Monday, April 13, 2015

Kelegaan

Ada tiga kelegaan yang saya rasai hari ini.

Pertama, apabila keputusan ujian klinikal suami saya semalam semuanya positif. Imbasan x-ray tidak menunjukkan sebarang penyakit batu karang seperti yang dikhuatiri doktor minggu lepas. Ujian air kencingnya juga normal. Mungkin sekadar kencing kotor yang menyebabkan kesakitan yang teruk itu ditambah dengan gastrik yang sememangnya sedia ada dalam diri suami saya.

Cuma, doktor mengesan sedikit debar dan mengesyaki ketidakseimbangan hormon thyroid nya kembali lagi sebagaimana yang pernah dialaminya hampir lima tahun lalu. Ujian darah dilakukan dan suami saya diminta kembali berjumpa doktor yang sama di Klinik Kesihatan Ketereh itu pada Ahad 10 Mei nanti. Doa saya tidak akan pernah terhenti agar suami saya sentiasa sihat dan diberi kekuatan oleh Allah untuk terus menyumbang bakti murni kepada nusa dan masyarakat. Semoganya. Amin.

Kedua, saya telah selesai menyiapkan segala analisis peperiksaan hari ini, dari mencetak semua slip dan juga membukukan semua rumusan. Alhamdulillah. Kerja yang saya hadap berminggu-minggu itu akhirnya selesai dan saya rasa sungguh seronok. Saya berhajat untuk memulakan pula proses pembinaan soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun untuk mata pelajaran Matematik Tingkatan Lima kerana peperiksaan akan bermula dalam sebulan sahaja lagi. Saya tidak suka soalan yang tidak bermutu, jadi saya perlu masa yang panjang untuk mencari dan mengedit setiap soalan untuk kertas 1 dan kertas 2 beserta skema pemarkahannya sekali.

Tiba-tiba, sahabat saya Cikgu Yuswadi membawa berita gembira yang amat melegakan dan inilah yang menjadi kelegaan ketiga saya.

Soalan peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 4 dan 5 tidak perlu dibuat kerana ia diselaraskan di seluruh negeri. Sekolah hanya perlu membayar dan soalan akan tiba seperti yang dimahukan. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu ya Allah! Ada ruang kerehatan yang agak panjang buat saya selepas berminggu-minggu memaksa diri membina program analisis, memasukkan data dan mencetak semuanya. Sungguh saya rasa lega sekali.

Kini saya mampu mencari waktu untuk persiapan yang lebih baik berhadapan dengan pelajar- pelajar saya, tanpa perlu kelam kabut lagi.

No comments:

Post a Comment