Tuesday, April 07, 2015

Niat

Bagaimana ya mahu saya mulakan cerita? Bimbang juga jika disalahertikan niat yang tersirat dalam diri ini.

Beginilah. 

Sebagai seorang yang bekerja, tanggungjawab saya menjadi satu keutamaan untuk diselesaikan. Tidak kiralah sama ada ia tugas hakiki yang sudah tertulis dalam peraturan atau arahan baru yang dikeluarkan oleh mana-mana pentadbir. Menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan dengan penuh hemah.

Lalu, demi memudahkan saya menyiapkan setiap tugasan dan arahan itu, saya tidak mengharap pada harta sekolah semata-mata. Bukan seronok pun berebut-rebut menggunakan komputer dan pencetak yang sering jadi tumpuan ramai itu. Walaupun komputer dan pencetak itu duduknya di bilik peperiksaan, tetapi kegunaannya begitu meluas.

Unit Kokurikulum, unit HEM, pembuat relief, dan semua guru tertumpu ke komputer bilik peperiksaan itu untuk menyelesaikan tugas mereka. Saya yang memang menghuni bilik itu atas dasar tugas saya sebagai setiausaha peperiksaan kadang-kadang tidak sempat menyentuh pun komputer dan pencetak itu.

Saya jenis yang tidal berkira. Daripada bersusah payah berebut, baiklah saya guna laptop sendiri. Kelebihannya, fail-fail saya tersimpan rapi dan tidak bercampur aduk dengan orang lain.

Awal tahun ini, saya majukan sedikit lagi ketidakberkiraan saya apabila sudi membeli pencetak sendiri. Percayalah, tugas saya menjadi sangat mudah kini kerana semuanya tersedia walaupun dibeli sendiri.

Begitu juga dengan internet. Wifi sekolah sangat teruk liputannya dan sungguh saya tidak langsung boleh bergantung harap. Jadi, untuk tidak menjadikan tugas saya terbantut, saya guna broadband saya sendiri. Mudah dan pantas.

Oh ya, hujung tahun lepas saya membeli peti sejuk untuk kegunaan peribadi juga. Saya suka minum air sejuk jadi peti sejuk di tempat kerja adalah sungguh bermanfaat. Saya simpan air minuman berbotol-botol di dalamnya dan jika ada yang meminta, saya tidak ragu memberi.

Alhamdulillah. Inilah satu cara saya berkongsi. Apabila ada yang mahu meminjam laptop atau pencetak saya, saya tidak lokek memberi. Cuma ada waktu-waktu apabila saya begitu sibuk menyiapkan kerja, tiba-tiba ada yang mahu menyelit menggunakan harta saya itu, hati saya sedikit jelik. Bukan apa, biarlah kerja saya siap dahulu. Bila saya selesai, nah gunalah!

Pada saya, tidak perlu kedekut dalam membeli benda-benda yang boleh membantu memudahkan kerja kita. Dari dulu lagi saya cukup tidak suka dengan minda subsidi yang semua benda mahu percuma. Kita sudah dibayar gaji bulan-bulan, apa salahnya gunakan sedikit untuk kemudahan kita sendiri. 



Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment