Wednesday, April 29, 2015

APC

Semalam, nama-nama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 diumumkan sewaktu taklimat guru oleh Puan PKP. Enam orang guru dan seorang kaki tangan sokongan telah dinobatkan sebagai pekerja cemerlang sepanjang tahun lepas dan bakal menghadiri majlis penganugerahan itu Khamis ini. Tahniah dan Alhamdulillah, kerana suami saya juga salah seorang daripada penerimanya nanti.

Walaupun anugerah sebegini bukanlah menjadi matlamat atau sasaran dalam melaksanakan setiap tugasan, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi satu penghargaan atas setiap penat lelah yang dilalui dalam memastikan segala tanggungjawab terlaksana.

Saya sudah pun menerimanya dua kali, 2004 dan 2012. Alhamdulillah dan terima kasih.

Pada saya, saya bekerja tanpa pernah mengharapkan anugerah. Segala tugas dan tanggungjawab saya cuba laksanakan sehabis baik dan seboleh mungkin, tanpa menyusahkan orang lain. Prinsip saya, apabila sesuatu amanah diberi, saya wajib melakukannya sendiri, bukan meminta orang lain selesaikan. Sebab itu saya rasa sangat tertekan jika tugas yang diamanahkan kepada orang lain, tiba-tiba mereka dengan senang hati melepaskannya kepada saya. Bukan saya tidak mahu menolong, tetapi mereka keterlaluan menggunakan saya.

Menjadi guru pada era ini memerlukan kemahiran yang pelbagai. Demi melengkapkan diri dengan segala kemahiran yang perlu itu, belajarlah. Jangan biarkan diri kita berada di takuk lama dan tiada peningkatan.

Untuk belajar, ada pelbagai cara dan kaedah. Saya sendiri menggunakan pelbagai pendekatan. Zaman dunia tanpa sempadan ini rasanya kita tidak punya banyak masalah dalam mencari maklumat kerana semuanya di hujung jari. Antara mahu dan tidak sahaja. Kerana itu saya rela berkorban sedikit wang ringgit demi keselesaan saya bertugas. Segala keperluan asas, saya beli sendiri supaya saya tidak perlu menyusahkan ramai orang.

Selama tujuh belas tahun menjadi guru, banyak perkara yang saya timba sendiri-sendiri. Bagaimana memproses data, menggunakan lembaran kerja, menghasilkan buku program, mencetak sijil, menggunakan LCD dan banyak lagi yang saya peroleh hanya dengan menilik dan menaakul kerja-kerja sahabat guru sebelum saya. Tidak perlu saya mengganggu masa orang lain untuk tujuan itu kerana jika ada kemahuan, tentu ada jalan.

Sesetengah guru pula, yang mahu belajar sesuatu dengan saya, meminta saya memperuntukkan ruang masa saya untuk mengajar dia. Dia pula bersedia dengan segala buku catatan untuk menulis setiap yang mahu dipelajari itu. Maaflah, pada saya cara begitu kurang praktikal. Itu cara pelajar-pelajar yang mahu mengambil peperiksaan. Cara kita yang sudah bergelar guru ini ialah dengan melakukannya sendiri. Hadap komputer itu, tekan segala punat yang ada, lihat segala arahan yang diberi dan tentu sekali semua itu akan melekat dalam kepala.

Saya kasihan juga pada mereka. Mahu menempah tiket Air Asia pun dicatat segala langkah dalam buku nota. Nanti bila mahu menempah kagi, buku nota itu akan dibuka. Aduhai! Bukankah laman Air Asia itu sangat mesra pengguna dan semua langkah dan arahan telah jelas tertera? Jika mahu masuk periksa, baru betul begitu!

No comments:

Post a Comment