Wednesday, January 09, 2013

Ulangtahun

Aura yang dingin, sesudah lena semalaman menyambut saya tepat jam 6.03 pagi. Dengan hati yang tenang dan lapang, saya membersihkan diri dan bersedia memulai hari ini dengan solat Subuh sebaik selesai azan dikumandangkan pada 6.08 pagi.

Kepada-Mu ya Allah aku berbicara, memanjat rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih mengizinkan hamba-Mu yang serba lemah ini menyedut udara dunia pada hari ulangtahun usiaku yang ke-41 hari ini. 

Terlalu banyak nikmat-Mu yang aku hirup selama hidup ini, tidak mampu kuhitung kembali. Aku bermohon pada-Mu, rahmati dan berkatilah keseluruh hidupku, hingga sampai waktu ajalku. Sejahterakanlah kedua-dua ibu bapaku yang telah banyak berkorban harta, masa, jiwa dan rasa dalam membesarkan ku demi memenuhi amanah daripada-Mu.Sejahterakanlah jua saudara-saudaraku dan ahli keluarga mereka, di dunia dan di akhirat.


Sesungguhnya nikmat usia ini sering benar aku lupai, sedang inilah anugerah terhebat daripada-Mu. Sesungguhnya aku bahagia menjadi hamba-Mu maka kekalkanlah rasa bahagia ini hingga ke negeri abadi.

Hari ini, saya lalui dengan perasaan biasa-biasa. Di sekolah, agenda yang sama saya teruskan. Mendepani pelajar-pelajar 5 Ibnu Sina, saya perkenalkan Janjang Geometri buat mereka. Seterusnya di kelas 5 Ibnu Qayyum, saya meneruskan pengajaran Asas Nombor.
"Cikgu, hari ini berapa haribulan?" Seorang pelajar 5 Ibnu Qayyum bertanya saya sewaktu ingin mencatat tarikh pada bukunya.

"Hari ini? Hari ini 9 haribulan Januari. Cepat, ucap happy birthday pada saya!" Jenaka saya padanya.

Serentak satu kelas menyanyi lagu Happy Birthday dengan kuat dan bergemuruh. Terkejut sungguh saya kerana tidak sangka mereka akan menyanyi sekuat itu. Mujur tiada sesiapa yang lalu di hadapan kelas itu, jika tidak, malu besar saya!

Apa pun, semoga angka 41 ini menjadi sesuatu yang indah dan manis untuk saya lalui. Semoga Allah mengurniakan saya kesihatan yang baik, rezeki yang murah dan umur yang panjang.

Amin.

No comments:

Post a Comment