Wednesday, April 22, 2015

Nasi Kerabu Goreng

Sewaktu kaki melangkah ke pintu rumah sepulang dari sekolah semalam, jam sudah pun ke angka empat petang. Penat benar saya. Rasa mahu sahaja menghempas diri ke atas katil dan melelapkan mata tanpa sebarang gangguan.

Pun, mata enggan lena.

Seusai solat Asar, saya ke dapur. Menggoreng keropok lekor, memotong buah dan membancuh kopi o ais. Apabila suami saya pulang nanti, bolehlah kami menikmatinya bersama-sama. Sambil itu, saya menjerang nasi dan mengeluarkan lauk pauk dari peti sejuk beku.

Berkira-kira saya tentang menu malam nanti. Sudah lama saya tidak memasak makan malam kerana asyik keluar ke kedai sahaja. Tetapi entah kenapa saya rasa sudah malas dan jemu untuk keluar lagi. Rasa ingin berada di rumah sahaja.

Lalu terbit idea untuk memasak nasi kerabu goreng sahaja malam ini. Mudah dan sedap.

Ini resepi Nasi Kerabu Goreng versi saya.

Bahan-bahan:

3 cawan nasi
4 ulas bawang putih
Sedikit belacan
3 biji cili api
1/2 keping dada ayam atau daging, dipotong kecil
3 helai daun kubis, dihiris halus
2 batang kacang panjang, dihiris halus
2 batang serai, dihiris halus
3 helai daun limau purut
Sedikit sos ikan
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara menyediakannya:

Bawang putih, belacan dan cili api ditumbuk. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Apabila naik bau, masukkan serai dan daun limau purut. Kacau sebentar dan masukkan isi ayam.

Apabila isi ayam sudah masak, masukkan garam dan sos ikan. Seterusnya masukkan kacang dan kobis. Akhir sekali masukkan nasi dan kacau sehingga rata dan mesra. 

Apa lagi, angkat dan hidangkanlah nasi kerabu goreng itu ditemani keropok keping dan telur mata. 

Itulah menu saya malam tadi.

Selesai makan, suami saya menonton bola sepak antara Kelantan dan Sime Darby di ruang tamu. Saya bersendirian di bilik menonton apa-apa sahaja yang ada di TV, tetapi perhatian lebih kepada Samsung Galaxy saya.

Selesai menggosok dan solat, saya tidak berbuat apa-apa lagi selain tidur.

Selamat malam.




No comments:

Post a Comment