Saat saya memohon kursus perguruan dahulu, apa yang saya sangka menjadi guru ini cumalah mengajar sahaja disulami aktiviti kokurikulum pada waktu petang. Kerja-kerja lain pun mungkin sekadar kelas tambahan dan menanda buku.
Manalah saya tahu rupanya ia lebih daripada itu.
Betapa tidak sempatnya saya menyediakan segala bahan yang bagus untuk pengajaran dek kepadatan tugas lain yang datang tidak mengira masa.
Apabila gred baru PT3 dikeluarkan, sistem pengurusan peperiksaan yang disediakan oleh pihak JPN tidak lagi boleh dipakai. Saya terpaksa memaku diri membina satu program menggunakan MS Excel untuk mengatasi masalah ini. Dan tentunya ia memakan masa dan tenaga.
Minggu lepas lagi saya mengadap komputer untuk menghasilkan program itu tetapi masa yang ada amat terhad dek mesyuarat PIBG yang turut memerlukan tenaga saya bagi menyediakan sijil pelajar dan sijil guru yang bukan sedikit jumlahnya.
Lalu tugas membina program itu bersambung ke minggu ini.
Aduhai! Berpinar mata saya melihat dan memasukkan angka-angka ke lembaran markah yang baru itu. Walaupun saya sedar memasukkan markah itu sepatutnya dibuat oleh guru mata pelajaran tetapi saya tiada pilihan.
Mereka sudah memasukkan markah-markah itu ke sistem lama yang sudah obsolete itu. Jika saya meminta mereka memasukkan pula ke sistem baru, tentu ada yang akan berleter panjang. Saya tidak rela mendengar leteran itu, jadi biarlah saya yang memasukkan markah kesemua dua puluh satu buah kelas untuk lapan mata pelajaran.
Setakat ini tingkatan tiga sudah selesai. Tingkatan dua tinggal dua kelas sahaja lagi dan tingkatan satu akan saya mulakan esok.
Semoga tiada aral untuk saya menyiapkan semua analisis ini dan dapatlah unit kurikulum melangsungkan mesyuaratnya dengan sempurna pada Rabu nanti.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment