Kepada emak, semoga cepat sembuh.
Dalam usia enam puluh tiga tahun, emak masih mampu tersenyum di sisi kami berlapan. Terima kasih Tuhan memberi emak usia yang sempat untuk melihat kami dewasa. Sempat untuk melihat kami berkeluarga dan sempat menimang juga mendodoi cucu-cucunya yang sudah berjumlah empat belas orang kini.
Isnin lepas, habis sekolah saya pulang ke rumah emak kerana suami saya ada mesyuarat. Tiba di rumah, emak sedang berbaring di ruang rehatnya.
"Ma sakit..."
Adu emak spontan sebaik saya duduk di sisinya.
"Sakit apa ma?"
Kata emak, dia sakit dalam paha kirinya sejak pagi tadi. Tiba-tiba sahaja sakit itu menyerang. Emak menelan ubat tahan sakit dan cuba untuk tidur.
"Ma nak ke klinik tak?" Tanya saya.
"Biarlah dulu.."
Dan selama lebih dua jam saya berada di rumah emak, emak kelihatan baik-baik sahaja, tidaklah nampak seperti dalam kesakitan yang teruk. Saya pun tidak terlalu mahu bertanya untuk membawanya ke klinik.
Rupa-rupanya sakit emak menyerang lagi pada malam itu. Kata emak, sakit sangat hingga berpeluh-peluh.
Kasihan emak. Saya tidak tahu sampai begitu sekali.
Emak ke klinik dengan Husna, dan doktor memberi suntikan serta beberapa jenis ubat. Saya yang pulang lewat semalam, hanya sempat menelefon emak pada jam menghampiri enam petang.
Semoga Allah memberi kesembuhan untuk emak. Amin.
No comments:
Post a Comment