Tuesday, April 28, 2015

Rindu Kuih

Tiba-tiba tekak saya merindukan kuih-kuih manis edisi Kelantan. Malam tadi, sepulang dari makan malam di Restoran D' Harmony, saya terasa mahukan sedikit pencuci mulut. Malangnya, tiada apa yang sesuai untuk santapan saya yang ada di dapur. Hanya karipap segera dan keropok lekor yang tidak memenuhi selera saya.

Hari ini, saya mencari-cari kuih yang manis di kantin, tetapi tiada juga. Aduh! Bagaimanakah kerinduan ini akan terubat?


Kuih pulut pisang ini sudah lama saya tidak merasa. Susah juga untuk mencarinya di kedai, tetapi jika terjumpa tentu saya akan membelinya. Rasa manis dan lemaknya sangat menyelerakan.

 

 Lompat tikam. Namanya menakutkan tetapi rasanya sedap. Jumaat lepas suami saya belikan kuih ini di pasar tani Wakaf Che Yeh untuk saya. Tentulah saya suka!


Ini pula pulut sekaya. Lapisan pulut yang lemak diganding dengan bancuhan telur dan gula manisan yang manis memang tidak mampu saya ketepikan dalam menu idaman saya ini. 


Ini lebih klasik, kuih belebab. Ubi keledek disalut tepung beras, juga lemak manis rasanya. Saya sangat menggemari kuih ini tetapi susahnya nak jumpa.
 

Dan akhir sekali, kuih termudah dalam dunia tetapi saya tidak pernah membuatnya sendiri. Kuih ketayap berintikan kelapa parut manis. Selalu juga ada di kantin sekolah tetapi entah kenapa sehari dua ini kantin saya kekurangan bekalan kuih. Sebab itulah saya mencarinya di internet.

Apalah daya saya, merindulah sahaja kerana membuatnya saya tidak upaya!

No comments:

Post a Comment