Sekarang sudah pun jam 4.10 petang dan saya masih di sekolah.
Beginilah nasib seorang saya yang tidak mahu memandu. Apabila suami saya bermesyuarat, terpaksalah saya menunggu, seperti hari ini.
Tak mengapalah.
Hari ini bermula dengan hujan renyai-renyai sejak sebelum subuh lagi. Saya bangun pada jam 5.10 pagi untuk bersahur dengan sekeping roti canai dan tiga keping biskut magic twin dicecah secawan teh o. Puasa ganti ini ialah yang ketiga, dan saya masih perlu mengganti enam hari lagi.
Sebaik turun dari rumah pada jam 6.35 pagi, hujan sudah semakin berkurang.
Di sekolah, masa pertama 'burn' sebab ada spot check. Kira untunglah saya hari ini, sebab daripada empat masa cuma tinggal tiga sahaja.
Jam 9.40 saya ke kelas 4 IBK untuk meneruskan tajuk Garis Lurus. Mudah saja mengajar kelas ini kerana pelajar-pelajarnya sangat baik dan tidak bermasalah. Saya suka.
Seterusnya saya merehatkan diri di meja saya sambil mengadap internet. Apabila tugas analisis peperiksaan dan kecemerlangan tiada, saya lapang sekali. Pun saya tetap tidak suka untuk berbual-bual maka beradalah saya di meja saya ini sendirian sambil melayari internet.
Jam 12, saya ke kelas 5 IBH. Kosong. Rupanya mereka terlibat dengan ujian SEGAK di dewan dan saya beruntung lagi. Kelas mereka dua masa, jadi untung saya berganda.
Bertapalah saya di bilik saya. Jam 2.20 say bersolat Zohor, dan seterusnya menyambung pertapaan yang tidak begitu seronok ini.
Saya mengantuk, tetapi tiada ruang untuk tidur. Mujur cuaca tidak begitu panas jadi puasa saya tidaklah meletihkan.
Cepatlah encik suamiku, saya mahu pulang untuk berbaring dan berehat sebelum memasak untuk berbuka puasa pula!
No comments:
Post a Comment