Saturday, April 04, 2015

Pintar

Semua orang tahu siapa itu Sufiah Farouk Yusof, juga Nur Amalina Che Bakri dan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.

Mereka dikenali kerana kepintaran mereka dalam akademik. Mereka cemerlang kerana pintar.

Tahniah.

Lalu, kisah hidup mereka menjadi buruan. Sufiah yang memilih jalan berbeza dek tekanan yang dihadapi kini tercampak jauh dari keluarga. Ada kisah yang kita tidak tahu tentangnya jadi biarlah tiada kesimpulan yang terburu-buru. Dia sedang cuba membina semula apa yang telah runtuh dan musnah. Kirimkan sahaja doa agar jalannya mudah dan indah.

Nur Amalina pula terpalit dengan isu akhlak dan etika. Gambar-gambarnya bersosial tersebar merata. Muslim di Malaysia sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku kepada insan-insan seperti Amalina. Apabila peribadinya terlihat hodoh, mereka mula berkata yang bukan-bukan. Mula menggunakan kata-kata yang tidak diajar nabi. Mungkin mereka sendiri keliru cara dakwah yang betul.

Dan Nik Nur Madihah, menjadi penawar yang manis apabila kekal seperti itu sehingga ke hari ini. Dia masih meneruskan pengajian di UIA, dan baru sahaja kehilangan ibu tercinta beberapa bulan lepas. Semoga ketabahan Madihah tidak luntur ditelan masa.

Begitulah. Pintar akademik belum mampu diseiringkan dengan cemerlang akhlak jika tidak kena caranya. Cabaran membesarkan anak-anak zaman sekarang memang berganda berbanding dahulu. Bukanlah akademik sahaja yang menjadi impian kerana tanpa taruhan akhlak, dibimbangi segala kepintaran pudar sebelum waktu. 


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment