Tuesday, April 28, 2015

Jururawat

Sehabis sekolah tadi, suami menghantar saya ke Klinik Kesihatan Ketereh untuk temujanji suntikan Depo saya.

Seperti biasa, orang sangat ramai. Selepas mendaftar, saya diarah ke bilik 12 untuk disuntik.

Sangka saya, saya akan terus disuntik tetapi tidak, prosedurnya tidak semudah itu. Ada banyak borang perlu diisi dan saya pula bagai ditemuduga oleh para jururawat di situ apabila terpaksa menjawab banyak soalan.

Jururawat-jururawat di situ kelihatan muda-muda belaka. Saya tidak menghadapi banyak masalah dengan mereka. Walaupun sudah petang dan mereka kelihatan penat, saya dilayan mesra. Senyum dan bicara ramah mereka sedikit sebanyak menghilangkan gusar yang ada.

Saya sentiasa kagum dengan mereka yang bergelar jururawat ini. Saya sendiri tidak mampu membayangkan diri saya bekerja seperti mereka. Entah sempat senyum atau tidak. Menjadi guru pun saya sudah mengah, pada hal tidaklah perlu terlalu bergerak seperti jururawat. Hanya turun naik tangga beberapa kali sehari sahaja.

Mungkin jururawat di klinik kesihatan tidak sepenat jururawat yang bertugas di wad hospital tetapi saya pasti bebannya tetap serupa. Tetap perlu bergerak ke sana ke mari membantu pesakit dan doktor.

Jika sesekali wajah mereka tidak manis, saya tidak akan ambil hati. Saya tahu mereka cuma wanita biasa yang tertakluk pada emosi. Semoga setiap keikhlasan mereka dalam bertugas akan diganjari sebaiknya oleh Allah taala. Amin.


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment