai".

Benar, bukan semua guru faham apa yang dimaksudkan dengan headcount ini. Lebih parah, ada yang tidak mahu faham. Sudahnya sayalah yang akan menyelesaikan masalah ini sendiri-sendiri.

Tentunya saya ini serba kekurangan dan banyak juga cacat celanya. Maka hasil yang diperoleh bukanlah sempurna. Penat juga saya membetulkan semuanya berkali-kali dan sehingga ke hari ini pun ia masih belum selesai.

Tabahlah. Ini perjuangan.

Sent from Samsung Mobile

S/U Jadual Ganti

Setiap hari saya akan tiba di sekolah pada jam 6.50 pagi atau lebih awal. Jarang punch card saya tertera pukul yang lebih daripada itu. Saya boleh puji diri sendiri dalam hal ini. Tepat masa, barangkali.

Dan setiba di sekolah, saya tiada ruang untuk bersenang-senang kerana seawal pagi ini saya sudah mula menyusun tugas. Pertama, menulis nama-nama guru yang tidak hadir hari ini di papan kenyataan di pejabat.

Kedua, menyediakan jadual guru ganti.

Masa untuk semua itu sedang elok selesai sebelum 7.40 pagi iaitu waktu pertama PdP berjalan.

Pun, ada juga harinya saya kekalutan, seperti hari ini.

Sembilan orang guru tidak hadir, ditambah dengan empat orang guru bertugas di dewan seharian untuk kem Bahasa, juga tujuh orang guru yang terlibat dengan pemantauan pihak atasan. 

Bayangkan, celah mana mahu saya cari pengganti untuk guru seramai sembilan belas orang itu? 

Minda saya berputar-putar. Mahu pening juga tetapi saya tahankan. Mujur semuanya dapat diselesai pada masanya. Alhamdulillah. 

Begitulah. Entah kenapa setiap hari saya tidak pernah mampu bercuti daripada melaksanakan tugas ini kerana kehadiran guru tidak pernah 100%. Tidak pernah.

Ada yang MC, ada yang bercuti rehat, ada yang hadir taklimat dan mesyuarat dan ada yang macam-macam. Tiada sehari pun yang guru boleh hadir 100%.

Apa pun, saya tidak akan merungut kerana tugas ini saya yang pilih.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, April 30, 2016

Afeef Mukrim

Inilah cucu tok ma yang kelima belas. Selamat diputerakan pada jam 4.20 petang19hb April 2016 yang lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab.

Afeef Mukrim bin Muhammad. Hari ini kami menghadiri majlis kesyukuran dan cukur jambulnya di Meranti. 

Doa kami, semoga dewasamu nanti wahai Afeef, menjadi penyejuk mata ibu dan abah, sentiasa berjiwa waja menempuh setiap cabaran mendatang dan dikurniakan ketabahan dan hati yang penuh kasih sayang.



Sent from Samsung Mobile